Saturday, March 22, 2014

Pakistan Part 12 - Phandar Valley and trout fish !

1 Julai 2013

Bangun pagi di Yasin Valley, cuaca sejuk terasa sampai ke tulang sumsum. Tapi ku gagahi juga untuk mandi dan bersiap pagi itu kerana kami akan ke Phandar pula, satu lagi tempat menarik di Ghizer Valley.

Perjalanan daripada Yasin ke Phandar mengambil masa lebih kurang 2 jam dengan jeep. Perjalanan yang panjang tidak terasa kerana pemandangan banjaran Hindukush yang betul-betul mengagumkan. Sepanjang perjalanan kami melihat gunung-ganang yang tersergam megah di kanan dan kiri kami. Sungai yang deras dan jernih juga sentiasa berada di sebelah kanan jalan mengiringi perjalanan kami ke Phandar.

Journey to Phandar Valley
Pemandangan sepanjang perjalanan ke Phandar
Sungai yang sangat jernih
Hindukush landscape
Setelah hampir 2 jam perjalanan, kami sampai di satu tempat yang kelihatan agak ramai penduduk kampung di situ. Saya juga ternampak satu papan tanda 'Picnic Spot for Trout Fish'. Raji turun daripada jeep dan bercakap dengan beberapa penduduk kampung di situ.

Kemudian Raji memberitahu saya jalan di hadapan untuk sampai ke Phandar telah rosak teruk akibat tanah runtuh. Menurutnya kami perlu tinggalkan jeep di situ dan trekking sedikit untuk melepasi kawasan tanah runtuh. Saya tidak ada masalah dan terus bersetuju sahaja.

Tanpa membuang masa Raji terus bercakap dengan beberapa orang kampung di situ dan bertanya di mana dia boleh meninggalkan jeepnya selama 2 hari kerana kami akan bermalam di Phandar nanti.

Orang kampung di situ kelihatan bersungguh-sungguh untuk membantu dan menyuruh Raji parking jeepnya di tepi jalan, tak jauh daripada papan tanda 'Picnic Spot for Trout Fish' tadi.

Setelah parking jeep di situ, kami mengangkat beg masing-masing dan terus berjalan melewati kawasan tanah runtuh. Pada mulanya jalan agak menanjak dan kemudian mendatar melalui jalan yang berbatu kerikil.

Melepasi kawasan tanah runtuh
Kami berjalan kira-kira 20 sehingga 30 minit sehinggalah sampai di satu rumah tumpangan yang terletak betul-betul di tepi sungai yang diberi nama Pingal.

Pingal River
Kami meninggalkan beg di rumah tumpangan tersebut yang juga merupakan milik kawan Raji. Sementara kawan Raji mendapatkan kereta sewa untuk kami meneruskan perjalanan ke Phandar, kami berehat di tepi sungai.

Setelah kira-kira setengah jam berehat di tepi sungai, kawan Raji datang dengan sebuah kereta sedan bewarna kuning cair yang kelihatan sudah agak tua. Kawan Raji yang memandu kereta tersebut seorang lelaki berumur 40-an, sangat tinggi dan memakai kurta.

Setelah Raji bercakap sekejap dengan kawannya itu, kami masuk ke dalam kereta dan terus menuju ke Phandar. Phandar terkenal dengan tasiknya yang dipenuhi dengan ikan trout. Ikan trout adalah ikan yang sangat sedap dan semenjak berada di Pakistan saya telah beberapa kali dijamu dengan ikan trout oleh penduduk kampung. Secara jujurnya saya bukanlah penggemar ikan atau hidupan laut yang lain, tapi ikan trout pada saya betul-betul sedap walaupun ikan ini hanya digoreng begitu sahaja.

Jadi tujuan utama kami ke Phandar tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memancing ikan trout ! Hehe

Perjalanan daripada rumah tumpangan ke Phandar tidak pernah membuat saya bosan kerana pemandangan yang sangat cantik dan memukau. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan kecantikan tempat bernama Phandar ini.

Phandar Valley
Setelah kira-kira 1 jam perjalanan dengan kereta akhirnya kami sampai di tempat tujuan iaitu Phandar Lake. Kami harus berjalan kaki sejauh kira-kira 500 meter kerana Phandar Lake terletak agak jauh daripada jalanraya.

Pada waktu kami sampai di situ cuaca agak berangin. Walaupun masih musim panas (summer) dan terasa terik matahari tetapi tetap sejuk dengan tiupan agin yang agak kuat.

Setelah beberapa minit berjalan kaki akhirnya kami sampai di tepi tasik.

Sebuah tasik yang begitu cantik dan tenang sekali. Seperti biasa tidak ada sesiapa di situ selain kami.

