Showing posts with label Gulmit. Show all posts
Showing posts with label Gulmit. Show all posts

Sunday, September 29, 2013

Pakistan Part 4 - Unexpected a great day trip with great people !

23 June 2013

“To awaken quite alone in a strange town is one of the pleasantest sensations in the world.” – Freya Stark

Selamat pagi Karimabad !

Selepas Subuh saya tidur semula. Hari ini memang tak ada apa-apa rancangan selain untuk pergi melihat Baltit Fort dan juga Altit Fort. Kedua-dua tempat ini tidaklah terlalu jauh dari hotel dan boleh pergi dengan berjalan kaki sahaja.

Sedang lena tidur di atas katil empuk dengan berselimut tebal, tiba-tiba terdengar pintu bilik saya diketuk dengan agak kuat.

"Siti...Siti !"

Saya terbangun dan agak blur sekejap. Rasanya saya berada di Karimabad dan tak kenal sesiapa di sini, jadi mustahillah ada yang memanggil nama saya, atau pun saya sedang bermimpi?

Suara lelaki tersebut kedengaran semakin kuat dengan ketukan pintu bertalu-talu.

Setelah beberapa minit, saya pasti ni bukan mimpi. Saya bangun menyarung pakaian yang bersesuaian dan menuju ke pintu untuk melihat siapa yang menganggu tidur saya pagi itu.

Sebaik sahaja pintu dibuka, Mr. Lee sedang berdiri di depan pintu dan tersenyum lebar.

Nota: Untuk mengetahui siapa Mr. Lee, sila baca previous entries - Pakistan Part 1, Pakistan Part 2, Pakistan Part 3.

Tak sangka dia dapat mencari bilik saya di Karimabad.

Mr. Lee kelihatan sangat gembira waktu itu. Belum sempat saya bertanya bagaimana dia boleh jumpa saya di Karimabad, dia dengan penuh bersemangat mengajak saya untuk pergi day trip tour dengannya bersama rakan-rakan Pakistani yang baru dikenalinya di Karimabad. Saya yang masih dalam keadaan separa terkejut tanpa berfikir panjang terus bersetuju walaupun tidak tahu ke mana kami akan pergi.

Mr. Lee terus menyuruh saya bersiap cepat dan berjumpa dengannya di restoren hotel secepat mungkin kerana mereka akan bertolak pada jam 9 am.

Dengan agak kelam kabut saya mandi dan bersiap kemudian pergi ke restoren hotel untuk bersarapan pagi dulu. Di dalam restoren saya nampak Francis dan Mr. Lee sedang berbual-bual.

Sebaik sahaja nampak saya masuk ke restoren Mr. Lee terus menyuruh saya duduk semeja dengannya bersama Francis. Walaupun saya belum sempat bertanya apa-apa, Francis terus beritahu yang dia 'tak bersalah' sebab dia yang beritahu Mr. Lee dimana bilik saya. Haha. Ok, fine. Sekurang-kurangnya saya dah tahu daripada siapa Mr. Lee dapat tahu di mana bilik saya, lol.

Seperti biasa untuk sarapan pagi saya memesan Paratha dan Chai dan kami bersarapan bersama. Sewaktu bersarapan, Francis banyak berkongsi cerita tentang pengalamannya travelling di negara China dan sempat menunjukkan peta besar kepada kami. Tempat-tempat yang dikategorikan 'kawasan terlarang' oleh kerajaan China tapi dapat juga diterokai oleh Francis dengan bantuan 'Google Earth'. Ya, Francis adalah seorang pengembara tegar yang selalu pergi ke tempat-tempat yang belum lagi ada dalam peta. Saya selalu teruja bila berborak dengan dia sebab banyak perkara baru yang dia kongsikan.

Tengah seronok mendengar cerita Francis, Mr. Lee mengajak saya untuk ke Old Hunza Inn iaitu tempat di mana dia dan rakan-rakan Pakistaninya menginap. Tak jauh daripada Karimabad Inn Hotel, cuma sekitar 3 minit berjalan kaki.

Saya mengikut Mr. Lee ke Old Hunza Inn dan menunggu rakan-rakan Pakistaninya di situ. Setelah beberapa minit saya berjumpa dengan Affan, Syed Imran, Nafees, Haris, Javed, Rizwan dan Raji. Mereka semuanya daripada Lahore kecuali Raji daripada Gilgit dan mereka semua baru balik daripada ekspedisi Rush Pari trek - 5098 mdpl.

Mereka sangat peramah and real gentlemen, seriously.

Oh ya, bila Raji ternampak saya terus dia tanya samada saya ialah Siti daripada Malaysia yang juga kawan kepada Dr. Azhar dan Mr. Altaf. Dia juga bertanya samada saya ada menyimpan barang untuk diserahkan kepada Mr. Altaf. Saya dengan agak separa terkejut (lagi) cakap iya, ada. Untuk pengetahuan, Raji ialah rakan baik kepada Dr. Azhar dan juga Mr. Altaf.

Raji cakap Dr. Azhar ada menelefon dia 2 hari sebelumnya dan menyuruh mencari saya di Karimabad. Menurutnya saya kemungkinan besar akan menginap di Old Hunza Inn (Dr. Azhar mencadangkan saya menginap di situ) tapi saya pula menginap di Karimabad Inn Hotel.

Sebaik sahaja berjumpa dengan saya, Raji terus menelefon Dr. Azhar pada waktu itu juga untuk memberitahu saya sekarang berada dengannya di Old Hunza Inn. Setelah Raji bercakap sekejap dengan Dr. Azhar di telefon, Raji beri saya telefonnya untuk bercakap dengan Dr. Azhar.

Saya bercakap dengan Dr. Azhar dan beritahu semuanya ok. Mungkin dia risau kerana Raji tidak jumpa saya di Old Hunza sejak 2 hari lepas. Saya pula terasa sedikit terkejut kerana pagi itu seolah-olah semua orang sedang mencari saya dan telah membuatkan orang risau.

Dr. Azhar cuma memberitahu saya untuk sentiasa memberitahu dia lokasi saya sewaktu di Pakistan. Dia juga memesan untuk hubungi Raji kalau saya perlukan apa-apa pertolongan. Selain itu dia hanya memesan untuk enjoy Karimabad yang sangat terkenal dengan pemandangan cantik yang dikelilingi snow capped mountain.

Siapa sangka di Pakistan saya akan kenal orang Malaysia yang dapat membantu waktu berada di Pakistan? Saya rasa seperti perjalanan saya memang di redhai-Nya, alhamdulilah :)

Setelah bercakap beberapa minit saya menyerahkan telefon kepada Raji dan dia bercakap semula dengan Dr. Azhar.

Mr. Lee tiba-tiba datang dengan membawa sehelai t-shirt bewarna merah dengan tulisan Korea yang bermaksud 'Korea Hebat' kalau tak salah saya. Dia menyuruh Raji menyalin baju dan memakai t-shirt yang dibawanya daripada Korea itu. Agak kelakar juga situasinya kerana Mr. Lee seperti memaksa dan Raji hanya menuruti arahannya hehe.

Tak lama kemudian, jeep pun sampai. Sewaktu menunggu di luar, kami berjumpa dengan Susan. Susan solo traveller daripada US yang juga menginap di Old Hunza Inn. Kami mengajak dia untuk pergi trip bersama kami, dia bersetuju. Bagus juga kerana tidaklah saya jadi satu-satunya perempuan dalam kumpulan tour ini nanti.

1 jeep memuatkan kami seramai 11 orang ! Memang sardin habis sehingga ada yang terpaksa bergayut di belakang haha. Manakala saya dan Susan selesa duduk di hadapan bersebelahan pemandu jeep. Seperti biasa kaum hawa selalu mendapat layanan VIP hehe.

Walaupun keadaan dalam jeep amatlah sempit tetapi perjalanan selama 1 jam itu tetap havoc ! Di tambah lagi dengan lagu Urdu yang dipasang kuat dan mereka semua turut menyanyi bersama. Kami baru kenal mereka beberapa jam, tapi mereka sangat mesra dan membuat kita tidak kekok dan terasa seperti sudah lama mengenali mereka.

Sampai di satu checkpoint, saya, Susan dan Mr. Lee terpaksa turun daripada jeep dan menurunkan tandatangan dan menulis butir-butir peribadi seperti biasa.

Sebetulnya tour ini akan pergi ke Attabad Lake dan juga Borith Lake di Gulmit. Walaupun saya baru sahaja pergi ke tempat-tempat itu, tapi apa salahnya pergi untuk kali kedua. Tempat yang cantik begitu pergi setiap hari juga saya tak kisah !

Sampai di jeti bot, kami turun daripada jeep dan terus menuju ke dalam bot. Waktu itu ada seorang polis dan dia meminta passport kami (saya, Susan dan Mr. Lee) untuk diperiksa. Setelah dia berpuas hati kami terus masuk ke dalam bot bersama yang lain-lain.

Walaupun ini adalah kali kedua saya menaiki bot merentasi Attabad Lake, saya tetap teruja ! Kali ini pengalamannya berbeza sedikit kerana lebih meriah bersama-sama dengan rakan-rakan baru :D

Credit picture to Javed - seronok atas bos merentasi Attabad lake
Credit picture to Syed Imran - from left is me, Rizwan, Nafees, Mr. Lee, Raji, Syed Imran, Susan, Javed and Affan. 
Oh ya, waktu ini kamera saya sudah kehabisan bateri. Sebetulnya semenjak semalamnya lagi telah kehabisan bateri tapi tak dapat untuk mengecas bateri kerana tiada elektrik di hotel. Sama juga dengan Susan dan Mr. Lee. Mujur ada beberapa rakan Pakistani kami yang masih ada bateri kamera maka dapatlah mereka menangkap gambar sebagai kenang-kenangan di situ.

Sampai di jeti bot Gulmit, telah ada van yang menunggu kami. Kami menaiki van terus ke Borith Lake. Mereka semua turun ke tasik dan banyak mengambil gambar. Saya pula hanya duduk di dalam kedai makan yang menghadap tasik dan memesan Chai. Tak ada yang lebih bagus rasanya menikmati Chai dengan pemandangan tasik secantik Borith Lake.

