Monday, January 20, 2014

Pakistan Part 11 - Suprises in Yasin Valley

30 June 2013

Genap sudah 30 hari sejak saya memulakan perjalanan Silk Route daripada tanah besar China dan sekarang saya berada di bumi Pakistan atau lebih spesifiknya di sebuah kampung kecil tak jauh dari pekan Gupis, daerah Ghizer Valley, Gilgit-Baltistan, Pakistan Utara. Cuaca pagi ini agak sejuk, mungkin kerana hujan malam semalam jadi cuaca di Ghizer Valley sejuk seolah-oleh berada di tanah tinggi.

Bilik saya terletak betul-betul di tepi tasik. Bila keluar daripada bilik, saya menikmati udara pagi yang segar, pemandangan tasik yang tenang dan kelihatan seperti tumbuh-tumbuhan habis dibasahi dengan embun pagi. Begitu segar suasana pagi di sini dan terasa sedikit sejuk. Saya seperti biasa tak lekang daripada memakai baju sejuk nipis berhud bewarna hitam yang memang saya bawa ke mana-mana.

Setelah mengemas backpack masing-masing, kami pun berangkat daripada hotel dan meneruskan perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya iaitu Yasin Valley.

Oh ya, sebelum ke Yasin Valley kami sekali lagi pergi ke tasik semalam untuk mencari selipar saya yang hilang tapi hampa kerana tidak juga menjumpainya. Agak misteri juga kehilangan selipar saya ni, tapi takpelah. Mungkin selipar saya ni bersembunyi di Pakistan kerana tak nak balik ke Malaysia? Hm, ok abaikan.

Daripada Gupis ke Yasin Valley mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan dengan jeep. Sepanjang perjalanan, rasanya kami tidak terserempak dengan satu pun kenderaan lain. Perjalanan dengan suasana redup pagi itu melalui beberapa buah kampung kecil.

Cuaca sejuk di Yasin Valley
Air terjun di tepi jalan
Sungai Yasin
Kadangkala kami terserempak dengan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi jalan. Mereka melihat jeep yang kami naiki dengan muka penuh tanda tanya. Ada juga yang bersorak dan melambai-lambai kepada kami.

Saya begitu terpesona melihat kanak-kanak di situ. Seperti kebanyakan kanak-kanak yang berasal daripada Gilgit Baltistan, mereka juga berambut keperangan dan mata bewarna kebiruan. Cantik.

Cute little girls
Dalam perjalanan kami juga ada melalui jalan yang berbatu kerikil dengan air yang mengalir di atas jalan, seolah-olah jeep kami merentasi sebuah sungai kecil. Memang perjalanan di sini sentiasa penuh dengan kejutan, tapi kejutan yang menyenangkan bagi saya.

Yasin river with Hindukush background. Credit photo: Raji
Dalam perjalanan sesekali Raji berhenti di tepi sungai untuk memancing. Sungai Yasin yang sangat jernih dan agak deras begitu memukau pandangan saya.

Sungai Yasin yang jernih dan deras
Kemudian kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di jalan mati di mana yang ada di depan hanyalah sungai dan jambatan kayu yang kelihatan sudah agak uzur.

Jambatan kayu
Me with the jeep. Credit photo: Raji
Menurut Raji kami akan memulakan trekking daripada situ. Jeep kami tinggalkan di tepi sungai dan hanya membawa 1 daypack yang kami isi dengan sedikit bekalan makanan. Air tidak perlu, kerana boleh minum sahaja air sungai yang mengalir di situ, free-flow.

Kami berjalan sambil Raji menceritakan serba sedikit tentang kawasan itu. Menurutnya banyak trekking yang boleh dimulakan daripada situ termasuklah trekking sehingga merentasi border Afghanistan. Saya agak teruja mendengarnya tapi sudah tentu kami tidak akan trekking ke sana hari itu. Mungkin satu hari nanti?

Trekking kami agak santai dengan suhu yang dingin dan jalan juga agak landai menyelusuri sepanjang sungai Yasin. Sangat sesuai untuk menikmati pemandangan semulajadi di sini sambil menghirup udara yang segar.