Phandar Lake
Tasik yang sangat jernih
Saya terus duduk di tepi tasik manakala Raji mencuba nasib dengan memancing ikan trout di situ. Kami telah merancang untuk menjadikan tangkapan ikan trout sebagai makan malam kami nanti.

Phandar Lake
Saya terus menunggu di tepi tasik sambil makan bekalan snek dan biskut yang kami bawa di dalam beg. Rasanya saya sanggup duduk berjam-jam di situ tanpa berbuat apa-apa sambil menikmati pemandangan tasik yang berlatarbelakangkan banjaran Hindukush dengan ketenangan tasik yang luarbiasa.

Cuma sesekali saya terdengar bunyi serangga yang bermain-main di atas air. Kadangkala terasa angin yang agak kuat sehingga saya terpaksa menyeluk tangan di dalam poket baju sejuk yang saya pakai waktu itu kerana terasa sedikit kesejukan.

Sedang mengelamun sendiri, tiba-tiba Raji memanggil dan dia menunjukkan ikan trout berada di hujung jorannya sambil tersenyum lebar. Ikan trout yang pertama untuk malam nanti, yay! :D

Tak lama kemudian ikan trout yang kedua berjaya dipancing. Seronok rasanya bila semakin banyak ikan trout yang berjaya dipancing.

Pada masa yang sama, saya perasan tak jauh daripada tempat kami memancing ada 2 orang pengembala kambing. Seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lagi lelaki berusia sekitar 40-an.

Mereka membawa sekumpulan kambing menyeberangi anak sungai tak jauh dari tempat kami memancing. Selain kambing saya juga perasan ada sekumpulan keldai yang dibawa oleh pengembalanya. Pada saya ianya amat unik. Kalau tadi saya terpukau dengan pemandangan tasik dan banjaran Hindukush, sekarang perhatian saya beralih pula kepada aktiviti pengembala haiwan ternakan pula.

Si pengembala kambing


Kawan Raji yang memandu kereta tadi pun datang kepada kami. Raji menyerahkan joran kepada beliau untuk dia mencuba nasib pula. Menurut Raji, agak sukar memancing ikan trout bila keadaan agak berangin seperti waktu itu.

Setelah beberapa minit memancing, kawan Raji berjaya mendapatkan trout. Seekor demi seekor trout berjaya dipancingnya. Saya teruja setiap kali melihat trout yang berjaya dipancing dan dikumpulkan di atas tanah. Semakin banyak trout yang terkumpul bermaksud semakin besarlah makan malam kami nanti hehe.

Hasil tangkapan ;)
Trout fish!
Hampir 3 jam kami memancing sebelum kami beredar daripada situ.

Kami berangkat pulang semula ke rumah tumpangan di tepi sungai tadi.

Di dalam perjalanan, kami telah beberapa kali berhenti di tepi jalan untuk menikmati lagi pemandangan Phandar yang luarbiasa.

Me with Phandar Valley background
Sungai tepi jalan
Sampai di rumah tumpangan kami banyak berborak lagi sebelum mandi dan kemudian menunggu mereka menyediakan makan malam. Hidangan pada malam itu sangat istimewa kerana kami dijamu dengan banyak sekali ikan trout bersama ayam yang dimasak seperti kari. Sungguh berselera kami makan walaupun tidak ada elektrik pada malam itu. Kami makan hanya diterangi dengan cahaya lilin.

Setelah makan kami berborak lagi sebelum tidur. Keesokannya kami akan berangkat pulang semula ke Gilgit.

Terima kasih kerana sudi membaca. Sambungan seterusnya adalah pengalaman saya memandu 4 wheels drive mountain jeep di sana. Stay tune ! ;)

Monday, January 20, 2014

Pakistan Part 11 - Suprises in Yasin Valley

30 June 2013

Genap sudah 30 hari sejak saya memulakan perjalanan Silk Route daripada tanah besar China dan sekarang saya berada di bumi Pakistan atau lebih spesifiknya di sebuah kampung kecil tak jauh dari pekan Gupis, daerah Ghizer Valley, Gilgit-Baltistan, Pakistan Utara. Cuaca pagi ini agak sejuk, mungkin kerana hujan malam semalam jadi cuaca di Ghizer Valley sejuk seolah-oleh berada di tanah tinggi.

Bilik saya terletak betul-betul di tepi tasik. Bila keluar daripada bilik, saya menikmati udara pagi yang segar, pemandangan tasik yang tenang dan kelihatan seperti tumbuh-tumbuhan habis dibasahi dengan embun pagi. Begitu segar suasana pagi di sini dan terasa sedikit sejuk. Saya seperti biasa tak lekang daripada memakai baju sejuk nipis berhud bewarna hitam yang memang saya bawa ke mana-mana.