Credit picture to Javed - Borith Lake restaurant
Kemudian kami banyak berborak di situ dan bertukar cerita. Rupanya mereka telah merancang untuk makan tengahari di situ. Banyak juga lauk yang dipesan antaranya kari ayam, sayur dalca dan roti paratha. Kari ayam dia memang sangat lazat, ini serius. Bagi Susan pula, dia hanya makan dalca kerana dia vegetarian.

Credit picture to Javed - great lunch in Borith Lake

Selepas makan kami sempat mengambil group foto sebagai kenang-kenangan.

Credit picture to Javed - group photo in Borith Lake. Atas dari kiri, Rizwan, Nafees, Javed, Affan, Syed Imran. Bawah dari kiri, tuan kedai makan, Mr. Lee, Haris, Susan dan saya.
Kemudian dalam perjalanan pulang ke jeti, kami sempat singgah di Gulmit Continental Hotel. Seperti pernah dengar kan nama hotel ni? Yup betul, ini hotel tempat saya menginap selama 3 hari 2 malam di Gulmit.

Kami singgah di hotel dan saya sempat berjumpa semula dengan Zahir. Tak sangka saya akan kembali ke hotel dia secepat itu. Pekerja hotel juga masih ingat saya lagi haha.

Selepas hampir setengah jam kami berborak di situ, kami meminta diri dan meneruskan perjalanan pulang semula ke jeti bot.

Sampai di jeti bot kami terpaksa menunggu beberapa minit kerana kelihatan semua bot telah penuh. Akhirnya terdapat satu bot yang kosong untuk penumpang. Kami naik bot dan menunggu lagi beberapa minit sebelum bot meneruskan perjalanan ke Karimabad.

Sebelum bot bergerak, ada seorang perempuan dari China bernama Sun naik bot bersama kami. Saya berborak dengan dia, rupanya dia baru sampai dari SUST dan ingin meneruskan perjalanannya ke Gilgit pada petang itu juga.

Kalau tak salah saya waktu itu sudah jam 6 pm dan pada saya agak lewat untuk terus ke Gilgit pada hari itu juga. Dia juga kelihatan tidak pasti samada boleh sampai di Gilgit pada hari itu atau pun tidak. Menurutnya, ada kawan yang sudah menunggunya di Gilgit dan mereka merancang untuk hiking di K2 Base Camp.

Saya mencadangkan kepada Sun untuk menginap dulu di Karimabad pada malam itu dan meneruskan perjalanannya ke Gilgit pada keesokan harinya. Saya cadangkan untuk menginap satu bilik sahaja dengan saya di Karimabad Hotel Inn kerana bilik dorm saya juga masih kosong.

Tapi dia masih belum dapat membuat keputusannya lagi.

Credit picture to Javed - gambar candid atas bot merentasi Attabad Lake
Sebaik turun daripada bot, saya terus mendapatkan Raji untuk bercakap dengan Sun mengenai rancangannya untuk ke Gilgit pada hari itu juga. Saya fikir mungkin Raji dapat menolong Sun kerana Raji sendiri berasal daripada Gilgit.

Setelah berbincang sekejap Sun telah membuat keputusan untuk menginap 1 malam di Karimabad dan akan ke Gilgit bersama Raji yang kebetulan juga akan ke Gilgit pada keesokan harinya.

Saya terus mengajak Sun untuk naik jeep bersama-sama kami sekali ke Karimabad. Sekarang jeep memuatkan seramai 12 orang ! Memang ada yang terpaksa bergayut tapi masing-masing masih ceria dan bersemangat ! Haha.

Sampai di persimpangan Aliabad dan Karimabad, Raji dan beberapa lagi turun daripada jeep kerana mereka hendak pergi ke Aliabad untuk membeli tiket bas ke Gilgit esok.

Sampai di hotel, Mr. Lee membuat cadangan untuk kami semua makan malam bersama. Semua bersetuju untuk makan malam di restoren Karimabad Inn Hotel (hotel tempat saya menginap) pada jam 8 pm.

Bila balik ke bilik, saya dapati sudah ada dormmate iaitu seorang gadis Korea bernama Mi Sook. Dia sebenarnya telah lama tinggal di bilik dorm ni tapi kebetulan malam sebelumnya dia menginap di rumah kawannya di satu kampung tak jauh dari Karimabad. Mi Sook telah berada di Karimabad hampir 2 bulan.

Sun tinggal bersama saya dan Mi Sook pada malam itu.

Saya sempat mandi dan berehat sekejap. Mulanya saya fikir hendak mengecas semula telefon dan juga kamera tetapi masih belum ada elektrik. Saya fikir makan malam nanti tentu kami makan secara 'candle light dinner' hehe.

Tepat jam 8 pm, saya dan Sun pergi ke restoren tapi mereka semua masih belum sampai lagi. Waktu itu cuma ada Mr. Lee dan Susan. Kami agak beruntung pada malam itu kerana tiba-tiba ada elektrik dan tidak perlulah kami makan bertemankan lilin.

Sewaktu menunggu mereka, Susan ada bertanya kalau saya tahu mengenai insiden 10 pelancong terbunuh baru-baru ini di sekitar Gilgit-Baltistan. Saya memang ada terbaca sepintas lalu sewaktu melihat Facebook sebelum mandi tadi. Berita itu betul-betul memeranjatkan terutamanya kepada traveller seperti kami.

Tak lama kemudian semuanya sampai di restoren dan kami makan malam dengan gembira. Tidak ada seorang pun membangkitkan cerita mengenai insiden yang menyedihkan itu.

Sewaktu makan malam, Mr. Lee menceritakan kepada kami semua satu kisah lucu dan kami sangat terhibur dengan ceritanya pada malam itu sehingga tak kering gusi kami dibuatnya haha.

Credit picture to Syed Imran - great dinner !
Oh ya, makan malam itu dibelanja sepenuhnya oleh Mr. Lee dengan alasan dia memang mempunyai banyak wang haha. Dia memang pandai bergurau, lol.

Ada yang membeli Walnut Cake daripada Hunza Cafe. Pada saya Walnut Cake itu memang terbaik, the best Walnut Cake yang pernah saya makan. Sangat sedap !

Selepas habis makan malam, kami bertukar alamat email dan juga Facebook. Sedikit sedih kerana mereka semua akan pulang semula ke tempat masing-masing pada keesokan paginya.

Ok, ingat tak bungkusan yang saya bawa daripada Gulmit untuk Mr. Altaf di Gilgit? Saya menyerahkan barang itu kepada Raji kerana dia akan ke Gilgit keesokan harinya.

Sebelum Susan pulang semula ke Old Hunza Inn, kami sempat merancang untuk berjumpa esok pagi untuk pergi ke Baltit dan Altit Fort bersama-sama.

Cerita selanjutnya di Karimabad akan bersambung dientri seterusnya. Terima kasih kerana sudi membaca !

Saturday, September 21, 2013

Pakistan Part 3 - Hospitality and Generosity in Pakistan

22 June 2013

Walaupun semalaman saya tidur di bilik hotel tanpa elektrik dan hanya ditemani cahaya lilin sampai pagi, saya tetap dapat tidur dengan nyenyak. Sehinggalah dikejutkan oleh bunyi loceng dari jam tangan Casio saya yang menunjukkan telah masuk waktu Subuh. Selesai menjalankan kewajipan kepada-Nya, saya sambung tarik selimut semula hehe.

Kira-kira jam 8 am saya bersiap dan mengemas backpack kerana pagi ini akan meneruskan perjalanan ke Karimabad.

Kira-kira jam 9 am, saya ke restoren hotel untuk bersarapan pagi seperti biasa. Masuk restoren sahaja saya sudah nampak Zahir sedang duduk dan minum sendirian di situ. Dia panggil untuk bersarapan sekali dengan dia.

Saya order Paratha dan Chai, menu sarapan pagi yang sama seperti semalam. Sementara menunggu order saya sampai, kami berborak dan Zahir sempat memberi beberapa kad nama tempat penginapan yang sesuai untuk saya di Karimabad. Zahir juga ada membuat beberapa panggilan telefon untuk memastikan masih ada bilik yang kosong.

Bila pekerja restoren menghantar makanan dimeja, saya lihat ia bukanlah Paratha tetapi sesuatu yang lain, saya pasti ia bukan Paratha. Melihat saya yang agak keliru, Zahir beritahu itu adalah Hunza Bread iaitu makanan yang saya order semalam. Tapi semalam saya tak dapat kerana mereka tidak menyediakan Hunza Bread. Pagi ini saya order Paratha tapi mereka menghantar Hunza Bread.

Saya sedikit terkejut dengan cara mereka melayan tetamu, sangat mengambil berat dengan kehendak tetamu mereka. Saya kurang pasti bagaimana mereka menyediakan Hunza Bread pagi itu kerana setahu saya untuk mendapatkan bahan-bahan membuat roti mereka perlu ke tempat lain dan agak susah. Hmm.

Jadi pagi itu saya dapat menikmati Hunza Bread iaitu salah satu makanan khas di Hunza Valley dengan Chai semestinya :)

Oh ya, sim card Zong yang saya beli semalam masih belum dapat diaktifkan lagi walaupun saya sudah beberapa kali menelefon service center Zong. Zahir beritahu kami akan singgah di kedai telefon untuk minta bantuan daripada pekerja kedai telefon.

Setelah selesai sarapan pagi kami beransur daripada restoren dan saya mengambil backpack di bilik. Saya pergi ke lobi dan berjumpa dengan Zahir untuk menyerahkan kunci dan check-out. Saya tanya berapa jumlah semuanya termasuk makan dan minum di restoren tapi dia tak menjawab dan terus mengangkat backpack saya untuk dimasukkan ke dalam kereta.

Sewaktu nak masuk ke dalam kereta, ada sebuah jeep datang menghampiri kereta. Dia bercakap dengan Zahir dalam bahasa Urdu kemudian bercakap dengan saya. Seorang lelaki Pakistan bertanya kalau saya kenal Mr. Altaf dan Dr. Azhar dan samada saya akan menuju ke Gilgit nanti. Saya cakap iya saya kenal mereka dan akan menuju ke Gilgit nanti selepas Karimabad.

