Saturday, July 20, 2013

China Silk Route and Pakistan Adventure - Introduction


Alhamdulilah dengan izin-Nya, saya telah selamat pulang beberapa minggu lepas daripada backpacking trip selama 37 hari di negara China dan Pakistan. Pengembaraan solo kali ini melalui jalan darat sejauh 6,310 kilometer - menurut sumber Google Map. Perjalanan dimulai dengan penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Chengdu pada 1 June 2013 (AirAsia) dan diakhiri dengan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur daripada Islamabad pada 6 July 2013 (Thai Airways).

Perjalanan trip ini bukan mudah kerana tak banyak informasi yang boleh didapati daripada internet atau pun daripada buku panduan, terutamanya tentang Pakistan. Tak ramai yang travel ke Pakistan sejak berlakunya insiden September 11. Pengeluar buku panduan terkenal Lonely Planet pun dah tak keluarkan edisi baru, yang terakhir ialah edisi ke-7 iaitu pada tahun 2008.

Untuk mendapatkan visa China, mudah dan tak ada masalah. Saya dapatkan visa 'double entry', sebagai langkah berjaga-jaga kalau saya tak dapat memasuki Pakistan nanti dan terpaksa memasuki China semula.

Manakala visa Pakistan pula, saya akui hampir-hampir berputus asa kerana sukar dan amat menguji kesabaran. Saya terpaksa berulang-alik sebanyak 5 kali (hampir sebulan kerana hanya sempat ke embassy seminggu sekali) sebelum mereka iaitu pihak embassy Pakistan di Jalan Ampang berpuas hati dengan semua dokumen yang mereka minta. Antara dokumen yang mereka minta adalah sekeping foto ukuran passport, salinan passport, salinan kad pengenalan, LOI (letter of invitation) daripada kenalan di Pakistan dan surat kebenaran daripada ibu bapa. Iya, surat kebenaran daripada ibu bapa. Mungkin kerana saya perempuan dan akan ke sana sendiri, jadi mereka perlukan dokumen tambahan.

Setelah mereka berpuas hati dengan semua dokumen yang saya bawa, baru mereka hantar saya ke bilik khas untuk ditemuduga. Lama saya menunggu giliran untuk ditemuduga. Waktu itu hanya saya seorang warga tempatan dan yang lainnya warga Pakistan. Setelah menunggu selama 2 jam akhirnya saya dipanggil untuk masuk ke bilik dan ditemuduga. Banyak soalan yang ditanya dan saya cuba menjawabnya dengan sebaik mungkin. Syukur alhamdulilah, akhirnya saya berjaya mendapatkan visa Pakistan dan diberi tempoh 18 hari sahaja di sana nanti.

Trip ini secara kasarnya terbahagi kepada 2 bahagian iaitu China Silk Route dan meneruskan perjalanan ke Pakistan melalui Karakoram Highway (KKH). China Silk Route, terkenal dengan tinggalan sejarah dan budaya unik daripada pelbagai etnik yang dapat dilihat sepanjang perjalanan daripada timur ke barat China. Memasuki Pakistan daripada China melalui jalan darat adalah impian saya sejak dulu kerana teruja untuk merasai sendiri pengalaman melalui salah satu jalan paling bahaya di dunia iaitu Karakoram Highway (KKH). Selain itu dapat melihat sendiri pemandangan luarbiasa yang terdapat di Pakistan, terlalu indah dan tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Mungkin gambar di bawah dapat menjelaskan sedikit tentang Pakistan:

Air sungai yang sangat jernih, Gilgit River
Yusra, 10 tahun dan telah bergelar Hafizah (hafaz Al-Quran)
Pelangi di Khalti Lake, Gupis, Ghizer Valley
Pemandangan biasa yang dapat dilihat di sana
Pemandangan daripada tepi jalan di Yassin Valley

Berikut adalah itineri saya secara ringkas untuk trip ini:

1. Chengdu, Sichuan
2. Xi'an, Shaanxi
3. Zhangye, Gansu
4. Dunhuang, Gansu
5. Urumqi, Xinjiang
6. Kashgar, Xinjiang
7. Karakul Lake, Xinjiang
8. Tashkurgan, Xinjiang
9. Gulmit, Upper Hunza
10. Karimabad, Central Hunza
11. Gilgit, Gilgit-Baltistan
12. Gupis, Ghizer Valley, Gilgit-Baltistan
13. Yasin, Ghizer Valley, Gilgit-Baltistan
14. Pingal, Ghizer Valley, Gilgit-Baltistan
15. Gilgit, Gilgit-Baltistan
16. Islamabad

Terlalu banyak cerita dan kisah yang saya ingin kongsikan bersama. Doakan saya cepat menulis sebelum saya lupa semuanya :P Jumpa lagi di entri seterusnya ! :)