Friday, May 27, 2016

Merindukan bumi Suruc, Turki

Bila kita keluar mengembara, pastinya kita ada sebab kenapa kita memulakan pengembaraan itu. Tidak kisahlah samada tujuannya untuk pergi mengambil gambar dan muatnaik ke 'Facebook'/'Instagram', pergi untuk membeli-belah, pergi untuk mengkaji sejarah sesuatu tempat itu dan banyak lagi sebab lain-lain. Tidak ada satu pun antara sebab yang saya nyatakan tadi adalah betul atau pun salah. Semuanya bergantung kepada minat dan juga niat masing-masing. Tidak perlu dibalahkan siapa yang paling bagus atau siapa tidak bagus. Siapa kita untuk tentukan? Niat masing-masing hanya Dia yang tahu. Luruskan niat dan teruskan kembara InshaaAllah akan mendapat hikmahnya. 

Dengan izin-Nya saya sempat menjelajah ke bumi Turki selama dua bulan semasa musim sejuk pada tahun 2014. Dua bulan kedengaran seperti suatu tempoh yang panjang, tetapi nisbah masa dan juga keluasan bumi Turki adalah terlampau kecil dan boleh dikatakan tidak sampai suku yang sempat saya jelajah dalam tempoh waktu itu. Namun, saya berasa puas juga kerana ada beberapa tujuan dan niat saya dalam pengembaraan selama enam bulan yang akhirnya terlaksana di bumi Turki ini.

Sebenarnya sebelum saya memulakan pengembaraan solo selama enam bulan pada tahun 2014 yang lalu (termasuk dua bulan di Turki), saya kerap mencari jalan dan peluang di mana saya boleh berkhidmat atau pun menyumbang sesuatu di sepanjang perjalanan saya. Apa yang saya boleh fikirkan waktu itu ialah, mugkin saya boleh menjadi sukarelawan di mana-mana. Sukarelawan bidang apa? Saya pun tidak pasti. Yang pastinya, saya fikir mungkin boleh gunakan kudrat saya sahaja nanti untuk membantu apa yang patut.

Sepanjang tempoh enam bulan itu, saya paling teruja jika dapat membuat sesuatu di Afghanistan, iaitu negara idaman dan impian saya sejak lama dulu. Saya cuba cari di internet tentang maklumat pertubuhan-pertubuhan NGO yang mungkin boleh saya hubungi. Ada beberapa yang saya jumpa. Saya email mereka semua. Tetapi hampa, langsung tiada jawapan. Beberapa minggu lamanya saya tetap mencari dan cuba hubungi tetapi tetap tiada balasan. Memang saya kecewa, tetapi rancangan pengembaraan saya selama enam bulan ini tetap akan diteruskan.

 * Pengembaran dalam tempoh masa yang panjang dan berbulan-bulan lamanya di atas jalanan melalui India, Pakistan, Afghanista, UAE dan Iran, akhirnya saya telah sampai di Turki.

Seperti yang kita tahu, Turki adalah sebuah negara Islam yang terkenal dengan tempat-tempat lawatan yang romantis, menarik dan mengagumkan dari segi sejarah dan juga lanskapnya. Tetapi, tujuan saya ke Turki bukan untuk melihat tempat-tempat yang sebegitu. Ada sesuatu yang menarik di Turki jika saya lihat melalui petanya.

Iya, dibahagian selatan Turki terdapat beberapa sempadan negara termasuklah Syria dan Iraq. Melihat sahaja peta Turki ini sudah boleh membuatkan saya berdebar. Keinginan sangat kuat untuk saya melihat sendiri keadaan di sana. Saya tahu ini adalah kegilaan yang boleh memudaratkan diri saya sendiri jika tidak boleh mengawalnya dengan baik. Beberapa rakan baik dan rapat saya sering memberi amaran supaya jangan berani-berani untuk melangkah ke kawasan yang penuh dengan konflik dan masih dalam fasa peperangan itu. Saya cuba terima nasihat mereka, sambil mencari maklumat di internet tentang bagaimana cara untuk ke sana. Degil? Iya tepat sekali.

Sepanjang mengembara di Turki, saya telah berjumpa dengan ramai orang tempatan di sana. Saya cuba menyiasat dan mengumpul sedikit demi sedikit maklumat tentang keadaan di sempadan antara negara Turki dan Syria. Hanya itu yang membuatkan saya teruja sewaktu di Turki. Bukan belon panas atau pun bunga tulipnya. 