Dia meminta saya menyerahkan sesuatu dalam bungkusan kecil kepada Mr. Altaf. Saya juga memang fikir hendak menginap di guesthouse milik Mr. Altaf nanti bila berada di Gilgit. Tanpa berfikir panjang saya terus setuju untuk membawa bungkusan tersebut untuk diserahkan kepada Mr. Altaf nanti di Gilgit, walaupun saya belum tahu bila dan berapa hari lagi baru sampai di Gilgit.

Saya sedikit pun tidak menyimpan syak apa-apa, samada bungkusan kecil yang saya bawa itu nanti adalah benda yang merbahaya (contohnya dadah atau apa-apa), mungkin ini sesuatu yang harus saya ambil perhatian sewaktu travelling lagi pada masa hadapan - peringatan kepada diri sendiri.

Saya terus menyimpan bungkusan kecil tersebut dalam backpack saya dan tanpa berlengah kami terus masuk ke dalam kereta. Zahir meminta pemandu kereta untuk berhenti di kedai telefon tempat kami beli sim card semalam.

Sampai di kedai telefon, Zahir bercakap dengan pekerja kedai dan meminta telefon saya untuk diperiksa. Mungkin untuk mengaktifkan sim card, perlu menambah beberapa ratus rupees lagi dan Zahir terus membayar beberapa keping ratus rupees kepada pekerja kedai. Dalam masa beberapa minit, sim card saya telah berjaya diaktifkan.

Daripada kedai telefon kami meneruskan lagi perjalanan ke hujung kampung iaitu tempat untuk menaiki bot merentasi Attabad Lake untuk ke Karimabad. Memang itulah satu-satunya cara untuk pergi ke Karimabad, dengan menyeberangi Attabad Lake.

Perjalanan dari hotel ke tempat menaiki bot tidaklah jauh, sekitar 10-15 minit sahaja dengan menaiki kereta.

Sampai di tempat menaiki bot, saya lihat ramai penduduk tempatan yang sedang sibuk dengan urusan masing-masing. Ramai yang membawa barangan keperluan yang mereka beli daripada Aliabad/Karimabad. Bot adalah cara pengangkutan utama untuk penduduk di kampung Gulmit selepas Karakoram Highway (KKH) di tenggelami banjir besar pada tahun 2010.

Turun daripada kereta, Zahir terus mengangkat backpack saya untuk dimasukkan ke dalam bot. Zahir ada bercakap sesuatu kepada orang yang membawa bot dalam bahasa Urdu dan orang yang membawa bot menyambut backpack saya yang agak berat itu dan diletakkan di dalam bot. Sebelum saya masuk ke dalam bot, saya bertanya lagi kepada Zahir berapa jumlah yang harus saya bayar kepada dia secara keseluruhannya - penginapan di hotel selama 3 hari 2 malam, makan minum sepanjang menginap di hotel dan juga harga topup simcard Zong.

Dia dengan tersenyum cuma berkata 'it's ok, you are my guest here'. Saya terpinga-pinga sekejap.

Dalam masa yang sama saya sudah disuruh untuk masuk ke dalam bot dengan segera kerana bot telah hampir penuh waktu itu. Saya cuma mampu berterima kasih kepada Zahir dalam keadaan seperti tidak percaya lagi. Keadaan hiruk pikuk di situ membuatkan semuanya berjalan dengan pantas, tau-tau sahaja bot telah bergerak dan meninggalkan Gulmit. Dari dalam bot saya dapat lihat kereta yang dinaiki Zahir meninggalkan kawasan bot. Susah untuk saya jelaskan bagaimana perasaan saya waktu itu, yang pastinya saya masih tidak percaya masih ada orang yang terlalu baik di dunia ini. #Terharu

Bot daripada Gulmit untuk menyeberangi Attabad Lake
Perjalanan dengan bot mengambil masa kira-kira 1 jam setengah sehingga 2 jam, bergantung kepada cuaca dan juga keadaan bot. Setelah 10 minit perjalanan, ada yang datang kepada setiap penumpang untuk mengutip duit tambang bot. Saya bertanya 'how much?' dengan suara yang agak tinggi kerana bunyi enjin bot yang terlalu kuat dan pekerja bot berkata 'three hundree rupees!' sambil menunjukkan tanda 3 jari. Saya terus membayar tambang bot kepada lelaki tersebut.

Pemandangan sepanjang perjalanan di Attabad Lake
Semakin lama perjalanan, saya mendapati pemandangan di Attabad Lake ini semakin cantik dan sungguh luar biasa. Saya sama sekali tidak menjangkakan akan melihat pemandangan yang sangat sangat cantik di Attabad Lake. Air bewarna hijau turqoise berlatarbelakangkan snow capped mountains. Menurut saya, ini adalah pengalaman menaiki bot dengan pemandangan yang paling cantik pernah saya lihat.

Bot yang sarat dengan penumpang
Jernih!
Magnificient!
Setelah hampir 2 jam perjalanan dengan bot, saya sudah mulai nampak banyak bot dan ramai orang di seberang. Dengan perlahan bot dilabuhkan di tepi bersama banyak bot yang lain dan saya sudah bersedia menyandang backpack saya untuk keluar daripada bot.

Seperti biasalah untuk keluar daripada bot, perlu memanjat sedikit dan melompat keluar. Melihat saya dengan backpack yang agak besar (sekurang-kurangnya lebih besar daripada beg penduduk tempatan di situ), ada lelaki yang menyuruh saya beri backpack kepada dia yang berdiri di luar bot, kemudian saya keluar dari bot.

Bila saya dah keluar daripada bot, dia tanya 'where you going?', saya jawab 'Karimabad'. Dengan keadaan yang agak sibuk di pelabuhan bot, lelaki tadi menyuruh saya mengikut dia sambil dia masih menyandang backpack saya.

Hanya beberapa meter berjalan kaki daripada tempat bot dilabuhkan tadi, lelaki tadi menuju ke satu van dan saya hanya mengikut. Dia bercakap Urdu dengan pemandu van dan terus backpack saya diletakkan diatas bumbung van bersama barang-barang penumpang yang lain. Di dalam van sudah terdapat beberapa penumpang yang juga mahu ke Karimabad dan Aliabad.

Mujur saya sempat mengucapkan terima kasih kepada lelaki tadi, sebab semuanya berlaku dengan cepat sekali. Saya rasa seperti masih berada dalam bot dan tiba-tiba sudah berada dalam van.

Di Pakistan mereka memang memberi keutamaan kepada perempuan dalam keadaan apa sekalipun. Termasuklah di dalam van kerana saya disuruh masuk duduk dibarisan hadapan, bersama 2 orang lagi perempuan tempatan yang sopan dengan pakaian traditional mereka dan berselendang besar. Kami (penumpang wanita) dapat duduk dengan selesa kerana kami hanya bertiga duduk di satu barisan, manakala penumpang lelaki bersesak-sesak duduk disatu barisan. Mungkin seramai 5 atau 6 orang. Waktu itu saya rasa memang bertuah menjadi perempuan and felt spoiled too! Mana tidaknya, dapat tempat tinggal percuma, makan percuma, topup percuma, backpack orang angkatkan, layanan VVIP..pffftt.

Dalam beberapa minit je van penuh dan mula bergerak ke destinasi iaitu Aliabad.

Jalanraya  boleh tahan menyeramkan sebab agak kecil dan dibina dilereng-lereng gunung. Sesekali bila pemandu van bawa agak laju, saya cuma berdoa saja dalam hati semoga selamat sampai di destinasi. Saya selalu kagum dengan jalan raya di dearah utara Pakistan, semuanya dibina dilereng gunung bermakna mereka memang terdedah dengan bencana tanah runtuh setiap masa. Kalau kita yang tak biasa dengan keadaan jalanraya mereka memang kecut perut, tapi itu adalah normal buat mereka. Sebab tu saya rasa, everyday is an adventure in Pakistan!

Di dalam van, ada yang mengutip duit tambang iaitu sebanyak 100 PKR (bersamaan 1 USD).

Setelah hampir 1 jam  perjalanan, van berhenti di tepi jalan dan pemandu van menyuruh saya turun. Saya agak keliru juga waktu itu kerana tak ada orang lain yang turun kecuali saya! Pemandu van cuma bercakap 'Karimabad here'.

Bila turun daripada van, dengan pantas seorang lelaki mengambil backpack saya yang disimpan di atas bumbung van dan menyerahkan kepada saya. Sempat juga dia menunjukkan jalan yang menuju ke Karimabad sebelum van terus bergegas meneruskan perjalanan.

Rupanya van ni hanya berhenti di persimpangan jalan ke Karimabad dan akan meneruskan perjalanan ke Aliabad iaitu kira-kira 10 minit perjalanan jauhnya daripada Karimabad. Serius saya tidak tahu van ini rupanya tidak berhenti di Karimabad.

Jalan kaki menuju ke Karimabad
Maka dengan backpack yang agak berat menapaklah saya menuju ke Karimabad. Waktu itu tengahari, panas terik dan jalan sedikit membukit. Saya lihat papan tanda menuju je Baltit Fort sejauh 2.8 km dan saya tahu kawasan hotel yang ingin saya cari nanti sebenarnya tak terlalu jauh dari Baltit Fort. Maksudnya saya harus menapak hampir sejauh 3 km dengan cuaca panas begini? #Pengsan.

Jalanraya amat lengang dan jarang-jarang ada kereta yang lalu. Setelah 10 minit berjalan, ada sebuah kereta yang berhenti dan bertanya saya hendak ke mana. Saya jawab 'Karimabad'. Pemandu kereta seorang pakcik yang berumur sekitar 50-an kalau tak salah dan agak kemas dari segi penampilannya. Dia tawarkan untuk tumpang keretanya kerana dia juga menuju ke Karimabad.

Saya dapat rasakan pakcik ni seorang yang baik jadi saya setuju untuk menumpang keretanya ke Karimabad. Saya tunjukkan kad nama hotel yang ingin saya cari di Karimabad, pakcik tadi meneliti kad tersebut dan dia kata dia tahu tempatnya.