Setelah mengemas backpack masing-masing, kami pun berangkat daripada hotel dan meneruskan perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya iaitu Yasin Valley.

Oh ya, sebelum ke Yasin Valley kami sekali lagi pergi ke tasik semalam untuk mencari selipar saya yang hilang tapi hampa kerana tidak juga menjumpainya. Agak misteri juga kehilangan selipar saya ni, tapi takpelah. Mungkin selipar saya ni bersembunyi di Pakistan kerana tak nak balik ke Malaysia? Hm, ok abaikan.

Daripada Gupis ke Yasin Valley mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan dengan jeep. Sepanjang perjalanan, rasanya kami tidak terserempak dengan satu pun kenderaan lain. Perjalanan dengan suasana redup pagi itu melalui beberapa buah kampung kecil.

Cuaca sejuk di Yasin Valley
Air terjun di tepi jalan
Sungai Yasin
Kadangkala kami terserempak dengan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi jalan. Mereka melihat jeep yang kami naiki dengan muka penuh tanda tanya. Ada juga yang bersorak dan melambai-lambai kepada kami.

Saya begitu terpesona melihat kanak-kanak di situ. Seperti kebanyakan kanak-kanak yang berasal daripada Gilgit Baltistan, mereka juga berambut keperangan dan mata bewarna kebiruan. Cantik.

Cute little girls
Dalam perjalanan kami juga ada melalui jalan yang berbatu kerikil dengan air yang mengalir di atas jalan, seolah-olah jeep kami merentasi sebuah sungai kecil. Memang perjalanan di sini sentiasa penuh dengan kejutan, tapi kejutan yang menyenangkan bagi saya.

Yasin river with Hindukush background. Credit photo: Raji
Dalam perjalanan sesekali Raji berhenti di tepi sungai untuk memancing. Sungai Yasin yang sangat jernih dan agak deras begitu memukau pandangan saya.

Sungai Yasin yang jernih dan deras
Kemudian kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di jalan mati di mana yang ada di depan hanyalah sungai dan jambatan kayu yang kelihatan sudah agak uzur.

Jambatan kayu
Me with the jeep. Credit photo: Raji
Menurut Raji kami akan memulakan trekking daripada situ. Jeep kami tinggalkan di tepi sungai dan hanya membawa 1 daypack yang kami isi dengan sedikit bekalan makanan. Air tidak perlu, kerana boleh minum sahaja air sungai yang mengalir di situ, free-flow.

Kami berjalan sambil Raji menceritakan serba sedikit tentang kawasan itu. Menurutnya banyak trekking yang boleh dimulakan daripada situ termasuklah trekking sehingga merentasi border Afghanistan. Saya agak teruja mendengarnya tapi sudah tentu kami tidak akan trekking ke sana hari itu. Mungkin satu hari nanti?

Trekking kami agak santai dengan suhu yang dingin dan jalan juga agak landai menyelusuri sepanjang sungai Yasin. Sangat sesuai untuk menikmati pemandangan semulajadi di sini sambil menghirup udara yang segar.

Setelah beberapa minit kami trekking, kami terjumpa sebuah rumah kecil. Ada juga beberapa wanita tempatan di situ yang berusia mungkin sekitar 40-an sedang bersembang. Raji menyapa mereka, saya cuma memberi salam sebagai tanda hormat. Walaupun saya tidak dapat berkomunikasi dengan mereka kerana masalah bahasa, tapi saya dapat merasakan mereka sangat mengalu-alukan kedatangan saya di kampung mereka. Saya hanya mampu membalas dengan senyuman.

Kami meneruskan lagi perjalanan dan terjumpa seorang budak perempuan berselendang hitam, berkasut getah dan memeluk sebotol 'lassi' yang rasanya lebih besar daripada tangannya sendiri. Sungguh aneh rasanya kerana dia berjalan bersendirian di dalam kawasan hutan tanpa ditemani sesiapa.

Kami menyapa budak perempuan itu. Namanya Yusra baru berumur 10 tahun. Dia sedang dalam perjalanan ke rumah neneknya. Perbualan antara saya dan Yusra agak terbatas kerana dia belum begitu fasih berbahasa Inggeris. Tapi saya boleh nampak dia seorang yang sangat petah bercakap dan langsung tidak takut untuk bercakap dengan orang asing.

Setelah lama berjalan bersama-sama dan berborak dengannya, baru saya tahu Yusra adalah seorang Hafizah iaitu telah menghafal seluruh Al-Quran. Selain itu dia juga sungguh petah bercakap tentang politik dan isu semasa tentang Pakistan bersama Raji. Kagum saya dibuatnya, bagaimana seorang anak kecil semuda Yusra boleh bercakap tentang isu-isu semasa yang agak berat.