Setelah beberapa minit kami trekking, kami terjumpa sebuah rumah kecil. Ada juga beberapa wanita tempatan di situ yang berusia mungkin sekitar 40-an sedang bersembang. Raji menyapa mereka, saya cuma memberi salam sebagai tanda hormat. Walaupun saya tidak dapat berkomunikasi dengan mereka kerana masalah bahasa, tapi saya dapat merasakan mereka sangat mengalu-alukan kedatangan saya di kampung mereka. Saya hanya mampu membalas dengan senyuman.

Kami meneruskan lagi perjalanan dan terjumpa seorang budak perempuan berselendang hitam, berkasut getah dan memeluk sebotol 'lassi' yang rasanya lebih besar daripada tangannya sendiri. Sungguh aneh rasanya kerana dia berjalan bersendirian di dalam kawasan hutan tanpa ditemani sesiapa.

Kami menyapa budak perempuan itu. Namanya Yusra baru berumur 10 tahun. Dia sedang dalam perjalanan ke rumah neneknya. Perbualan antara saya dan Yusra agak terbatas kerana dia belum begitu fasih berbahasa Inggeris. Tapi saya boleh nampak dia seorang yang sangat petah bercakap dan langsung tidak takut untuk bercakap dengan orang asing.

Setelah lama berjalan bersama-sama dan berborak dengannya, baru saya tahu Yusra adalah seorang Hafizah iaitu telah menghafal seluruh Al-Quran. Selain itu dia juga sungguh petah bercakap tentang politik dan isu semasa tentang Pakistan bersama Raji. Kagum saya dibuatnya, bagaimana seorang anak kecil semuda Yusra boleh bercakap tentang isu-isu semasa yang agak berat.

Adakah majoriti pemikiran kanak-kanak di sini memang begini? Mungkin kerana faktor keadaan sekeliling menjadikan mereka lebih cepat matang daripada biasa. Rupa paras mereka juga pada saya agak matang dari umur sebenar. Lihat sahaja wajah Yusra, sungguh cantik seolah-olah sudah berusia awal 20-an.

Yusra. Credit photo: Raji
Setelah hampir 1 jam berjalan bersama-sama, kami sampai di satu rumah kecil yang diperbuat daripada batu. Itulah rumah di mana nenek Yusra tinggal. Yusra beriya-iya mengajak kami singgah dulu di rumah neneknya. Untuk tidak menghampakannya, kami singgah sebentar.

Rumah nenek Yusra
Rumah kecil nenek Yusra diperbuat daripada batu dan berbentuk segiempat. Sangat unik pada saya. Pintu masuknya juga agak kecil dan rendah. Kami terpaksa membongkokkan sedikit badan untuk masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah satu sudut adalah tempat rehat yang dialas dengan tilam nipis bewarna terang. Di tengah-tengah rumah terdapat ruang membakar kayu api untuk memanaskan badan dan mereka juga memasak air dengan cerek di situ.

Bila masuk di dalam rumah, saya nampak nenek Yusra sedang duduk berdekatan unggun api di tengah rumah. Nenek Yusra memakai pakaian tradisional dan kelihatan sangat tua dan sudah bongkok. Ada juga pakcik dan ibu Yusra di situ. Kami memberi salam dan dijemput duduk di tempat rehat mereka.

Agak selesa rasanya kerana kami dapat memanaskan badan sedikit dengan unggun api yang ada di tengah rumah. Tapi asap tebal sesekali membuatkan mata kami terasa agak pedih.

Mereka memberi kami minum 'lassi' yang dibawa Yusra tadi. Rasa 'lassi' mereka agak kuat kalau dibandingkan dengan 'lassi' yang ada di Malaysia. Agak sukar saya menghabiskan secawan 'lassi' tersebut tapi saya cuba untuk minum sebanyak yang boleh. Raji ada bertanya kepada saya secara senyap-senyap, bolehkah saya menghabiskan 'lassi' itu kerana mungkin dia perasan saya sukar untuk menghabiskannya.