Pakcik ni sempat berborak sepanjang perjalanan singkat itu. Menurutnya dia pernah bekerja sebagai tour guide satu masa dulu, tetapi sejak kemerosotan industri pelancongan di Pakistan dia telah menukar kerjanya sebagai pekerja kerajaan.

Setelah kira-kira 7-8 minit, akhirnya sampai di depan hotel yang saya cari iaitu Karimabad Inn Hotel, tak begitu susah untuk mencari hotel ini sebab ada papan tanda di tepi jalan.

Setelah mengucapkan terima kasih banyak kepada pakcik tadi saya mengambil backpack di tempat duduk belakang. Pakcik tadi sempat memberi salam dan mengucapkan selamat datang ke Pakistan dan semoga dapat menikmati Karimabad sambil tersenyum mesra. Saya tak berani nak menghulurkan wang kepadnya sebab takut dia akan tersinggung. Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi dan semoga berjumpa lagi.

Untuk masuk ke dalam Karimabad Inn Hotel, saya perlu menuruni tangga kecil yang menuju ke lobi hotel. Hotel kecil ini adalah rekomendasi daripada Zahir. Di dalam lobi hotel yang juga merupakan restoren hotel, tidak ada sesiapa di situ waktu saya sampai. Setelah menunggu beberapa minit pekerja hotel bernama Hussain datang dan saya beritahu hendak menginap di bilik dorm.

Di Karimabad Inn Hotel terdapat beberapa bilik private room dan juga 2 bilik dorm - 1 dorm lelaki dan 1 dorm perempuan. Bilik dorm hanya 200 PKR untuk 1 malam iaitu bersamaan 2 USD. Murah kan?

Nice and clean dorm for 200 PKR/2 USD per night
Dengan penuh hormat Hussain mengajak saya melihat dulu bilik dorm perempuan yang berada di bawah tanah. Kami harus menuruni tangga lagi untuk ke bilik dorm. Setelah melihat bilik yang boleh tahan bersih dan selesa, ada 3 katil single, tandas di dalam bilik, dan yang paling isitimewa dari tingkap bilik saya boleh lihat pemandangan gunung-ganang tinggi bersalji seperti Rakaposhi, Diran dan beberapa puncak gunung lagi, memang tak logik kalau saya tidak setuju untuk menginap di situ :D

Saya terus bersetuju dan kami naik semula ke lobi. Setelah menulis beberapa butir peribadi di dalam buku rekod hotel saya tanya berapa harus saya bayar. Hussain cakap 'No, later miss. Please having our welcome Chai first miss.' sambil tersenyum dan menyuruh saya duduk dulu di restorennya. Saya cuma 'Ok..thanks ya'.

Karimabad Inn Hotel lobby
Dengan pantas Hussain menghidangkan Chai kepada saya yang juga merupakan Chai pertama saya di Karimanad. Saya menikmati Chai sendirian di hotel Karimabad Inn, waktu itu bekalan elektrik terputus lagi dan cuaca agak panas.

First Chai in Karimabad
Waktu ini saya sudah agak terbiasa dengan keadaan di Pakistan dimana bekalan elektriknya yang selalu terputus. Memang tak ada dalam 1 hari bekalan elektrik akan ada sepanjang hari, pasti akan terputus elektrik dalam 3 atau 4 jam, kemudian ada semula beberapa jam sebelum bekalan terputus lagi. Ini adalah normal di Pakistan.

Kemudian saya mengangkut backpack dan turun ke bilik dorm yang terletak di bawah tanah. Saya baru perasan yang Hussain tidak menyerahkan apa-apa kunci kepada saya sewaktu check-in tadi. Bila di bilik baru saya faham yang kunci tidak diperlukan di bilik dorm ini. Hanya ada kunci selak dari dalam. Pintu juga sebenarnya agak usang dan susah untuk di tutup rapat.

Waktu itu saya tak ada dorm-mate, jadi bilik sederhana besar ini adalah milik saya seorang.

Oleh kerana cuaca yang panas terik di luar saya memutuskan untuk berehat di dalam bilik dulu. Walaupun tidak ada elektrik tetapi mujur bilik masih agak berangin dan redup. Sempat juga saya melelapkan mata dan tidur sekejap untuk merehatkan badan.

Kira-kira jam 2.30 pm, saya bersiap dan keluar dari hotel dengan membawa daypack untuk explore apa yang ada di Karimabad. Saya bawa juga netbook, mana tahu ada tempat yang boleh saya layari internet di mana-mana nanti.

Saya berjalan kaki dan hanya berjalan tanpa arah atau pun map. Cuaca masih panas dan jalan agak berdebu. Sesekali bila ada van atau kenderaan lalu di sebelah saya, memang terasa seperti makan debu je.

Saya terus berjalan kerana perasaan ingin tahu apa yang ada di depan. Sampai di kawasan seperti deretan kedai-kedai cenderamata, saya lihat kedai disitu semuanya agak lesu. Percaya atau tidak, hanya saya seorang orang dari luar waktu itu dan tidak ada pelancong lain. Kemerosotan industri pelancongan di Pakistan memang agak kritikal pada pandangan saya.

Seperti biasa bila saya berjalan pasti penduduk tempatan akan memandang, kadang-kadang tahap merenung seolah-oleh mereka tidak pernah melihat perempuan. Hmm. Pada mulanya memang agak tidak selesa, tapi saya dah biasa dan cuba buat seperti biasa.

Setelah penat berjalan, saya  ternampak satu cafe iaitu Cafe De Hunza. Agak lega bila masuk dalam cafe ini kerana berhawa dingin. Mereka ada generator sendiri dan juga Wifi. Jadi memang sesuailah kalau saya berehat sambil melayari internet dulu sementara menunggu cuaca lebih redup diluar.

Saya order Coke dan Brownies with Honey.

Coke and Brownies with Honey - Cafe De Hunza
Saya meminta bantuan daripada pekerja cafe untuk mendapatkan signal Wifi untuk netbook saya. Pekerja cafe juga bertanya samada saya mahu dapatkan Wifi untuk Blackberry, kerana dia nampak Blackberry yang saya letakkan di sebelah netbook. Saya cakap, 'Yea..please, thank you so much!'.

Kami berborak sekejap dan sempat juga dia add di facebook sewaktu dapatkan signal Wifi untuk Blackberry tadi. Rupanya dia adalah anak tuan punya kedai cafe ini. Pada saya cafe ini sangat menarik kerana selain menjual kopi, mereka juga menjual buku-buku dan barangan perhiasan antik. Selain duduk dan minum di dalam cafe, pelanggan juga boleh memilih untuk duduk di atas bumbung sambil menikmati kopi dengan pemandangan gunung-ganang bersalji di sekeliling Karimabad.

Pada saya, inilah kelebihan Karimabad di Hunza Valley kerana di kelilingi oleh banyak gunung-ganang bersalji dengan pemandangan yang sangat-sangat menakjubkan. Sebab itu ramai pengembara yang menetap lama di Karimabad, ada yang tinggal selama sebulan, 2 bulan ada juga yang bertahun-tahun tinggal di sini.

Setelah beberapa jam saya melayari internet di dalam cafe, cuaca juga semakin redup di luar. Saya bayar 2 gelas Coke dan juga brownies tadi sebelum keluar semula untuk melihat apa yang ada di Karimabad.

Saya jalan di deretan kedai dan juga lorong-lorong rumah yang kelihatan begitu aneh bagi saya. Rumah kebanyakkannya dibuat daripada batu besar dan kayu. Saya teruskan jalan sehinggalah sampai di satu kawasan lapang dan terdengar bunyi seperti pancaragam.

Jalan kecil di Karimabad
Kedai cenderamata di Karimabad
Pemandangan di sekitar Karimabad
Rupanya ada sekumpulan anak-anak remaja lelaki sedang tekun berlatih dengan alat muzik masing-masing. Mereka berlatih pancaragam untuk menyambut hari Aga Khan yang jatuh pada 11 July.  Aga Khan adalah imam besar Syiah Ismaili yang merupakan ikutan bagi majoriti penduduk yang tinggal di Hunza Valley.

Berlatih pancaragam
Cantik!
Karimabad, Hunza Valley
Lama juga saya melihat mereka berlatih bersama penduduk tempatan yang lain. Seperti biasa ada sahaja yang memandang saya seperti 'makhluk asing' di situ, tapi saya tak endahkan. Cuaca pada waktu petang di Karimabad sangat menyenangkan kerana suhu lebih sejuk dan pemandangan menjadi lebih menakjubkan.

Bila hari hampir gelap saya beransur dari tempat itu dan bercadang untuk mencari makan malam. Saya berjalan kaki dan menuju balik ke hotel. Sewaktu jalan saya ternampak gerai kecil yang menjual daging bakar. Saya order untuk dibungkus bersama roti nan.

Tiba-tiba saya dengar ada orang yang seolah-oleh memanggil saya dalam bahasa Inggeris. Saya lihat keliling dan ternampak ada seorang pakcik berjanggut dan berambut putih sedang duduk dari atas 'rooftop' berhadapan dengan gerai. Dia mengajak untuk makan di situ, tak perlu bungkus.

Oleh kerana saya belum jumpa mana-mana traveller sepanjang berada di Karimabad jadi saya setuju untuk join pakcik itu makan di 'rooftop' sekurang-kurangnya ada kawan untuk berborak di situ.

Pakcik Francis (atau boleh juga dipanggil datuk mungkin) berasal dari Australia dan telah 3 minggu berada di Karimabad sebelum meneruskan perjalanannya ke China.

Kami banyak berborak sambil makan daging bakar (sangat sedap!) dan roti nan yang panas dan semestinya bersama Chai. Rasanya sewaktu berada di Pakistan saya telah menjadi 'Chaiholic' haha. Habis satu, saya tambah order lagi sehingga 3 atau 4 cawan.

Sewaktu makan kami juga dapat menikmati lagu traditional Hunza yang dipasang oleh pemilik kedai. Dengan makanan yang lazat, lagu traditional yang merdu, rakan traveller yang banyak pengalaman travelling dan juga pemandangan gunung-ganang bersalji pada waktu senja - untuk traveller pastinya tak ada yang lebih baik daripada ini semua. #Priceless

Santai di rooftop
Tak lama kemudian ada 2 orang traveller datang makan di 'rooftop' dan seperti biasa Francis akan mengajak mereka join kami sekali. Mereka masing-masing daripada Swiss dan France. Mereka berdua ialah pendaki gunung tegar dan sedang berehat di Karimabad sebelum mendaki beberapa gunung lagi di Pakistan.