Sewaktu di Saliurfa, saya menginap di rumah orang tempatan yang bekerja sebagai guru. Dia berbangsa Turkish berasal daripada Istanbul tetapi telah dihantar bertugas di Saliurfa, iaitu kawasan orang berbangsa Kurdish. Kerap dia mengadu dan mengeluh betapa dia kurang senang dengan perangai orang-orang Kurdish yang menurutnya mereka ialah bangsa yang tidak bertamadun dan kasar. Tetapi dia tidak ada pilihan dan hanya berharap dia dapat ditukarkan ke tempat lain secepat mungkin. Walaupun begitu, sangat ironi bila dia memberitahu teman lelakinya adalah seorang guru juga yang berbangsa Kurdish. Saya tanyakan kepada dia, bagaimana penerimaan keluarganya bila tahu teman lelakinya adalah berbangsa Kurdish. Menurutnya, dia terpaksa menipu pada permulaannya tetapi mujur akhirnya keluarganya dapat menerima dan mereka telah merancang untuk berkahwin.

Begitu tegang keadaan dan konflik antara bangsa Turkish dan juga Kurdish, Masing-masing ada pendirian dan pendapatnya masing-masing. Saya sebagai orang luar yang mengembara di sana cuba menghadam ketidakpuashatian dari kedua belah pihak. Orang Turkish cakap, orang Kurdish itu begini begini, Orang Kurdish pula cakap, orang Turkish itu begitu begitu. Semuanya adalah disebabkan mainan politik dan konflik yang telah berkudis sejak bertahun-tahun lamanya. Saya sebagai orang luar hanya mengharapkan mereka akan berdamai sahaja suatu hari nanti. Seolah mustahil, tetapi masih ada harapan lagi.

Kawan saya yang di Saliurfa itu memberitahu, dia ada kawan yang bertugas sebagai guru juga di Suruc. Menurutnya, terdapat beberapa kem pelarian Syria yang ada di Suruc. Saya minta jasa baiknya untuk memperkenalkan saya kepada kawannya di Suruc. Nasib saya baik, kawannya di Suruc menjemput saya tinggal di rumahnya di Suruc. 

Dengan menaiki pengangkutan awam berupa van kecil, akhirnya saya sampai di pekan Suruc pada waktu Maghrib. Saya hubungi kawan saya yang di Suruc memberitahunya saya telah sampai di stesen bas dan dia meminta saya menunggunya. Dia masih di sekolahnya dan akan mengambil saya di stesen bas secepat mungkin. Sementara menunggu, saya masuk ke sebuah kedai manisan dan menunggu di situ. Tidak ada sesiapa kecuali saya dan pekerja kedai pada waktu itu. Sempat juga saya makan dua ketul baklava dalam keadaan gelap kerana tiada elektirk pada waktu itu. 

Suruc adalah sebuah pekan yang agak tua dan jelas kelihatan telah jauh ketinggalan dalam pembangunan jika dibandingkan dengan pekan atau bandar lain di seluruh Turki. Mungkin kerana lokasinya yang sudah begitu hampir dengan sempadan Syria (hanya 16 kilometer untuk ke sempadan Syria) merencatkan proses pembangunan di pekan ini. Tetapi, saya memang dapat merasakan aura keras sebaik sahaja menjejakkan kaki di pekan Suruc ini. Aura keras konflik. Aura keras peperangan.

Selama beberapa hari saya hanya makan, tidur dan jalan-jalan di sekitar Suruc. Tidak ada satu pun tempat tarikan untuk pelancong yang ada di pekan tua ini. Saya nikmati pekan ini dengan melihat bagaimana orang tempatan di sini menjalani harian rutin mereka. Pekan Suruc tidaklah besar, boleh habis dikelilingi dengan berjalan kaki dalam masa beberapa jam sahaja. Di tengah jalan kebiasaannya akan ada penuh deretan kereta kebal, berpuluh askar siap bersenjata ke sana dan ke mari di seluruh pekan. Orang tempatan pula kebanyakannya adalah lelaki warga emas yang berserban corak kotak-kotak bewarna merah ataupun hitam. Segak memakai sut gelap lusuh dan sering berkumpul beramai-ramai di tepi jalan seolah-olah sedang membincangkan sesuatu yang begitu serius. 