Adakah majoriti pemikiran kanak-kanak di sini memang begini? Mungkin kerana faktor keadaan sekeliling menjadikan mereka lebih cepat matang daripada biasa. Rupa paras mereka juga pada saya agak matang dari umur sebenar. Lihat sahaja wajah Yusra, sungguh cantik seolah-olah sudah berusia awal 20-an.

Yusra. Credit photo: Raji
Setelah hampir 1 jam berjalan bersama-sama, kami sampai di satu rumah kecil yang diperbuat daripada batu. Itulah rumah di mana nenek Yusra tinggal. Yusra beriya-iya mengajak kami singgah dulu di rumah neneknya. Untuk tidak menghampakannya, kami singgah sebentar.

Rumah nenek Yusra
Rumah kecil nenek Yusra diperbuat daripada batu dan berbentuk segiempat. Sangat unik pada saya. Pintu masuknya juga agak kecil dan rendah. Kami terpaksa membongkokkan sedikit badan untuk masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah satu sudut adalah tempat rehat yang dialas dengan tilam nipis bewarna terang. Di tengah-tengah rumah terdapat ruang membakar kayu api untuk memanaskan badan dan mereka juga memasak air dengan cerek di situ.

Bila masuk di dalam rumah, saya nampak nenek Yusra sedang duduk berdekatan unggun api di tengah rumah. Nenek Yusra memakai pakaian tradisional dan kelihatan sangat tua dan sudah bongkok. Ada juga pakcik dan ibu Yusra di situ. Kami memberi salam dan dijemput duduk di tempat rehat mereka.

Agak selesa rasanya kerana kami dapat memanaskan badan sedikit dengan unggun api yang ada di tengah rumah. Tapi asap tebal sesekali membuatkan mata kami terasa agak pedih.

Mereka memberi kami minum 'lassi' yang dibawa Yusra tadi. Rasa 'lassi' mereka agak kuat kalau dibandingkan dengan 'lassi' yang ada di Malaysia. Agak sukar saya menghabiskan secawan 'lassi' tersebut tapi saya cuba untuk minum sebanyak yang boleh. Raji ada bertanya kepada saya secara senyap-senyap, bolehkah saya menghabiskan 'lassi' itu kerana mungkin dia perasan saya sukar untuk menghabiskannya.

Lassi
Bersembang di dalam rumah
Raji banyak berborak dengan pakcik dan ibu Yusra. Malah mereka juga menjemput kami untuk makan tengahari dan menginap di rumah mereka. Ini adalah perkara biasa di Pakistan, di mana tetamu di jemput untuk bermalam di rumah walaupun baru sahaja kenal beberapa minit yang lepas. Tapi kami terpaksa menolak secara baik.

Setelah agak lama di rumah nenek Yusra, kami berdua meminta diri kerana masih hendak meneruskan trekking lagi dan Yusra mengikut kami.

Kami berjalan lagi, cuaca masih juga sejuk walaupun waktu itu sudah menunjukkan jam 2 petang. Kami berhenti di tepi sungai dan mengeluarkan bekalan makanan yang kami bawa di dalam beg. Kami makan beberapa bungkus snek dan juga biskut sebagai alas perut.

Just love the scenery. Credit photo: Raji
Sungguh berbeza sekali rasanya menikmati snek di tepi sungai yang berlatarbelakangkan banjaran Hindukush. Udara segar dengan bunyi deras sungai Yasin yang sejuk tidak mudah saya lupakan sampai bila-bila.

Raji and Yusra
Me with Yusra. Credit photo: Raji
Setelah beberapa lama kami berborak di situ, kami pun terpaksa bergerak untuk pulang semula ke tempat di mana kami tinggalkan jeep tadi. Kalau ikutkan saya memang masih mahu teruskan trekking, tapi menurut Raji dia hendak 'menyimpan' tempat-tempat yang lebih cantik supaya saya datang lagi ke sini. Licik bukan? Lol.

Semasa sedang berjalan pulang Yusra ada memberitahu dia ada rancangan untuk ke rumah pakciknya dengan berjalan kaki. Raji mengajaknya untuk tumpang jeep kami sahaja nanti. Yusra setuju, tapi menurutnya dia mesti meminta izin daripada ibunya untuk mengikut kami.

Me with Yusra walking together. Credit photo: Raji
Setelah beberapa lama berjalan akhirnya kami sampai semula di rumah nenek Yusra tadi dan Yusra terus masuk mendapatkan ibunya. Kami hanya menunggu di luar rumah.

