Thursday, September 5, 2013

Pakistan Part 2 - The beauty of Gulmit

21 June 2013

Pagi ini saya masih di Gulmit, sebuah kampung yang terletak di Gojal (Upper Hunza Valley). Terasa berat betul nak bangun, kerana terlalu selesa dengan katil dan selimut hotel. Sepanjang trip China-Pakistan, ini adalah kali pertama saya menginap di dalam private room, selalunya dorm atau pun tidur dalam bas atau keretapi saja.

Sekitar jam 8 am baru saya bersiap dan keluar untuk bersarapan di dalam restoren hotel. Bila saya masuk ke dalam restoren hotel, Mr. Lee dan Azhar sudah ada dan nampaknya sedang sibuk berbincang sesuatu.

Seperti biasa Mr. Lee akan mengajak saya sertai mereka sekali untuk bersarapan. Saya memesan Chai dan Hunza Bread tapi menurut pekerja mereka sudah kehabisan Hunza Bread, jadi saya cuma memesan Paratha saja.

Rupanya Mr. Lee dan Azhar sedang sibuk berbincang tentang route perjalanan Mr. Lee selepas ni. Azhar banyak memberi tips dan panduan kepada Mr. Lee tentang perjalanan seterusnya di Pakistan. Termasuk juga tips untuk memasuki India melalui jalan darat kerana Mr. Lee akan ke India selepas Pakistan.

Sementara saya bersarapan, dapat juga saya mendengar tips berguna daripada Azar. Sememangnya dia begitu hafal dan mahir dengan selok belok di seluruh Pakistan, salut!

Selepas itu kami mengucap selamat jalan kepada Mr. Lee kerana pagi itu dia akan berangkat ke Karimabad. Saya pasti akan berjumpa lagi dengan Mr. Lee kerana saya juga akan ke Karimabad tapi pada keesokan harinya.

Saya masih bersarapan dan terus berborak dengan Azhar. Banyak juga tips yang saya dapat pagi tu untuk perjalanan saya yang seterusnya di Pakistan. Thanks so much to him.

Azhar mengajak saya untuk sertai dia, Altaf dan Noo untuk ke Borith Lake dan juga ke Passu White Glassier.Oleh kerana saya juga belum ada apa-apa rancangan hari tu, jadi saya setuju untuk join mereka.

Tak lama kemudian, Altaf dan Noo masuk ke dalam restoren untuk bersarapan sebelum kami berempat pergi ke Borith Lake dan Passu White Glassier. Walaupun saya baru sahaja kenal dengan mereka, tapi mereka sangat peramah, malah Noo dan Altaf masing-masing mengajak untuk saya travel dengan mereka selepas ini ke Nepal dan Bangkok haha.

Pemandangan dari depan Gulmit Continental Hotel
Kami berempat ke Borith Lake dengan kereta yang dipandu oleh kawan Azhar, seorang penduduk tempatan di Gulmit. Perjalanan dari hotel menuju ke Borith Lake mengambil masa kira-kira setengah jam.

Sekitar Gulmit
Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan gunung-ganang yang sangat indah. Ada beberapa kali kami berhenti di tepi jalan kerana tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar pemandangan di situ.

Pemandangan indah di Gulmit
Noo dan Azhar yang memang berminat dengan fotografi kelihatan sangat beriya mengambil gambar dengan DSLR mereka dari setiap sudut. Manakala saya yang cuma membawa kamera digital hanya mengambil beberapa keping gambar. Saya akui memang agak malas untuk mengambil gambar sewaktu travel. Saya lebih gemar menikmati pemandangan secara 'live' dan kemudian menyesal bila pulang dari travel kerana tak ada gambar di tempat tertentu lol. Mungkin selepas ini saya perlu lebih rajin lagi mengambil gambar hehe.