Kami banyak berborak dan saya rasa paling seronok kerana dapat mendengar cerita mereka yang sentiasa membuatkan saya kagum. Mereka juga sangat peramah dan tidak lokek berkongsi cerita seolah-olah kami sudah lama kenal.

Kemudian ada satu keluarga Pakistani yang datang melancong ke Karimabad duduk di meja sebelah kami. Seorang budak perempuan berumur dalam 8 tahun datang berborak dengan kami. Sungguh comel dan langsung tak takut dengan orang luar. Dia juga sangat petah berbahasa Inggeris. Banyak betul soalan dia kepada kami. Contohnya apa subjek kesukaan saya waktu sekolah dulu, apa nama bunga kebangsaan negara Malaysia, apa makanan kegemaran saya di Pakistan dan banyak lagi soalan-soalan pelik haha.

Untuk traveller daripada Swiss, budak perempuan tu tanya macam mana nak menjaga pernafasan sewaktu mendaki gunung lol. Kami sangat seronok berborak dan ditambah lagi budak perempuan tu yang sangat menghiburkan :D

Setelah beberapa jam di situ tak sedar hari telah lewat malam. Kebetulan saya dan Francis tinggal di Karimabad Inn jadi kami berjalan kaki balik ke hotel sekali. Jarak dari kedai makan ke Karimabad tidaklah jauh, sekitar 20 minit berjalan kaki. Sewaktu berjalan kaki ke Karimabad Inn kami terserempak dengan 2 pasang suami isteri masing-masing daripada Swiss dan Sweeden. Mereka membawa anak mereka yang masih kecil  mengembara ke Pakistan dan beberapa negara lain. Rasa nak apply jadi anak angkat depa je lol.

Sampai di Karimabad Inn kami ke bilik dorm masing-masing. Malam ini cuma saya sendiri di dalam bilik dorm dan seperti biasa tak ada elektrik. Dengan menggunakan lampu picit saya mandi dan bergerak di dalam bilik tanpa melanggar sesuatu hehe.

Jadi, selepas baca entri ni mesti dah faham kan kenapa saya tulis tajuk entri macam ni - Hospitality and Generosity in Pakistan. Sebenarnya terlalu ramai orang baik yang saya jumpa di sana. Kadang-kadang baik sampai tak masuk dek akal, tapi itulah sebenarnya adat mereka yang sangat mengutamakan tetamu. Untuk mengetahui cerita lanjut di Karimabad, sila tunggu entri seterusnya !

Thursday, September 5, 2013

Pakistan Part 2 - The beauty of Gulmit

21 June 2013

Pagi ini saya masih di Gulmit, sebuah kampung yang terletak di Gojal (Upper Hunza Valley). Terasa berat betul nak bangun, kerana terlalu selesa dengan katil dan selimut hotel. Sepanjang trip China-Pakistan, ini adalah kali pertama saya menginap di dalam private room, selalunya dorm atau pun tidur dalam bas atau keretapi saja.

Sekitar jam 8 am baru saya bersiap dan keluar untuk bersarapan di dalam restoren hotel. Bila saya masuk ke dalam restoren hotel, Mr. Lee dan Azhar sudah ada dan nampaknya sedang sibuk berbincang sesuatu.

Seperti biasa Mr. Lee akan mengajak saya sertai mereka sekali untuk bersarapan. Saya memesan Chai dan Hunza Bread tapi menurut pekerja mereka sudah kehabisan Hunza Bread, jadi saya cuma memesan Paratha saja.

Rupanya Mr. Lee dan Azhar sedang sibuk berbincang tentang route perjalanan Mr. Lee selepas ni. Azhar banyak memberi tips dan panduan kepada Mr. Lee tentang perjalanan seterusnya di Pakistan. Termasuk juga tips untuk memasuki India melalui jalan darat kerana Mr. Lee akan ke India selepas Pakistan.

Sementara saya bersarapan, dapat juga saya mendengar tips berguna daripada Azar. Sememangnya dia begitu hafal dan mahir dengan selok belok di seluruh Pakistan, salut!

Selepas itu kami mengucap selamat jalan kepada Mr. Lee kerana pagi itu dia akan berangkat ke Karimabad. Saya pasti akan berjumpa lagi dengan Mr. Lee kerana saya juga akan ke Karimabad tapi pada keesokan harinya.

Saya masih bersarapan dan terus berborak dengan Azhar. Banyak juga tips yang saya dapat pagi tu untuk perjalanan saya yang seterusnya di Pakistan. Thanks so much to him.

Azhar mengajak saya untuk sertai dia, Altaf dan Noo untuk ke Borith Lake dan juga ke Passu White Glassier.Oleh kerana saya juga belum ada apa-apa rancangan hari tu, jadi saya setuju untuk join mereka.

Tak lama kemudian, Altaf dan Noo masuk ke dalam restoren untuk bersarapan sebelum kami berempat pergi ke Borith Lake dan Passu White Glassier. Walaupun saya baru sahaja kenal dengan mereka, tapi mereka sangat peramah, malah Noo dan Altaf masing-masing mengajak untuk saya travel dengan mereka selepas ini ke Nepal dan Bangkok haha.

Pemandangan dari depan Gulmit Continental Hotel
Kami berempat ke Borith Lake dengan kereta yang dipandu oleh kawan Azhar, seorang penduduk tempatan di Gulmit. Perjalanan dari hotel menuju ke Borith Lake mengambil masa kira-kira setengah jam.

Sekitar Gulmit
Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan gunung-ganang yang sangat indah. Ada beberapa kali kami berhenti di tepi jalan kerana tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar pemandangan di situ.

Pemandangan indah di Gulmit
Noo dan Azhar yang memang berminat dengan fotografi kelihatan sangat beriya mengambil gambar dengan DSLR mereka dari setiap sudut. Manakala saya yang cuma membawa kamera digital hanya mengambil beberapa keping gambar. Saya akui memang agak malas untuk mengambil gambar sewaktu travel. Saya lebih gemar menikmati pemandangan secara 'live' dan kemudian menyesal bila pulang dari travel kerana tak ada gambar di tempat tertentu lol. Mungkin selepas ini saya perlu lebih rajin lagi mengambil gambar hehe.

I am in Pakistan!
Proud to be Pakistani
Perjalanan ke Borith Lake
Setelah puas mengambil gambar, kami meneruskan lagi perjalanan. Kereta hanya dapat dipandu dengan kelajuan sekitar 30-50 km/j kerana jalan amat kecil dan muat-muat untuk satu kereta dan tepinya adalah gaung. Untuk ke Borith Lake kami terpaksa melalui jalan di lereng-lereng bukit. Pendek kata, jika terlajak sikit ke dalam gaunglah kami jawabnya. Pfft ~

Jalan yang agak teruk
Mungkin untuk menghilangkan rasa cemas dengan keadaan jalan yang sebegitu, Azhar mula menyanyi dalam kereta. Lagu Melayu, tapi saya tak tahu lagu apa haha. Kemudian Noo menyanyi dalam bahasa Thailand dan diikuti Altaf yang mempersembahkan lagu Urdu kepada kami. Memang meriah :)

Akhirnya kami sampai di Borith Lake. Betul-betul di hadapan Borith Lake terdapat sebuah hotel kecil dan sebuah restoren. Kami meninjau kawasan tasik yang pada saya sangat cantik. Susah untuk saya gambarkan keindahan tasik ni, lebih baik lihat saja gambar-gambar yang sempat saya ambil waktu di sana dan nilaikan sendiri :)

Restoren di Borith Lake
Yang menjadikan tempat ini lebih isitimewa lagi, memang tak ada pelancong yang akan berebut-rebut untuk mendapatkan spot yang paling cantik di situ, tidak seperti tempat-tempat tarikan pelancong di tempat lain. Seluruh tasik ini bagaikan hanya kami yang punya!

Borith Lake
Selepas puas melihat kawasan tasik kami berehat dan minum Chai di situ. Restoren kayu yang sangat sederhana ini memang sesuai dijadikan tempat berehat. Sambil menghirup Chai kami dapat menikmati pemandangan tasik yang berlatarbelakangkan gunung ganang di banjaran Karakoram.

Tasik berlatarbelakangkan banjaran Karakoram
Walaupun berat rasanya untuk meninggalkan tempat ini, tapi kami perlu beredar untuk ke satu lagi destinasi iaitu Passu White Glasier.

Kami meneruskan lagi perjalanan dengan kereta ke Passu iaitu sebuah kampung yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan daripada Gulmit. Passu juga tak kurang cantiknya jika dibandingkan dengan Gulmit.

Jalan daripada Gulmit ke Passu berada dalam keadaan yang agak teruk. Tidak bertar, berlubang dan kadang-kadang perlu melalui tepi curam yang agak tinggi. Sebenarnya jalan ini hanyalah jalan sementara yang telah dibuat oleh penduduk kampung kerana jalan utama mereka iaitu KKH (Karakoram Highway) telah musnah akibat daripada bencana alam tanah runtuh dan kemudian terjadi banjir besar daripada Hunza River pada Feb 2010.

Banjir besar telah menenggelamkan KKH sejauh 27 km dan memusnahkan banyak kampung. Menurut penduduk kampung mangsa yang terkorban mencecah puluhan orang. Waktu saya di sana dan sempat berborak dengan seorang penduduk kampung, saya boleh rasakan mereka masih lagi terasa kesan kejadian itu walaupun sudah hampir 3 tahun berlalu.

Bekas Karakoram Highway (KKH) yang kini ditenggelami air
Tasik besar yang terbentuk daripada bencana alam ni dikenali dengan nama Attabad Lake. Oleh kerana jalan darat mereka telah terputus, sekarang penduduk kampung terpaksa menaiki bot di Attabad Lake untuk berhubung dengan dunia luar yang mengambil masa selama 2 jam sehala. Segalanya tidak mudah di sana, jadi saya rasa bersyukur kerana negara kita tidak pernah melalui semua ini, minta dijauhkan.