Ibu Yusra keluar dan bercakap sekejap dengan Raji sementara Yusra kelihatan terus memujuk ibunya. Tak lama kemudian Yusra telah mendapat izin daripada ibunya untuk mengikut kami :P

Tanpa berlengah kami meminta diri dan meneruskan lagi berjalan sehingga sampai di tempat kami tinggalkan jeep tadi. Kami terus berangkat menuju ke rumah pakcik Yusra. Yusra dengan petahnya memberi tunjuk jalan untuk ke rumah pakciknya.

Setelah kira-kira 15-20 minit perjalanan dengan jeep akhirnya kami sampai di rumah pakcik Yusra. Sekali lagi Yusra beriya-iya mengajak kami untuk singgah di rumah pakciknya. Waktu itu sudah sekitar jam 4 pm kalau tak salah saya. Untuk tidak menghampakannya, kami bersetuju untuk singgah sebentar.

Rumah pakcik Yusra agak mewah kalau dibandingkan dengan standard rumah orang tempatan di situ. Menurut Yusra, pakciknya adalah seorang ahli politik di kawasan itu.

Yusra's uncle house. Credit photo: Raji
Sampai di rumah pakcik Yusra kami melihat ada beberapa kanak-kanak di situ yang kelihatan hampir sebaya dengan Yusra bermain di halaman rumah. Mereka melihat kami dengan muka yang penuh tanda tanya. Mungkin jarang orang luar yang datang ke rumah mereka.

Yusra membawa kami berdua masuk ke dalam rumah dan disuruh duduk dahulu. Ruang bilik untuk tetamu agak luas dan selesa. Malahan terdapat juga tandas di ruang ini untuk kegunaan para tetamu yang datang menziarah.

Kami berdua menunggu di ruang tetamu sambil berborak kosong. Tak lama kemudian seorang lelaki berumur 40-an dengan muka yang agak serius datang dan terus bersalaman dengan Raji. Tak lain tak bukan, itulah dia pakcik Yusra.

Yusra's uncle. Credit photo: Raji
Tak lama kemudian Yusra datang dengan membawa 2 pinggan penuh dengan buah ceri yang dipetik sendiri daripada pokok tak jauh dari rumah pakciknya. Rezeki kami lagi hari ini dijamu dengan buah ceri segar :)

Cherries ! Credit photo: Raji
Raji dan pakcik Yusra banyak berborak tentang politik. Saya yang tidak faham bahasa mereka terus memakan buah ceri sahaja.

Kira-kira selepas 10 minit mereka berborak, pakcik Yusra bangun dari tempat duduknya dan keluar meninggalkan kami berdua. Dalam masa beberapa minit dia datang semula sambil membawa sedulang makanan untuk kami. Sungguh kami tak menjangkakan mereka akan menjamu kami dengan capati, ikan trout (kegemaran saya!), telur goreng dan juga chai. Alhamdulilah rezeki kami lagi pada hari itu :)

Capati, ikan trout, telur goreng dan chai. Credit photo: Raji
Kami bertiga makan sambil berborak sehingga menambah beberapa cawan chai lagi. Oleh kerana hari sudah lewat petang kami meminta diri untuk ke pekan Yasin mencari hotel untuk menginap malam itu. Pakcik Yusra dengan bersungguh-sungguh menyuruh kami menginap dirumahnya sahaja. Tapi seperti biasa Raji cuma berterima kasih dan menolak secara baik ajakan pakcik Yusra itu.

Sebelum meninggalkan rumah pakcik Yusra sempat juga kami mengambil gambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan :)

Group photo. Credit photo: Raji
Pakcik Yusra menghantar kami sehingga ke jeep. Sungguh baik sekali layanan mereka terhadap tetamu walaupun kami berdua hanyalah orang asing yang singgah kerana menghantar Yusra di situ.

Selepas mengucapkan selamat jalan, kami terus menuju ke pekan Yasin mencari hotel untuk menginap malam itu. Selepas check-in hotel, kami berdua keluar dan berjalan kaki di kampung berdekatan.

Hotel di Yasin Valley
Sungguh cantik dan damai sekali kampung di Yasin Valley ini. Kami melalui sebuah jambatan besar untuk menyeberangi sungai. Kami berjalan sambil berborak dan tahu-tahu sahaja hari sudah gelap. Kerana leka berborak kami tidak sedar yang kami telah berjalan agak jauh dari hotel. Kami berjalan pulang semula ke hotel dengan keadaan jalan yang gelap.

Sampai di hotel kami masing-masing berehat dan keesokannya kami akan meneruskan lagi perjalanan ke Phandar Valley. Stay tune !