I am in Pakistan!
Proud to be Pakistani
Perjalanan ke Borith Lake
Setelah puas mengambil gambar, kami meneruskan lagi perjalanan. Kereta hanya dapat dipandu dengan kelajuan sekitar 30-50 km/j kerana jalan amat kecil dan muat-muat untuk satu kereta dan tepinya adalah gaung. Untuk ke Borith Lake kami terpaksa melalui jalan di lereng-lereng bukit. Pendek kata, jika terlajak sikit ke dalam gaunglah kami jawabnya. Pfft ~

Jalan yang agak teruk
Mungkin untuk menghilangkan rasa cemas dengan keadaan jalan yang sebegitu, Azhar mula menyanyi dalam kereta. Lagu Melayu, tapi saya tak tahu lagu apa haha. Kemudian Noo menyanyi dalam bahasa Thailand dan diikuti Altaf yang mempersembahkan lagu Urdu kepada kami. Memang meriah :)

Akhirnya kami sampai di Borith Lake. Betul-betul di hadapan Borith Lake terdapat sebuah hotel kecil dan sebuah restoren. Kami meninjau kawasan tasik yang pada saya sangat cantik. Susah untuk saya gambarkan keindahan tasik ni, lebih baik lihat saja gambar-gambar yang sempat saya ambil waktu di sana dan nilaikan sendiri :)

Restoren di Borith Lake
Yang menjadikan tempat ini lebih isitimewa lagi, memang tak ada pelancong yang akan berebut-rebut untuk mendapatkan spot yang paling cantik di situ, tidak seperti tempat-tempat tarikan pelancong di tempat lain. Seluruh tasik ini bagaikan hanya kami yang punya!

Borith Lake
Selepas puas melihat kawasan tasik kami berehat dan minum Chai di situ. Restoren kayu yang sangat sederhana ini memang sesuai dijadikan tempat berehat. Sambil menghirup Chai kami dapat menikmati pemandangan tasik yang berlatarbelakangkan gunung ganang di banjaran Karakoram.

Tasik berlatarbelakangkan banjaran Karakoram
Walaupun berat rasanya untuk meninggalkan tempat ini, tapi kami perlu beredar untuk ke satu lagi destinasi iaitu Passu White Glasier.

Kami meneruskan lagi perjalanan dengan kereta ke Passu iaitu sebuah kampung yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan daripada Gulmit. Passu juga tak kurang cantiknya jika dibandingkan dengan Gulmit.

Jalan daripada Gulmit ke Passu berada dalam keadaan yang agak teruk. Tidak bertar, berlubang dan kadang-kadang perlu melalui tepi curam yang agak tinggi. Sebenarnya jalan ini hanyalah jalan sementara yang telah dibuat oleh penduduk kampung kerana jalan utama mereka iaitu KKH (Karakoram Highway) telah musnah akibat daripada bencana alam tanah runtuh dan kemudian terjadi banjir besar daripada Hunza River pada Feb 2010.

Banjir besar telah menenggelamkan KKH sejauh 27 km dan memusnahkan banyak kampung. Menurut penduduk kampung mangsa yang terkorban mencecah puluhan orang. Waktu saya di sana dan sempat berborak dengan seorang penduduk kampung, saya boleh rasakan mereka masih lagi terasa kesan kejadian itu walaupun sudah hampir 3 tahun berlalu.

Bekas Karakoram Highway (KKH) yang kini ditenggelami air
Tasik besar yang terbentuk daripada bencana alam ni dikenali dengan nama Attabad Lake. Oleh kerana jalan darat mereka telah terputus, sekarang penduduk kampung terpaksa menaiki bot di Attabad Lake untuk berhubung dengan dunia luar yang mengambil masa selama 2 jam sehala. Segalanya tidak mudah di sana, jadi saya rasa bersyukur kerana negara kita tidak pernah melalui semua ini, minta dijauhkan.

Ok, balik kepada cerita tadi..

Setelah 30 minit kami sampai di penghujung jalan dan kereta terpaksa diberhentikan di situ. Untuk melihat Passu White Glasier kami harus trekking selama 45 minit - 1 jam.

