Saturday, May 23, 2015

Post Travel Blues

Assalamualaikum

Dulu saya pernah berpendapat berhenti kerja dan travel ke negara-negara bergolak dalam satu tempoh masa yang panjang  adalah sesuatu yang paling sukar dilakukan. Tapi saya sedar sekarang, sebetulnya menghadapi post-travel-blues adalah yang paling sukar sekali.

Setelah 6 bulan saya mengembara ke ceruk-ceruk kawasan pedalaman di India, Pakistan, Afghanistan etc. akhirnya kembali pulang ke tanahair kerana mendapat berita kemalangan jalanraya, adik dan abah saya cedera teruk. Adik saya dimasukkan di dalam ICU.

Hanya tuhan yang tahu perasaan saya waktu itu yang sedang berada beribu-ribu batu jauhnya daripada mereka. Waktu itu saya berada di Istanbul, Turki.

Saya pulang ke Malaysia dengan hati yang luluh. Saya menangis. Terasa terlampau berat dugaan waktu itu. Saya terpaksa mengakhiri perjalanan yang mengubah diri saya secara total setelah melalui pelbagai pengalaman hidup yang tidak mungkin saya boleh terangkan di sini satu persatu. Hanya 6 bulan tetapi saya rasakan seperti melalui perjalanan yang panjang seolah beberapa kelahiran tanpa henti. Terlampau sarat dengan pengalaman yang membuat sesak di dada.

Saya bersyukur, kerana saya tahu tak ramai yang mempunyai peluang seperti ini. Saya tahu pasti ada hikmahnya kenapa Allah memberi saya peluang sebegini. Pasti ada sebabnya. Sedikit demi sedikit saya mula faham tapi ianya terlampau peribadi untuk dikongsikan di sini. Biarlah hanya saya dia Dia sahaja yang tahu.

Kembali ke tanahair yang pada mulanya saya rasa amat teringin sekali, tapi anehnya semunya bertukar hambar. Saya teringat pertama kali saya ke Kuala Lumpur selepas pulang dari trip, saya rasakan semuanya janggal. Semuanya kelihatan sibuk. Sibuk terikat dengan sistem kapitalis. Bahagiakah hidup sebegitu? Tahukah mereka tanpa wang yang banyak manusia juga boleh merasa bahagia, hidup penuh senyuman ikhlas dari hati, lebih menikmati hidup dengan apa adanya, ah saya rindukan semua itu yang nampaknya mustahil untuk saya lihat di Kuala Lumpur!

Terlampau banyak persoalan yang timbul di kepala saya. Melihat orang ramai bersesak, melihat bangunan tinggi, melihat pekerja asing bertungkus lumus bekerja di tapak pembinaan bangunan, semuanya menimbulkan persoalan. Sehingga sampai satu tahap saya cuba berkata kepada diri sendiri, "cukuplah persoalkan semuanya, kepala kamu sesekali perlukan rehat".

Saya masih cuba membiasaka diri dengan persekitaran yang dahulunya pernah menjadi tempat yang saya panggil 'home'. Saya mengalami 'reverse culture shock'. Saya tidak bersedia lagi untuk berjumpa dengan rakan-rakan rapat, saya berasa amat janggal dengan semua yang pernah menjadi penting dalam hidup saya. Mungkin ada yang membaca sekarang agak keliru dengan apa yang cuba sampaikan, saya teramat faham kerana saya juga masih bekerja keras memahami apa yang terjadi dalam diri saya ini.

Setelah hampir 3 bulan saya melalui fasa hidup yang sukar begini dan membantu adik dan abah saya sembuh, akhirnya saya sedikit lega. Tapi sebulan lepas itu, ibu saya yang menghidap kanser sejak 6 tahun lepas meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya.

Satu lagi dugaan yang amat berat untuk saya dan keluarga. Saya terdiam dan hampir menjadi kaku dek kerana ujian yang tidak pernah putus semenjak saya pulang dari trip.

Kini setelah sebulan sejak pemergian ibu, saya cuba menjadi lebih rasional. Saya mula sibukkan diri dengan berjumpa dengan rakan-rakan lama, kadang memenuhi undangan untuk memberi syarahan tentang travel, berjumpa dan berbincang dengan pengeluar buku (kerana saya bercadang untuk mengeluarkan sebuah buku mengenai travel), berjumpa wartawan untuk share kisah travel dan sebagainya. Iya, walaupun saya belum kembali bekerja 9-5 seperti dulu tapi saya agak sibuk dengan 1001 urusan. Saya juga sejujurnya belum bersedia untuk kembali ke alam cubicle yang mana saya faham saya tak akan boleh bertahan lama di dalamnya. Saya masih berfikir dan belum memutuskan apa-apa tapi yang pastinya saya akan sentiasa buat sesuatu agar tidak begitu terkesan dengan sindrom post-travel-blues yang memang tidak ada ubatnya. Dalam masa yang sama, saya selalu terdengar suara halus di kepala yang menyuruh saya lihat semula peta, lihat semula SkyScanner dan sebagainya.

Post-travel-blues sesungguhnya adalah sesuatu yang amat berat. Saya sendiri tidak menjangkakan ianya seberat ini. Mungkin jika saya ceritakan pada keluarga atau teman mereka tidak akan faham. Saya tidak salahkan mereka, kerana hanya saya yang melalui perjalanan itu, saya yang berubah bukannya mereka. Saya yang harus berusaha kuat untuk menyesuaikan diri sendiri di tempat yang pernah saya panggil sebagai 'home'.

Sekarang saya rasa 'homesick' dengan semua tempat di luar sana. Saya akan kembali, inshaaAllah.