Sunday, January 19, 2014

Pakistan Part 10 - The beauty of Khalti Lake, Ghizer Valley

29 June 2013

Jam 8 am kami berjumpa di lobi Old Madina Guesthouse. Oleh kerana saya akan ke Ghizer Valley selama 4 hari 3 malam, saya check-out dan menyerahkan kunci bilik kepada staf Old Madina Guesthouse tapi tidak membayar lagi jumlah bayaran penginapan selama 3 hari sebelumnya kerana selepas balik daripada Ghizer nanti saya akan menginap lagi di situ. Selepas check-out, saya menyimpan backpack di bilik stor guesthouse dan hanya membawa daypack untuk ke Ghizer Valley.

Ghizer Valley terletak paling barat di daerah Gilgit-Baltistan yang didiami oleh pelbagai etnik dengan bahasa pertuturan yang berbeza. Terdapat tiga bahasa utama di Ghizer Valley iaitu Khowar, Shina dan Burushaski.

Lokasi lembah ini yang terletak di antara dua banjaran gunung Hindukush dan Karakarum, menjadikan tempat ini tersergam indah dengan pemandangan alam semula jadinya yang sangat natural dengan gunung-ganang, sungai, tasik dan sebagainya.

Kami berangkat dengan jeep kepunyaan Raji pada kira-kira jam 8.30 am.

Sepanjang perjalanan cuaca begitu baik. Walaupun jeep tidak mempunyai sistem penghawa dingin tapi saya berasa sangat selesa dengan menghirup udara segar dari luar. Tidak ada banyak kenderaan malahan boleh dihitung dengan jari berapa sahaja kenderaan yang bertembung dengan kami sepanjang perjalanan. Jalanraya yang berturap juga agak kecil dan muat-muat untuk 1 kenderaan pada satu masa.

Antara jalan bertar daripada Gilgit ke Ghizer Valley
Pada awal perjalanan kami melalui beberapa buah kampung kecil. Kadang-kadang terlihat penduduk kampung yang sedang sibuk dengan tugasan harian mereka seperti bercucuk tanam dan pelbagai aktiviti lain di sawah padi. Kampung yang kelihatan sangat tenang dengan landskap yang mengagumkan, hijau sawah padi yang luas terbentang, berlatarbelakangkan gunung-ganang banjaran Hindukush dan Karakoram, air terjun yang tak terhitung banyaknya, membuatkan saya terfikir tentu mereka di sini tidak pernah mengalami tekanan hidup seperti di bandar besar. Betapa beruntungnya mereka.

Perjalanan menjadi lebih menarik bila Raji memainkan lagu-lagu Urdu di dalam jeep. Terasa seperti di dalam filem pun ada dengan muzik dan pemandangan sebegitu.

Semakin jauh perjalanan, landskap mukabumi berubah sedikit demi sedikit. Jalan semakin berliku dan berbatu kerikil. Di sebelah kanan jalan terbentang sungai Gilgit yang sangat deras dan di sebelah kiri hanyalah dinding batu-batuan yang kelihatan sangat keras dan gah. Banjaran gunung Hindukush dan Karakoram tetap menjadi latarbelakang pemandangan sepanjang perjalanan kami ke Ghizer Valley.

Pemandangan biasa daripada Gilgit menuju ke Ghizer Valley
Sesekali kami terlihat jambatan gantung yang dibuat oleh penduduk kampung yang menjadi laluan mereka untuk menyeberangi sungai Gilgit.

Suspension bridge. Credit photo: Raji
Setelah kira-kira 1 jam perjalanan, kami berhenti di tepi jalan apabila ternampak ada sebatang kayu yang menjadi penghadang jalan. Rupanya itu adalah check point sekuriti pertama yang kami lalui. Kami turun daripada jeep dan Raji meminta saya membawa passport bersama.

Kami pergi ke pondok kecil di tepi jalan dan Raji bercakap dengan beberapa lelaki berpakaian seragam polis di situ. Kemudian ada seorang polis memberi sebuah buku rekod besar kepada saya dan meminta saya menulis beberapa butir pengenalan di situ. Dalam masa yang sama dia membelek-belek passport saya dan kelihatan seperti mencuba membaca butiran yang tertulis di dalam passport.

Sewaktu menunggu, Raji memberi saya segelas air mineral yang diberi oleh polis kepadanya. Menurut Raji, sumber air di kawasan ini adalah antara yang paling baik ada di daerah Gilgit-Baltistan. Raji mahu saya merasa air tersebut dan setelah saya meminum seteguk, ternyata memang air mineral terasa sangat segar dan ada terasa sedikit manis mungkin? Pendek kata air mineral yang sedap. Hmm.