Lassi
Bersembang di dalam rumah
Raji banyak berborak dengan pakcik dan ibu Yusra. Malah mereka juga menjemput kami untuk makan tengahari dan menginap di rumah mereka. Ini adalah perkara biasa di Pakistan, di mana tetamu di jemput untuk bermalam di rumah walaupun baru sahaja kenal beberapa minit yang lepas. Tapi kami terpaksa menolak secara baik.

Setelah agak lama di rumah nenek Yusra, kami berdua meminta diri kerana masih hendak meneruskan trekking lagi dan Yusra mengikut kami.

Kami berjalan lagi, cuaca masih juga sejuk walaupun waktu itu sudah menunjukkan jam 2 petang. Kami berhenti di tepi sungai dan mengeluarkan bekalan makanan yang kami bawa di dalam beg. Kami makan beberapa bungkus snek dan juga biskut sebagai alas perut.

Just love the scenery. Credit photo: Raji
Sungguh berbeza sekali rasanya menikmati snek di tepi sungai yang berlatarbelakangkan banjaran Hindukush. Udara segar dengan bunyi deras sungai Yasin yang sejuk tidak mudah saya lupakan sampai bila-bila.

Raji and Yusra
Me with Yusra. Credit photo: Raji
Setelah beberapa lama kami berborak di situ, kami pun terpaksa bergerak untuk pulang semula ke tempat di mana kami tinggalkan jeep tadi. Kalau ikutkan saya memang masih mahu teruskan trekking, tapi menurut Raji dia hendak 'menyimpan' tempat-tempat yang lebih cantik supaya saya datang lagi ke sini. Licik bukan? Lol.

Semasa sedang berjalan pulang Yusra ada memberitahu dia ada rancangan untuk ke rumah pakciknya dengan berjalan kaki. Raji mengajaknya untuk tumpang jeep kami sahaja nanti. Yusra setuju, tapi menurutnya dia mesti meminta izin daripada ibunya untuk mengikut kami.

Me with Yusra walking together. Credit photo: Raji
Setelah beberapa lama berjalan akhirnya kami sampai semula di rumah nenek Yusra tadi dan Yusra terus masuk mendapatkan ibunya. Kami hanya menunggu di luar rumah.

Ibu Yusra keluar dan bercakap sekejap dengan Raji sementara Yusra kelihatan terus memujuk ibunya. Tak lama kemudian Yusra telah mendapat izin daripada ibunya untuk mengikut kami :P

Tanpa berlengah kami meminta diri dan meneruskan lagi berjalan sehingga sampai di tempat kami tinggalkan jeep tadi. Kami terus berangkat menuju ke rumah pakcik Yusra. Yusra dengan petahnya memberi tunjuk jalan untuk ke rumah pakciknya.

Setelah kira-kira 15-20 minit perjalanan dengan jeep akhirnya kami sampai di rumah pakcik Yusra. Sekali lagi Yusra beriya-iya mengajak kami untuk singgah di rumah pakciknya. Waktu itu sudah sekitar jam 4 pm kalau tak salah saya. Untuk tidak menghampakannya, kami bersetuju untuk singgah sebentar.

Rumah pakcik Yusra agak mewah kalau dibandingkan dengan standard rumah orang tempatan di situ. Menurut Yusra, pakciknya adalah seorang ahli politik di kawasan itu.

Yusra's uncle house. Credit photo: Raji
Sampai di rumah pakcik Yusra kami melihat ada beberapa kanak-kanak di situ yang kelihatan hampir sebaya dengan Yusra bermain di halaman rumah. Mereka melihat kami dengan muka yang penuh tanda tanya. Mungkin jarang orang luar yang datang ke rumah mereka.

Yusra membawa kami berdua masuk ke dalam rumah dan disuruh duduk dahulu. Ruang bilik untuk tetamu agak luas dan selesa. Malahan terdapat juga tandas di ruang ini untuk kegunaan para tetamu yang datang menziarah.

Kami berdua menunggu di ruang tetamu sambil berborak kosong. Tak lama kemudian seorang lelaki berumur 40-an dengan muka yang agak serius datang dan terus bersalaman dengan Raji. Tak lain tak bukan, itulah dia pakcik Yusra.