Awesome!
Trekking tidak terlalu sukar dan telah ada laluan kecil untuk kami jalan terus sehingga ke kawasan paling tinggi untuk melihat glasier. Sewaktu kami memulakan trekking cuaca amat panas dan terik. Semakin tinggi dan hampir dengan glasier suhu semakin rendah dan lebih sejuk.

Kami tak lepaskan peluang untuk mengambil gambar lagi di situ. Memang cantik pemandangannya dan lain daripada yang lain. Azhar yang sudah pernah ke sini beberapa tahun yang lepas beritahu tak akan pernah jemu melihat pemandangan sebegitu berulang kali. Betul, saya juga rasanya tak akan jemu dan insyaAllah kalau ada rezeki akan ke sana lagi.

Trekking ke Passu White Glasier
Passu White Glasier
Setelah puas menikmati pemandangan di situ, kami mula turun semula ke tempat kereta diberhentikan tadi. Sewaktu perjalanan turun kami terserempak dengan 2 orang traveller daripada Jerman. Memang nampak berpeluh jugalah kerana cuaca yang sangat panas waktu itu.

Sampai di kereta, kami berehat dahulu dan makan snek yang di bawa oleh Noo dan Azhar. Antaranya ialah buah-buahan kering seperti aprikot, walnut, mulberi dan beberapa jenis buah lagi.

Kemudian kami pulang semula ke hotel. Oh ya, dalam perjalanan pulang kami melalui Borith Lake sekali lagi dan ternampak seekor itik berenang-renang di tengah tasik. Sangat comel, hanya seekor sahaja di tengah-tengah tasik yang besar.

Sampai di hotel semula kira-kira jam 1.30 pm. Saya berehat sekejap dalam dalam bilik sebelum makan tengahari di restoren hotel. Saya makan ditemani oleh Zahir iaitu anak pemilik hotel yang juga merupakan pengurus hotel di situ. Dia banyak menceritakan tentang kehidupan penduduk kampung di situ dan juga kesan daripada kejadian September 11 kepada seluruh penduduk Pakistan secara general.

Kira-kira jam 4 pm, Azhar, Noo dan Altaf akan berangkat ke destinasi seterusnya (saya dah lupa nama tempat tersebut). Noo dan Azhar sempat memberikan alamat email dan nombor telefon Pakistan untuk kami terus berhubung nanti. Rasa sedikit berat hati melihat mereka bertiga pergi, bermakna tinggal saya seorang di hotel. Iya, hanya saya seorang yang menginap di hotel yang mempunyai 7 bilik pada waktu itu.

Selepas menghantar mereka bertiga di lobi hotel dan mengucapkan selamat jalan, saya meminjam broadband Zahir sekali lagi dan melayari internet di restoren hotel. Waktu itu Zahir tetap menemankan saya di restoren hotel dan berborak lagi sampai lewat petang.

Sekitar jam 6 pm Zahir mengajak saya untuk ke Ondra Fort untuk melihat pemandangan Attabad Lake dan juga sunset. Kami berjalan kaki melalui kawasan rumah penduduk kampung di situ. Kemudian saya ternampak sebuah kedai kecil seperti menjual sim card, kami singgah beli sim card Zong dan terus aktifkan kad.

Sewaktu aktifkan kad, secara tak sengaja saya telah terbuang semua nombor telefon dalam Blackberry. Lebih malang lagi kad saya rupanya masih belum boleh digunakan lagi dan terpaksa menghubungi pusat servis Zong untuk bantuan. Tapi saya lupakan dulu tentang sim kad dan menikmati pemandangan yang sangat cantik dari Ondra Fort.

Oh ya, sewaktu di Ondra Fort kami telah berjumpa dengan seorang lelaki dan kelihatan Zahir amat rapat dengannya. Zahir memperkenalkan kami, rupanya dia ialah bekas guru sekolah Zahir namanya Mehboob. Kami banyak bersembang dari satu topik ke topik yang lain. Dia juga sempat bertanya kepada saya, tak takut ke travel di Pakistan seorang diri, tak takut ke dengan Taliban dan banyak lagi soalan.