Ok, balik kepada cerita tadi..

Setelah 30 minit kami sampai di penghujung jalan dan kereta terpaksa diberhentikan di situ. Untuk melihat Passu White Glasier kami harus trekking selama 45 minit - 1 jam.

Awesome!
Trekking tidak terlalu sukar dan telah ada laluan kecil untuk kami jalan terus sehingga ke kawasan paling tinggi untuk melihat glasier. Sewaktu kami memulakan trekking cuaca amat panas dan terik. Semakin tinggi dan hampir dengan glasier suhu semakin rendah dan lebih sejuk.

Kami tak lepaskan peluang untuk mengambil gambar lagi di situ. Memang cantik pemandangannya dan lain daripada yang lain. Azhar yang sudah pernah ke sini beberapa tahun yang lepas beritahu tak akan pernah jemu melihat pemandangan sebegitu berulang kali. Betul, saya juga rasanya tak akan jemu dan insyaAllah kalau ada rezeki akan ke sana lagi.

Trekking ke Passu White Glasier
Passu White Glasier
Setelah puas menikmati pemandangan di situ, kami mula turun semula ke tempat kereta diberhentikan tadi. Sewaktu perjalanan turun kami terserempak dengan 2 orang traveller daripada Jerman. Memang nampak berpeluh jugalah kerana cuaca yang sangat panas waktu itu.

Sampai di kereta, kami berehat dahulu dan makan snek yang di bawa oleh Noo dan Azhar. Antaranya ialah buah-buahan kering seperti aprikot, walnut, mulberi dan beberapa jenis buah lagi.

Kemudian kami pulang semula ke hotel. Oh ya, dalam perjalanan pulang kami melalui Borith Lake sekali lagi dan ternampak seekor itik berenang-renang di tengah tasik. Sangat comel, hanya seekor sahaja di tengah-tengah tasik yang besar.

Sampai di hotel semula kira-kira jam 1.30 pm. Saya berehat sekejap dalam dalam bilik sebelum makan tengahari di restoren hotel. Saya makan ditemani oleh Zahir iaitu anak pemilik hotel yang juga merupakan pengurus hotel di situ. Dia banyak menceritakan tentang kehidupan penduduk kampung di situ dan juga kesan daripada kejadian September 11 kepada seluruh penduduk Pakistan secara general.

Kira-kira jam 4 pm, Azhar, Noo dan Altaf akan berangkat ke destinasi seterusnya (saya dah lupa nama tempat tersebut). Noo dan Azhar sempat memberikan alamat email dan nombor telefon Pakistan untuk kami terus berhubung nanti. Rasa sedikit berat hati melihat mereka bertiga pergi, bermakna tinggal saya seorang di hotel. Iya, hanya saya seorang yang menginap di hotel yang mempunyai 7 bilik pada waktu itu.

Selepas menghantar mereka bertiga di lobi hotel dan mengucapkan selamat jalan, saya meminjam broadband Zahir sekali lagi dan melayari internet di restoren hotel. Waktu itu Zahir tetap menemankan saya di restoren hotel dan berborak lagi sampai lewat petang.

Sekitar jam 6 pm Zahir mengajak saya untuk ke Ondra Fort untuk melihat pemandangan Attabad Lake dan juga sunset. Kami berjalan kaki melalui kawasan rumah penduduk kampung di situ. Kemudian saya ternampak sebuah kedai kecil seperti menjual sim card, kami singgah beli sim card Zong dan terus aktifkan kad.

Sewaktu aktifkan kad, secara tak sengaja saya telah terbuang semua nombor telefon dalam Blackberry. Lebih malang lagi kad saya rupanya masih belum boleh digunakan lagi dan terpaksa menghubungi pusat servis Zong untuk bantuan. Tapi saya lupakan dulu tentang sim kad dan menikmati pemandangan yang sangat cantik dari Ondra Fort.

Oh ya, sewaktu di Ondra Fort kami telah berjumpa dengan seorang lelaki dan kelihatan Zahir amat rapat dengannya. Zahir memperkenalkan kami, rupanya dia ialah bekas guru sekolah Zahir namanya Mehboob. Kami banyak bersembang dari satu topik ke topik yang lain. Dia juga sempat bertanya kepada saya, tak takut ke travel di Pakistan seorang diri, tak takut ke dengan Taliban dan banyak lagi soalan.

Saya cakap teringin nak berjumpa dengan Taliban, mereka cuma ketawa. Tapi betul saya teringin nak jumpa dengan Taliban, saya rasa betul-betul ingin tahu bagaimana mereka sanggup membunuh dan menyeksa orang yang tak berdosa. Hmm.

Hari semakin gelap dan kami melihat sunset di situ, tak tahu saya nak gambarkan suasana waktu itu yang sangat-sangat cantik. Saya rasa bersyukur dapat melihat pemandangan yang sebegitu cantik. Betul bak kata traveller lain yang pernah saya jumpa, Pakistan mempunyai tarikan yang sangat luar biasa dan hanya mereka yang pernah ke sana akan faham maksud saya ni.

Menurut Zahir saya agak bertuah kerana malam itu adalah hari bulan penuh (full moon). Walaupun hari telah beransur malam, tapi kampung Gulmit masih terang. Kami berjalan kaki pulang ke hotel, walaupun tanpa lampu jalan kami masih boleh berjalan seperti biasa.

Sewaktu berjalan kaki pulang  ke hotel, saya banyak bertanya tentang ajaran Islam Syiah Ismaili. Untuk pengetahuan, majoriti penduduk di utara Pakistan adalah penganut ajaran Islam Syiah Ismaili. Menurut Zahir, penganut Syiah Ismaili hanya dituntut untuk sembahyang 3 kali sehari. Kaum wanita yang bersembahyang di Jama Khanna (masjid) boleh berdiri 1 saf dengan kaum lelaki. Banyak lagi yang Zahir kongsikan kepada saya, tapi rasanya tak perlulah saya huraikan satu persatu di sini. Saya bertanya tentang Syiah hanya sekadar perasaan ingin tahu, tidak lebih daripada itu.

Zahir beritahu malam ini dia akan bawa sedikit makanan daripada rumah yang dimasak oleh ibunya. Dia mahu saya merasa makanan khas tempatan Gulmit. Sudah tentu saya sangat berbesar hati kerana dapat peluang merasa makanan khas di Gulmit.

Sampai di hotel, saya lihat hotel gelap. Rupanya malam itu bekalan elektrik terputus. Di Pakistan, bekalan elektrik terputus itu adalah perkara biasa. Dalam masa 1 hari, jarang untuk ada bekalan elektrik selama 24 jam. Jadi sebab itu memang pihak hotel ada menyediakan lilin disebelah katil sebagai persediaan jikalau elektrik terputus.

Sampi di bilik saya yang gelap, saya terus pasangkan lilin dan mencari lampu suluh yang memang saya bawa dari Malaysia. Dengan bilik yang samar-samar, saya mandi dan solat jama' Maghrib dan Isyak dahulu.

Selepas itu, dengan lampu suluh saya turun ke lobi dan berjumpa semula dengan Zahir. Dia mengajak saya untuk makan malam di atas bumbung. Kami menaiki tangga dengan berhati-hati kerana gelap dan tangga agak tinggi dan mencanak.

Sampai di atas bumbung, saya sangat teruja kerana dari atas saya boleh lihat pemandangan kampung Gulmit yang sangat cantik. Sudah cukup terang dengan cahaya dari bulan yang penuh. Terlihat juga banjaran gunung Karakoram yang bersalji. Masya-Allah, memang saya rasa seperti mimpi.

Full moon di Gulmit
Kami hanya duduk di atas sekeping alas dan makan malam di situ. Menu malam itu ialah jus aprikot, pancake dengan aprikot jem dan mulberi jem. Satu lagi ialah pancake dengan keju khas Gulmit. Jem aprikot dan mulberi pada saya sangat sedap. Menurut Zahir mereka tidak mencampurkan gula untuk membuat jem tersebut, jadi manis jem itu sepenuhnya daripada buah itu sendiri.
Cheese khas Gulmit
Pancake dengan jem aprikot dan mulberi
Sewaktu makan kami banyak berborak lagi, daripada isu politik sehinggalah isu keadilan gender di Pakistan. Saya juga banyak menceritakan tentang Malaysia kepada Zahir yang kelihatan berminat untuk mengetahui tentang Malaysia. Leka berborak sehingga kami tak sedar hari sudah agak lewat. Kira-kira jam 11 pm kami turun semula dan saya masuk ke bilik untuk berehat dan tidur. Keesokan harinya saya akan berangkat ke Karimabad dengan menaiki bot di Attabad Lake.

Cerita perjalanan saya ke Karimabad dengan menaiki bot di Attabad Lake akan disambung di entri seterusnya.....

Sunday, August 25, 2013

Pakistan Part I - From China to Pakistan via Karakoram Highway (KKH)

Assalamualaikum..

Kalau perasan tajuk entri ni, saya akan bercerita tentang Pakistan. Bermakna saya akan skip dulu cerita perjalanan Silk Road di China. Kenapa saya skip entri China? Saya pun tak ada jawapannya. Cuma sekarang saya rasa nak mulakan dengan cerita Pakistan. Kalau ikutkan banyak juga cerita yang saya skip termasuklah travelogue trip ke Gunung Rinjani dan Pulau Perhentian dan lain-lain. Oh stres, tak tahu bila nak siap semuanya haha. Ok fokus, saya mulakan dengan Pakistan dulu sebab saya ada banyak cerita nak kongsi dengan kawan-kawan semua.

Sebelum itu, untuk pengetahuan saya memasuki Pakistan bersama seorang traveller daripada Korea. Kami menginap di hostel yang sama di Kashgar dan kebetulan dia juga akan ke Pakistan jadi kami pergi sekali. Namanya Mr. Lee seorang bekas pagawai tinggi dalam tentera Korea dan selalu bertugas di luar negara. Dia sedang dalam pengembaraan selama 6 bulan di seluruh asia.