Lepak di pondok sekuriti polis
Raji masih lagi bercakap dengan polis tadi dan kelihatan seperti berunding sesuatu. Tak lama kemudian Raji memberitahu saya seorang daripada mereka akan mengikut kami menaiki jeep sehingga sampai di check point seterusnya.

Ini adalah prosedur baru yang berkuatkuasa di daerah Gilgit-Baltistan berikutan kejadian 10 tourists di bunuh oleh Taliban yang berlaku beberapa hari sebelumnya. Pihak berkuasa Pakistan melaksanakan prosedur baru ini untuk memastikan keselamatan pengunjung luar terjamin sewaktu mengunjungi daerah Gilgit-Baltistan.

Setelah selesai perbincangan dengan polis tadi kami menyambung perjalanan dengan seorang polis lengkap bersenjata mengikut kami menaiki jeep. Polis yang sudah agak berusia itu banyak berborak dengan Raji di sepanjang perjalanan.

Polis pertama yang escort kami ke check point kedua
Oleh kerana saya tidak faham apa yang dibualkan oleh mereka, saya hanya melayan pemandangan indah sepanjang perjalanan yang sememangnya tidak pernah menjemukan untuk dipandang dan dinikmati.

Pemandangan yang cantik sepanjang perjalanan
Setelah hampir setengah jam, kami sampai di check point kedua. Kami bertiga turun daripada jeep dan masuk ke dalam pondok polis di tepi jalan. Seperti tadi juga saya disuruh menulis butiran peribadi di dalam buku rekod besar mereka. Kali ini polis lain pula yang mengikut kami sehingga check point yang ketiga.

Salah satu check point
Kami menyambung semula perjalanan sehingga ke check point ketiga. Sampai di checkpoint ketiga, saya melalui prosedur yang sama iaitu menulis butiran peribadi di dalam buku rekod besar mereka. Rasanya pada waktu ini saya sudah begitu hafal nombor passport saya tanpa perlu melihat passport seperti kebiasaannya.

Di check point ketiga ini yang saya tidak boleh lupa ialah ada sorang polis yang kelihatan berjawatan agak tinggi menyuruh saya mengambil gambar beliau. Saya yang kebetulan membawa kamera digital di dalam kocek sweater terus mengambil gambar beliau seperti yang disuruh. Kemudian dengan muka seriusnya dia bercakap sesuatu kepada Raji yang kemungkinan maksudnya adalah jaga budak ni baik-baik, saya agaklah. Raji dan polis di situ terus berbincang dan saya menunggu di satu sudut lain.

Polis yang minta diambil gambarnya :)
Akhirnya setelah selesai perbincangan antara Raji dan polis, Raji berkata kepada saya yang kali ini polis tidak perlu mengikut kami sehingga ke destinasi seterusnya. Saya tidak pasti apa yang diberitahu oleh Raji kepada polis sehingga kami dikecualikan daripada mengikut prosedur seperti biasa. Tapi baguslah, kan? ;)

Kami meneruskan lagi perjalanan. Sesekali Raji berhenti di tepi jalan untuk mengambil air minuman dengan botol 1.5 liter yang memang tersedia di dalam jeepnya. Ya, itu adalah air minuman kami yang sumbernya daripada air terjun di tepi jalan. Air mineral tersebut rasanya sungguh segar dan sejuk juga !

Sumber air mineral di tepi jalan
Setelah hampir 5 jam perjalanan daripada Gilgit, akhirnya kami sampai di destinasi pertama iaitu pekan Gupis. Gupis adalah sebuah pekan kecil yang menjadi pusat pemerintahan kawasan di sekitar Ghizer Valley. Memasuki kawasan pekan Gupis saya mula nampak beberapa deretan kedai runcit dan orang ramai yang rata-ratanya adalah lelaki yang berpakaian traditional kurta dan siap berkupiah. Saya juga nampak papan tanda tempat kanak-kanak belajar menjadi tahfiz di tepi jalan.

Pekan Gupis
Iqra, tempat kanak-kanak belajar menghafal Al-Quran
Kami berhenti di satu hotel untuk makan tengahari. Hotel di sini amat sederhana dan hanya menyediakan beberapa buah bilik sahaja. Restoren hotel yang terletak di tingkat bawah tanah hotel kelihatan agak gelap dan hanya kami berdua sahaja pelanggan pada waktu itu. Kami tidak nampak walau seorang pun pekerja hotel pada waktu itu. Raji masuk ke dalam dapur dan order di sana, saya menunggu di meja restoren.