Saya cakap teringin nak berjumpa dengan Taliban, mereka cuma ketawa. Tapi betul saya teringin nak jumpa dengan Taliban, saya rasa betul-betul ingin tahu bagaimana mereka sanggup membunuh dan menyeksa orang yang tak berdosa. Hmm.

Hari semakin gelap dan kami melihat sunset di situ, tak tahu saya nak gambarkan suasana waktu itu yang sangat-sangat cantik. Saya rasa bersyukur dapat melihat pemandangan yang sebegitu cantik. Betul bak kata traveller lain yang pernah saya jumpa, Pakistan mempunyai tarikan yang sangat luar biasa dan hanya mereka yang pernah ke sana akan faham maksud saya ni.

Menurut Zahir saya agak bertuah kerana malam itu adalah hari bulan penuh (full moon). Walaupun hari telah beransur malam, tapi kampung Gulmit masih terang. Kami berjalan kaki pulang ke hotel, walaupun tanpa lampu jalan kami masih boleh berjalan seperti biasa.

Sewaktu berjalan kaki pulang  ke hotel, saya banyak bertanya tentang ajaran Islam Syiah Ismaili. Untuk pengetahuan, majoriti penduduk di utara Pakistan adalah penganut ajaran Islam Syiah Ismaili. Menurut Zahir, penganut Syiah Ismaili hanya dituntut untuk sembahyang 3 kali sehari. Kaum wanita yang bersembahyang di Jama Khanna (masjid) boleh berdiri 1 saf dengan kaum lelaki. Banyak lagi yang Zahir kongsikan kepada saya, tapi rasanya tak perlulah saya huraikan satu persatu di sini. Saya bertanya tentang Syiah hanya sekadar perasaan ingin tahu, tidak lebih daripada itu.

Zahir beritahu malam ini dia akan bawa sedikit makanan daripada rumah yang dimasak oleh ibunya. Dia mahu saya merasa makanan khas tempatan Gulmit. Sudah tentu saya sangat berbesar hati kerana dapat peluang merasa makanan khas di Gulmit.

Sampai di hotel, saya lihat hotel gelap. Rupanya malam itu bekalan elektrik terputus. Di Pakistan, bekalan elektrik terputus itu adalah perkara biasa. Dalam masa 1 hari, jarang untuk ada bekalan elektrik selama 24 jam. Jadi sebab itu memang pihak hotel ada menyediakan lilin disebelah katil sebagai persediaan jikalau elektrik terputus.

Sampi di bilik saya yang gelap, saya terus pasangkan lilin dan mencari lampu suluh yang memang saya bawa dari Malaysia. Dengan bilik yang samar-samar, saya mandi dan solat jama' Maghrib dan Isyak dahulu.

Selepas itu, dengan lampu suluh saya turun ke lobi dan berjumpa semula dengan Zahir. Dia mengajak saya untuk makan malam di atas bumbung. Kami menaiki tangga dengan berhati-hati kerana gelap dan tangga agak tinggi dan mencanak.

Sampai di atas bumbung, saya sangat teruja kerana dari atas saya boleh lihat pemandangan kampung Gulmit yang sangat cantik. Sudah cukup terang dengan cahaya dari bulan yang penuh. Terlihat juga banjaran gunung Karakoram yang bersalji. Masya-Allah, memang saya rasa seperti mimpi.