20 June 2013

Daripada China atau lebih spesfiknya iaitu pekan Taskhkurgan, kami menaiki bas NATCO (Northern Area Travel Company) untuk ke SUST Pakistan melalui Karakoram Highway atau lebih dikenali sebagai KKH.

KKH telah di labelkan sebagai "Eight Wonder of the World" kerana ia merupakan lebuhraya tertinggi di dunia yang dibina sepanjang banjaran Gunung Karakoram pada aras 4693 mdpl. Untuk perbandingan, puncak Gunung Kinabalu ialah 4095 mdpl, jadi kawasan ini amat tinggi dan kemungkinan untuk terkena AMS (altitude sickness) juga tinggi.

SUST ialah pekan kecil di mana terletaknya pejabat kastam untuk memasuki Pakistan melalui Khunjerab Pass yang merupakan border pass tertinggi di dunia dan titik pertemuan banjaran Himalaya, Hindukush dan Karakoram.

Tiket bas NATCO untuk ke SUST boleh dibeli di pejabat kastam pada hari yang sama. Menurut penduduk tempatan, bas dijadualkan berangkat jam 11 am setiap hari. Kami sampai di pejabat kastam pada jam 8.30 am, kami menunggu di luar bangunan kastam sehinggalah mereka memulakan operasi pada jam 11 am.

Pejabat kastam China
Memang lama saya dan yang lain-lain tunggu di luar bangunan. Pada waktu menunggu itulah ada seorang lelaki warga Pakistan menjual tiket bas NATCO. Harga tiket sebanyak 225 RMB terus dibayar kepada lelaki tadi, tak ada tiket kertas yang dikeluarkan. Cuma kami semua perlu menulis butir-butir diri di dalam buku rekod dia.

Setelah selesai urusan pembelian tiket, akhirnya pejabat kastam memulakan operasinya. Saya dan yang lain-lain terus masuk ke dalam bangunan dan melakukan prosedur kastam seperti biasa. Sewaktu sedang beratur ada pegawai yang datang kepada saya dan bertanya apa pekerjaan saya di Malaysia, tujuan ke Pakistan dan beberapa soalan lagi. Operasi berjalan dengan agak perlahan. Setelah 1 jam baru semuanya selesai.

Bas NATCO terletak betul-betul di depan bangunan kastam. Sebelum masuk ke dalam bas, passport kami diperiksa satu persatu oleh pegawai imigresen yang bertugas.

Dalam bas hanya kami berdua warga asing (Malaysia dan Korea) dan selainnya adalah warga Pakistan. Dan cuma saya seorang  perempuan dalam bas tersebut.

Bas agak besar dan tempat duduknya adalah seperti sleeper dan free seating. Ada 3 baris dan saya memilih untuk mengambil tempat yang paling kiri di tepi tingkap untuk memastikan saya dapat lihat pemandangan sepanjang perjalanan nanti.

NATCO bas, 225 RMB
Setelah semua penumpang berada dalam bas, beberapa pegawai imigresen China masuk ke dalam bas dan memeriksa passport setiap orang sekali lagi. Akhirnya pada jam 12 pm bas dibenarkan berangkat menuju ke Pakistan. Masa ni, memang perasaan saya teruja sangat sebab macam tak percaya saya sedang menuju ke Pakistan!

Baru je bergerak dalam 10 minit bas berhenti di stesen minyak. Ramai yang mengambil kesempatan untuk turun daripada bas dan pergi ke kedai berdekatan untuk membeli makanan ringan sebagai bekalan sewaktu perjalanan. Saya juga turun dan membeli sebungkus biskut dan setin air nescafe.

Sedang beratur untuk membayar biskut dan air nescafe, pegawai imegresen dah sibuk panggil semua orang untuk cepat-cepat naik bas. Pegawai imigresen China ni garang-garang perwatakannya. Jadi dengan kelam kabut semua orang membayar dan masuk ke dalam bas semula.

Akhirnya bas berangkat menuju ke Pakistan. Seorang pakcik Pakistan yang duduk di depan saya menghulurkan biskut yang baru dibeli tadi. Mulanya saya menolak dengan cara baik tapi melihat kesungguhan dia saya terima juga sambil mengucapkan 'syukriya'.

Pakcik baik bagi biskut
Perjalanan dengan bas NATCO merupakan antara pengalaman yang paling tidak boeh saya lupakan sampai bila-bila. Pemandangan sepanjang Karakoram Highway teramat indah untuk saya gambarkan. Saya cuma boleh mengucapkan 'subhanAllah' begitu besar ciptaan-Nya. Saya juga amat bersyukur kerana berpeluang merasai sendiri perjalanan di Karakoram Highway.

Setelah 2 jam perjalanan, bas melalui border China-Pakistan iaitu Khunjerab Pass. Terdapat beberapa pegawai tentera Pakistan yang masuk ke dalam bas dan memeriksa passport kami satu persatu. Saya ingat lagi, setiap kali pintu bas dibuka, terasa angin kuat sejuk menerjah ke dalam bas. Memang terlalu sejuk suhu di situ. Mana tidaknya, kanan dan kiri pemandangan hanyalah gunung ganang bersalji.

Khunjerab Pass
Setelah pegawai tentera Pakistan tadi berpuas hati kami dibenarkan untuk meneruskan perjalanan lagi.

Kira-kira jam 2.40 pm bas terpaksa berhenti ditepi jalan kerana pembinaan jalan sedang dilakukan disitu. Memang agak gayat juga bila terpaksa menunggu didalam bas betul-betul di tepi gaung. Iya, pembinaan KKH memang telah mengorbankan banyak nyawa. Bayangkan kita membina jalan di lereng-lereng gunung dengan cuaca yang amat sejuk. Ini juga salah satu sebabnya kenapa KKH dilabelkan sebagai "Eight Wonder of the World". Tetapi saya rasa, atas desakan hidup mereka terpaksa bertarung nyawa untuk menyara kehidupan mereka. Sesekali saya ternampak pekerja KKH di tepi jalan, sungguh saya kagum dengan semangat mereka yang sanggup bekerja ditempat sebegini.

Karakoram Highway
Karakoram Highway
Setelah hampir 5 jam perjalanan pada pukul 4 pm, akhirnya bas sampai di destinasi iaitu pejabat kastam SUST Pakistan. Kami semua turun daripada bas dan tanpa berlengah masuk ke dalam bangunan sederhana besar itu. Setiap orang diberi satu borang pengesahan kesihatan untuk diisi. Selepas itu kami disuruh beratur untuk berjumpa dengan pegawai kastam di bilik seorang demi seorang. Mujur proses berjalan lancar dan saya berjaya juga mendapatkan cop kastam di Pakistan tanpa masalah.

Akhirnya sampai ke destinasi
Borang pengistiharan kesihatan
SUST Pakistan
Pada waktu ini sebetulnya saya dan Mr. Lee belum membuat keputusan untuk menuju ke mana. Saya tidak ada rancangan yang konkrit sewaktu di Pakistan, hanya mengikut keadaan dan kesesuaian sahaja. Saya berbincang dengan Mr. Lee dan akhinrya kami bersetuju untuk terus menuju ke Gulmit (Upper Hunza) dan menginap di salah satu hotel yang ada di sana.

Daripada SUST ke Gulmit kami akan menaiki jeep. Beberapa pemandu jeep telah datang kepada kami sewaktu beratur tadi dan kami telah memilih jeep yang menawarkan harga paling murah ke Gulmit. Sebetulnya jeep ini ialah jeep membawa barangan tapi oleh kerana ada tempat duduk kosong jadi mereka menawarkan untuk sesiapa yang memerlukan pengangkutan ke destinasi yang sama.

Jeep dari SUST ke Gulmit
Sementara menunggu pemandu jeep memunggah barangan ke dalam jeep, saya sempat mengemaskan backpack dan kemudian disapa oleh seorang pegawai kastam disitu. Dia bertanya apa tujuan saya ke Pakistan, apa yang ada didalam beg saya, sudah bekerja atau masih belajar lagi dan beberapa soalan lain. Pada mulanya dia menunjukkan muka yang agak garang dan tegas, mujur tak ada apa-apa masalah setelah saya menjawab semua soalannya.

Tak lama kemudian, datang seorang lelaki dan menyapa saya. Dia tanya "Your name Siti?" Saya macam keliru sekejap siapa dia ni, hmm. Kemudian dia memperkenalkan dirinya sebagai Alam Jan. Oh baru saya ingat, pernah email dan bertanya soalan tentang Pakistan daripada Mr. Alam. Saya dapat email address dia daripada CouchSurfing. Mr. Alam adalah seorang mountain guide yang berpengalaman dan sangat terkenal di kalangan traveller dari luar. Cerita tentang dia juga pernah diterbitkan dalam buku "Three Cups of Tea" keluaran seorang traveller berpengaruh iaitu Greg Mortenson.

Me with Mr. Alam
Mr. Lee from Korea
Saya tak sangka dia akan datang ke SUST pada hari itu. Rupanya dia ingin menjemput saya ke Pamir Valley, kira-kira 1 jam daripada SUST. Tapi oleh kerana saya telah membuat keputusan untuk ke Gulmit bersama Mr. Lee saya terpaksa menolak pelawaannya itu. Menurut Mr. Alam dia ada email saya beberapa hari sebelumya untuk membawa saya melawat ke Pamir Valley, tapi saya tidak cek email beberapa hari sebelum sampai ke SUST dan tidak tahu tentang rancangannya itu.

Kami sempat berborak sekejap sebelum saya dipanggil untuk meneruskan perjalanan ke Gulmit. Di dalam jeep terdapat 5 orang termasuk pemandu.

Pemandu jeep bertanya kepada saya kalau hendak menukar duit Pakistan Rupee (PKR) lebih baik tukar di SUST. Saya minta pemandu jeep untuk membawa saya ke kedai tukaran matawang asing, kira -kira 5 minit daripada pejabat kastam tadi dan saya menukar USD 195 dan baki yuen yang ada iaitu sebanyak RMB 50.

Secara ringkasnya, 1 USD = 100 PKR.

Setelah selesai menukar USD kepada PKR, pemandu jeep tadi mempelawa untuk makan dulu di kedai makan berdekatan. Saya yang memang sedang lapar mengikutnya masuk ke dalam kedai makan. Saya mengajak Mr. Lee tapi menurutnya dia tak lapar dan cuma nak menunggu di dalam jeep.