Yusra's uncle. Credit photo: Raji
Tak lama kemudian Yusra datang dengan membawa 2 pinggan penuh dengan buah ceri yang dipetik sendiri daripada pokok tak jauh dari rumah pakciknya. Rezeki kami lagi hari ini dijamu dengan buah ceri segar :)

Cherries ! Credit photo: Raji
Raji dan pakcik Yusra banyak berborak tentang politik. Saya yang tidak faham bahasa mereka terus memakan buah ceri sahaja.

Kira-kira selepas 10 minit mereka berborak, pakcik Yusra bangun dari tempat duduknya dan keluar meninggalkan kami berdua. Dalam masa beberapa minit dia datang semula sambil membawa sedulang makanan untuk kami. Sungguh kami tak menjangkakan mereka akan menjamu kami dengan capati, ikan trout (kegemaran saya!), telur goreng dan juga chai. Alhamdulilah rezeki kami lagi pada hari itu :)

Capati, ikan trout, telur goreng dan chai. Credit photo: Raji
Kami bertiga makan sambil berborak sehingga menambah beberapa cawan chai lagi. Oleh kerana hari sudah lewat petang kami meminta diri untuk ke pekan Yasin mencari hotel untuk menginap malam itu. Pakcik Yusra dengan bersungguh-sungguh menyuruh kami menginap dirumahnya sahaja. Tapi seperti biasa Raji cuma berterima kasih dan menolak secara baik ajakan pakcik Yusra itu.

Sebelum meninggalkan rumah pakcik Yusra sempat juga kami mengambil gambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan :)

Group photo. Credit photo: Raji
Pakcik Yusra menghantar kami sehingga ke jeep. Sungguh baik sekali layanan mereka terhadap tetamu walaupun kami berdua hanyalah orang asing yang singgah kerana menghantar Yusra di situ.

Selepas mengucapkan selamat jalan, kami terus menuju ke pekan Yasin mencari hotel untuk menginap malam itu. Selepas check-in hotel, kami berdua keluar dan berjalan kaki di kampung berdekatan.

Hotel di Yasin Valley
Sungguh cantik dan damai sekali kampung di Yasin Valley ini. Kami melalui sebuah jambatan besar untuk menyeberangi sungai. Kami berjalan sambil berborak dan tahu-tahu sahaja hari sudah gelap. Kerana leka berborak kami tidak sedar yang kami telah berjalan agak jauh dari hotel. Kami berjalan pulang semula ke hotel dengan keadaan jalan yang gelap.

Sampai di hotel kami masing-masing berehat dan keesokannya kami akan meneruskan lagi perjalanan ke Phandar Valley. Stay tune !

14 comments:

  1. Salam ET

    cantiknya pengalaman hidup mu ..... terus menulis ya. tq

    ReplyDelete
  2. setiap kali baca entry Pakistan awk, mesti sy bukak map..tengok perjalanan dari mana ke mana.. very interesting! :)

    ReplyDelete
  3. salam ziarah dari wak yee.,ehHHee gmbr2 yg menarik ghituuu

    ReplyDelete
  4. Puak2 taliban ni rmai kat daerah mana? Apa pandangan penduduk tempatan sendiri pada taliban ni? Mcm berhajat nak ke sana tp tkt2 salah redah termasuk plak tmpt2 geng2 taliban..

    ReplyDelete
  5. Dapat blog ni kt kosmo pagi tadi.Pengembaraan yang menarik!

    ReplyDelete
  6. hahaha ,muka pak cik Yusra macam serius

    ReplyDelete
  7. Salam, Dapat blog ni from Kosmo tadi. Very interesting and admire your courage. Keep on travelling and writing. Looking forward to read them. Take care and may ALLAH always be with you

    ReplyDelete
  8. So beautiful ... must do this once in a lifetime trip ... thanks for sharing and hope to read more! :)

    ReplyDelete
  9. Terbaik la menjelajah sampai kepelusuk pendalaman pakistan :D
    Teruskan menulis yer.. ramai lagi yang mengikuti pengembaraan anda :D

    ReplyDelete
  10. Assalam. One of the most outstanding photography seen on the web. Will follow this blog closely. Fantastic scenery. Thank you.

    ReplyDelete
  11. fall in love..awesome view..teruja untuk try. thanks for sharing :)

    ReplyDelete