Full moon di Gulmit
Kami hanya duduk di atas sekeping alas dan makan malam di situ. Menu malam itu ialah jus aprikot, pancake dengan aprikot jem dan mulberi jem. Satu lagi ialah pancake dengan keju khas Gulmit. Jem aprikot dan mulberi pada saya sangat sedap. Menurut Zahir mereka tidak mencampurkan gula untuk membuat jem tersebut, jadi manis jem itu sepenuhnya daripada buah itu sendiri.
Cheese khas Gulmit
Pancake dengan jem aprikot dan mulberi
Sewaktu makan kami banyak berborak lagi, daripada isu politik sehinggalah isu keadilan gender di Pakistan. Saya juga banyak menceritakan tentang Malaysia kepada Zahir yang kelihatan berminat untuk mengetahui tentang Malaysia. Leka berborak sehingga kami tak sedar hari sudah agak lewat. Kira-kira jam 11 pm kami turun semula dan saya masuk ke bilik untuk berehat dan tidur. Keesokan harinya saya akan berangkat ke Karimabad dengan menaiki bot di Attabad Lake.

Cerita perjalanan saya ke Karimabad dengan menaiki bot di Attabad Lake akan disambung di entri seterusnya.....

27 comments:

  1. Replies
    1. Hi Awais,

      Oh sorry this travelogue is in Malay language. But actually you can translate it to English by using Google Translator widget you can find at the right top page. Hope you can read too, thanks !

      Delete
  2. salam...

    Suatu pengalaman lain dari lain..bertuah sebab jumpa org yg betul!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Zilla,

      Pengalaman yang berharga. Yup, saya rasa bertuah juga sebab sentiasa jumpa orang yang betul, alhamdulilah :)

      Delete
  3. bestlah, Et...dari perjalanan hinggalah ke gambar2..truja jadinya...

    salute sebab tak ramai yang berani masuk pakistan hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau awak yang pergi sana mesti dapat gambar yang jauh lebih cantik hehe :)

      Delete
  4. best nya, boleh x Et share tips utk yg baru nak mula backpacking style ni, share la pngalaman nak plan, etc. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi LeAtiQA,

      Sebenarnya saya pun baru je mula backpacking, baru 3 tahun yang lepas. Tips dia senang je, kena percaya diri, fikiran positif dan enjoy every moment waktu travelling. Rasanya terlalu subjektif, sebab setiap orang ada cara travelling yang berbeza. Saya pun masih belajar :)

      Delete
    2. percaya diri, fikiran positif hmm good one...
      Tahniah kerana anda seorang yg positif dan berani berbackpacking loiikee byk kali..sampai besok pagi...

      Delete
  5. fotonya cantik-cantik kak siti..
    keren..

    sayang,sekali jalannya blum mulus..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Yura!

      Iya pemandangan di sana bagus sekali jadi bisa ambil foto yang cantik..tapi kalau lihat sendiri jauh jauh lebih cantik koq :')

      Delete
  6. Beautiful and full filling trip.

    ReplyDelete
  7. Replies
    1. Hey Andile,

      Yes it is. You must visit this place too, like seriously! :D

      Delete
  8. wahhh.. satu pengalaman yg sungguh luar biasa... tahniah awk atas kejayaan menamatkan pengembaraan ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Lavender,

      Terima kasih sebab sudi baca :')

      Delete
  9. serius duarius tigarius cantteeeeekkkk!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Jea!

      Haha yea...berius rius cantiknya :D

      Delete
  10. salam perkenalan...wah bestnye...sronok baca...rietta blom pernah ke luar negara lagi...SG pown xsmpai lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hello HeNRieTTa,

      What you waiting for? Just pack and go dear! :D

      Delete
  11. suka baca ur journey ni!!! =) keep writing!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi hujanlebat,

      Terima kasih sebab sudi baca, insyaAllah akan terus menulis sambungan cerita ni..stay tune! :)

      Delete
  12. Macam teringin nk tgk gmbr2 tuan badan yg et jumpa ... zahir, azhar dll hihii
    Salute kat et sbb berani...

    ReplyDelete
  13. interesting..... ada juga yang suka holiday di pakistan seperti saya hahaha... :)

    ReplyDelete
  14. Tahniah perjalanan yg jauh..minat kita sama backpack mungkin cara kita berbeza..teruskan...

    ReplyDelete