Masuk di dalam kedai, agak kekok sikit kerana semuanya lelaki. Hmm. Tapi saya buat seperti biasa dan pesan Nasi Briyani berlaukkan ayam, seperti apa yang dimakan oleh orang di meja sebelah. Setelah hampir 20 hari travel di China, inilah kali pertama saya dapat makan nasi yang hampir serupa dengan makanan dari Malaysia. Lebih-lebih lagi saya yang berasal daripada Johor memang sinonim dengan Nasi Briyani. Lega sangat rasanya dapat makan makanan yang kena dengan anak tekak.

Yummy Briyani
Setelah selesai makan saya nak bayar, cuma PKR 150. Murah dan sedap, puas hati.

Saya menunggu pemandu jeep didalam jeep beberapa minit kemudian kami bertolak ke Gulmit. Perjalanan daripada SUST ke Gulmit mengambil masa selama 1 jam setengah. Pemandangan terlampau cantik, ditambah lagi dengan alunan lagu Urdu sepanjang perjalanan. Saya masih tak percaya saya sudah berada di Pakistan, rasa seperti mimpi.

Many jeeps in SUST
Perjalanan dengan pemandangan indah
SUST - Gulmit
Akhirnya pada kira-kira jam 6 pm kami sampai di Hotel Continental Gulmit. Setelah menurunkan backpack daripada jeep, kami masuk ke dalam hotel dan berjumpa dengan pegurus hotel iaitu Mr. Zahir. Mr. Zahir membawa kami melihat bilik hotel, bilik berharga 1500 PKR/malam. Mr. Lee terkejut dengan harga yang diberitahu kerana Mr. Lee cakap daripada internet dia mendapat maklumat harga bilik di hotel ini hanya 200 PKR/malam.

Gulmit Continental Hotel
Saya juga rasa bilik terlalu mahal dan saya cakap kalau dapat dengan harga 200 PKR saya akan setuju menginap di situ. Tanpa berfikir banyak Mr. Zahir cakap ok saya boleh dapat dengan harga 200 PKR, tapi Mr. Lee tetap dengan 1500 PKR walaupun bilik kami adalah jenis yang sama cuma berlainan tingkat, bilik saya di tingkat 1 dan bilik Mr. Lee di tingkat bawah. Setelah berbincang sekejap kami setuju untuk menginap di situ memandangkan kami dah terlalu penat untuk mencari-cari tempat lain.

Bilik 1500 PKR/malam
Setelah check-in bilik masing-masing kami jumpa di restoren hotel, yang terletak di tingkat 1 juga tak jauh dari bilik saya. Saya hanya memesan chai (teh susu) manakala Mr. Lee memesan nasi goreng kerana dia belum makan sejak dari Taskhkurgan lagi. Saya pula dah kenyang makan Nasi Briyani di SUST tadi.

Sedang kami berborak, ada tiga orang guest hotel yang masuk ke dalam restoren. Seorang perempuan dan 2 orang lelaki. Saya lihat salah seorang lelaki tu mukanya mirip seperti orang melayu dan seorang lagi ialah Pakistani. Dalam restoren pada waktu itu cuma ada saya dan Mr. Lee sahaja. Saya melihat lelaki melayu tadi dan dia pun menegur "Are you Malaysian"?. "Yes! Laa dari Malaysia juga ke?" Teruja sekejap sebab jumpa orang senegara, yang uniknya dia berasal daripada Johor. Bukan setakat senegara tapi senegeri haha.

Namanya Mr.Azhar, dah beberapa tahun bertugas sebagai doktor di Islamabad. Mereka bertiga hanya bercuti sambil menemankan kawan perempuan mereka yang datang daripada Thailand iaitu Noo, seorang penulis skrip dokumentari television di negara asalnya. Manakala seorang lagi adalah kawan baik Mr. Azhar iaitu Mr. Altaf, seorang pemilik sebuah guesthouse di Gilgit.

Mr. Azhar seorang yang peramah dan sangat berpengetahuan tentang Pakistan. Malahan dia juga boleh bertutur dalam bahasa Urdu!

Kesian Mr. Lee yang tak faham apa yang kami bualkan kerana kami seronok berbual dalam bahasa Melayu haha. Selama saya travel dalam trip inilah pertama kali saya berjumpa dengan orang Malaysia yang boleh bercakap bahasa Melayu. Memang sakan la berborak.

Tak lama lepas tu kami balik ke bilik masing-masing kerana saya, Mr. Lee dan Mr. Zahir bercadang untuk berjalan-jalan di sekitar kampung Gulmit petang itu.

Saya sempat untuk solat jama' Zuhur dan Asar sebelum keluar lagi. Tapi sewaktu saya sedang solat, Mr. Lee dah terjerit-jerit nama saya dari bawah (bilik dia di tingkat bawah, saya di tigkat 1). Mr. Lee yang merupakan bekas tentera ni memang suka mengarah dan memaksa. Kadang-kadang geram jugalah dibuatnya, tapi memandangkan dia ni jauh lebih berumur yang boleh saya panggil atuk, jadi saya hormatkan dia. Kalau ikutkan di Gulmit ini adalah hari ke 5 sejak saya travel sekali dengan dia.

Bila saya siap dah turun ke bawah, saya cakap dengan Mr. Lee lain kali jangan menjerit macam tu lagi, tak elok. Dia cakap ok, let's go! Sambil senyum dan berjalan penuh semangat. Lol. Geram jugalah dibuatnya. Grr.

Mr. Zahir bawa kami berdua jalan-jalan disekitar kampung Gulmit. Mr. Zahir banyak menerangkan sejarah Gulmit. Dahulunya di Gulmit kerap diadakan Polo iaitu sukan berkuda antara penduduk tempatan dengan pihak lawan luar daripada daerah Gulmit. Tetapi oleh kerana ramai anak muda yang telah berhijrah ke kota lebih besar sekarang sudah jarang lagi adanya Polo di Gulmit. Yang tinggal hanyalah bekas tempat sukan Polo diadakan.

Bekas tempat sukan Polo
Kami juga di bawa Mr. Zahir ke kawasan perumahan orang kampung yang sudah terbina sejak ratusan tahun dahulu. Struktur rumah masih kukuh dengan senibina yang agak unik pada pandangan saya. Mereka membina rumah yang agak rendah kerana pada musim sejuk di Gulmit, suhu boleh mencecah sehingga -30 darjah celcius. Jadi mereka membina rumah yang agak rendah supaya lebih hangat dan tidak terlalu sejuk.

Rumah berusia beratus tahun
Kami singgah di rumah saudara Mr. Zahir, seorang nenek yang berumur dalam lingkungan 60-an. Kami banyak berborak dengan Mr. Zahir dan menerangkan cara hidup penduduk tempatan di Gulmit. Nenek yang juga merupakan tuan rumah tidak dapat berborak sama kerana tidak berbahasa Inggeris. Tapi dia sibuk menyediakan teh untuk dihidangkan kepada kami. Menurutnya kami tidak boleh balik selagi belum minum di rumahnya. Ini memang salah satu adat di Pakistan, setiap tetamu pasti akan di jamu sekurang-kurangkan teh secawan.

Singgah di rumah orang tempatan
Setelah minum kami meminta izin untuk pulang. Kami berjalan lagi di sekitar kampung selagi hari belum gelap.

Kampung Gulmit yang cantik
Walaupun baru beberapa jam saya di Gulmit, saya rasa dah mulai suka tempat ni. Sebuah kampung yang sangat tenang, pemandangan yang cantik luar biasa. Sangat sempurna sebagai pembukaan trip saya di Pakistan :)

Setelah hari semakin gelap kami balik semula ke hotel. Saya tanya Mr. Zahir kalau di hotelnya ada wifi atau internet, dia cakap mustahil ada wifi di Gulmit haha. Tapi dia ada broadband yang saya boleh pinjam.

Saya naik ke bilik untuk mengambil laptop dan kemudian turun semula ke lobby untuk melayari internet di situ dengan menggunakan broadband Mr. Zahir. Bila Mr. Zahir beri saya broadband saya agak terkejut kerana broadband yang digunakan adalah broadband Celcom. Saya tanya dari mana dia dapatkan broadband Celcom, dia kata daripada kedai tak jauh dari Gulmit. Aneh jugalah ada Celcom di situ.

Sewaktu sedang melayari internet yang tak berapa nak laju, bayangkan 15 minit baru dapat loading 1 page, kami banyak berborak.

Tak lama Mr. Lee datang ke lobby dan dia tanya jam berapa kami akan berangkat ke Karimabad. Saya agak terkejut dengan soalan dia, kerana saya tak pernah cakap akan ke Karimabad esoknya. Saya cakap saya akan tinggal sehari dua lagi di Gulmit kerana belum puas tinggal di Gulmit dan saya rasa tempat ini sangat cantik dan tenang.

Mr. Lee agak sedih bila saya cakap akan tinggal lebih lama di Gulmit, manakala dia dah tak sabar untuk ke Karimabad. Karimabad memang sangat terkenal dikalangan pelancong terutamanya yang berasal daripada Korea dan Jepun malahan ramai yang menetap lama di situ.

Walaupun Mr. Lee tetap mengajak saya ke Karimabad esoknya, saya masih dengan pendirian untuk tinggal lebih lama di Gulmit. Mr. Lee akhirnya mengalah dan dia terima keputusan saya, walaupun saya tahu dia sedikit kecewa.

Setelah itu saya teruskan lagi melayari internet, tujuan utama hanya untuk memberitahu adik saya yang saya telah selamat sampai di Pakistan.

Kemudian Mr. Zahir mengajak saya untuk ke restoren dan makan sup sebagai supper. Kami sambung berborak lagi dan disertai dengan Mr. Altaf. Memang banyak yang kami borakkan sehingga tak sedar hari telah lewat.

Kemudian saya minta izin untuk beredar dulu untuk tidur dan berehat. Keesokan harinya saya belum ada apa-apa rancangan dan mungkin akan pergi trekking tak jauh dari Gulmit.

Cerita di Gulmit akan bersambung di entri seterusnya....stay tune!