Sambil menunggu order makanan sampai kami banyak berborak. Tak lama kemudian ada seorang pakcik yang berumur dalam lingkungan sekitar 50-an datang ke meja kami. Kelihatan seperti Raji dan pakcik tersebut sudah kenal agak lama. Pakcik itu duduk dan berborak dengan kami, dan dari situ saya tahu dia sudah lama terlibat dalam industri pelancongan di Pakistan.

Setelah selesai makan kami meminta diri daripada pakcik tadi dan menuju ke Khalti Lake. Daripada pekan Gupis ke Khalti Lake tidaklah terlalu jauh cuma beberapa minit sahaja ke sana dengan jeep.

Sampai di kawasan tasik kami memberhentikan jeep di situ. Seperti biasa hanya kami yang ada di situ pada waktu itu. Tasik kelihatan amat tenang dan bewarna kehijau-hijauan. Tasik yang berlatar belakangkan banjaran Hindukush sangat cantik dan sebenarnya sangat popular dengan aktiviti memancing ikan trout di kalangan penduduk kampung setempat pada waktu petang/senja.

Setelah beberapa ketika lepak di tepi tasik, Raji mengajak saya untuk trekking tak jauh dari tasik. Saya yang memang gemar trekking tanpa berfikir panjang terus bersetuju untuk mengikutinya. Kami berjalan kaki ke kawasan kampung dan mula trekking.

Trekking di situ boleh tahan mencanak juga tingginya. Raji yang merupakan mountain guide mungkin tidak menghadapi apa-apa masalah tapi mencungap jugalah saya. Mujur tidak terlalu lama trekking, setelah hampir 30 minit kami sampai di atas. Kemudian kami berjalan lagi kira-kira 10-15 minit dan kami sampai di viewpoint yang amat mengagumkan. Dan sesampainya kami di sana, ada pelangi yang sangat cantik menyambut ketibaan kami di atas. SubhnaAllah sungguh indah ciptaan-Nya.

Pelangi yang menyambut kedatangan kami di viewpoint. Credit photo: Raji
Daripada viewpoint kami dapat melihat Khalti Lake dari atas yang jauh jauh lebih cantik pemandangannya. Tak lama kami di situ, ada beberapa budak lelaki yang merupakan penduduk setempat di situ menyapa Raji. Mereka berbual sekejap dan tidak lama kemudian ada beberapa budak lelaki lain yang memberi sebuah beg plastik besar berisi buah ceri dan aprikot segar.

Menurut Raji mereka baru memetik buah ceri dan aprikot tersebut untuk diberikan kepada kami. Terharu juga dibuatnya. Kami makan banyak buah ceri dan aprikot bersama-sama dengan pemandangan yang menakjubkan, priceless.

Pemandangan Khalti Lake dari atas. Credit photo: Raji
Penduduk tempatan berdekatan Khalti Lake. Credit photo: Raji
Ceri segar! Credit photo: Raji
Kami bersama penduduk tempatan
Setelah sudah agak lama di atas, kami pun trekking ke bawah semula. Untuk turun ke bawah kami mengikut jalan lain yang ternyata lebih curam dan agak berbahaya. Saya yang memang penghidap 'high-phobia' yang agak teruk terpaksa turun secara perlahan. Raji sentiasa mencari tempat untuk saya berpijak dan saya hanya mengikut trek yang dilaluinya. Raji berkata kepada saya, ini hanyalah sedikit daripada avdenture yang ada di Pakistan :P

Pemandangan dari viewpoint. Credit photo: Raji
Banjaran Hindukush. Credit photo: Raji
Sampai di bawah kami terus ke tasik semula. Hari sudah agak petang dan hampir senja. Sampai di kawasan tasik saya nampak beberapa penduduk kampung yang sedang asyik memancing. Raji yang memang membawa alat pancingnya bersama untuk trip ke Ghizer Valley ini tidak melepaskan peluang mencuba nasib untuk memancing ikan trout.

Saya juga belajar memancing buat kali pertama seumur hidup saya. Haha. Pengalaman baru buat saya tapi nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak ada seekor ikan pun yang termakan pancing kami. Sigh.

Hari semakin gelap dan kami memutuskan untuk mencari tempat menginap malam ini di hotel berdekatan. Oleh kerana Raji sudah biasa ke sini jadi tak ada masalah untuk mendapatkan bilik secara walk-in.

Oh ya, sampai di hotel saya perasan yang selipar (jepun) saya mungkin tercicir di tasik. Selipar itu tidaklah mahal tapi ada sentimental value yang tinggi kerana ia sudah mengikut saya travel ke mana-mana selama ini. Kami pergi semula ke tasik dan Raji cuba mencari tapi tidak jumpa. Hmm. Esok kami akan mencarinya semula.

Kami kembali semula ke hotel dan berehat kerana esoknya kami akan ke Yasin Valley pula. Stay tune !