Suruc, sepeti yang saya nyatakan tadi adalah sebuah pekan yang sudah begitu hampir dengan sempadan negara Syria yang sehingga kini masih lagi dalam fasa peperangan. Hampir setiap pagi, saya dikejutkan dengan bunyi bom. Iya, saya boleh dengar bunyi bom dari bilik saya di Suruc. Setiap kali saya terdengar bunyi bom pada waktu pagi, saya terbangun dan terfikir bagaimanakah keadaan orang yang berada di sana? Terukkah keadaan mereka? Berapa orang yang terkorban pula kali ini? Tidak pernah habis soalan yang bertalu di kepala saya setiap pagi. Perasaan amat kuat sekali untuk melihat sendiri keadaan di sana.

Setelah mengenal pasti di mana lokasinya kem pelarian Syria yang berada di Suruc, saya bertekad untuk masuk ke tempat itu seorang diri. Ada juga saya hubungi beberapa NGO di Turki tetapi jawapannya menghampakan. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk meredah masuk ke kem pelarian sendiri. 

Saya pilih untuk masuk ke kem pelarian Kobane. Dari luar kem pelarian yang penuh dengan dawai-dawai berduri, saya nampak banyak deretan khemah besar bewarna putih. Terlihat juga ramai kanak-kanak yang memakai baju sejuk bewarna-warna sedang sibuk bermain di depan khemah masing-masing. Saya teruskan berjalan sehinggalah sampai di pintu masuk kem. Ada beberapa orang lelaki tempatan di situ yang menjaga kawasan kem. Saya menemui mereka dan menerangkan siapa saya dan apa tujuan saya ke sana. Mereka kelihatan agak bingung, mungkin kerana mereka tidak begitu fasih berbahasa Inggeris atau pun kerana kemunculan saya seorang diri yang secara tiba-tiba di situ. Tetapi mujur mereka menyambut baik kedatangan saya yang tidak diundang itu. Salah seorang daripada mereka menjemput saya masuk ke dalam kawasan kem dan membawa saya ke salah satu khemah iaitu khemah untuk para wanita. Menurutnya, ada beberapa kerja yang mungkin saya boleh bantu mereka di situ. Saya teruja dan tidak sabar sambil berjalan dan memerhati keadaan sekeliling yang hanya penuh dengan khemah dan juga khemah.

Setelah sampai di khemah untuk para wanita itu, saya disuruh masuk ke dalam. Saya mengucapkan 'tesekkur' kepada orang yang membawa saya ke situ. Setelah masuk ke dalam khemah, ada beberapa orang wanita di dalam. Saya bersalaman dan duduk bersama mereka. Mereka semua berasal daripada Syria dan telah berada di situ berbulan-bulan lamanya. Mereka langsung tidak boleh berbahasa Inggeris, cuma ada seorang daripada mereka yang boleh berbahasa Inggeris sedikit. Walaupun begitu, saya dapat merasakan mereka begitu senang dengan kedatangan saya. Dalam masa beberapa minit sahaja secawan kopi telah dihidangkan kepada saya. Mereka menghidangkan kopi dengan senyuman. Saya bertanya kepada yang boleh berbahasa Inggeris itu jika ada apa yang saya boleh tolong di situ. Beliau memberitahu mungkin saya boleh menolong mereka menjahit baju tidur untuk kanak-kanak bagi persediaan musim sejuk nanti. Beliau bertanya dengan penuh sopan, bolehkah saya menolong mereka? Sudah tentu! Itu memang tujuannya saya ke sana. Tanpa berlengah saya terus belajar bagaimana untuk menjahit baju tidur itu daripada mereka dan bersama-sama mereka menyediakan puluhan (mungkn juga ratusan) baju tidur kanak-kanak yang bewarna merah jambu dan bercorak polka dot putih.

Sepanjang saya berada di sana, ada ramai kanak-kanak Syria yang kelihatan amat teruja dengan orang luar seperti saya di situ. Mungkin juga mereka jarang melihat orang luar atau warga asing seperti saya. Gadis-gadis cilik Syria yang cantik bermata hijau/biru ini kelihatan sungguh ceria. Dalam masa beberapa minit mereka sudah begitu mesra dengan saya. Tidak terkira berapa banyak pelukan dan ciuman yang mereka berikan kepada saya. Sungguh saya merindukan mereka pada ketika ini. Sempat juga saya mengajarkan mereka menggunakan kamera digital yang memang saya bawa ke mana-mana sewaktu kembara. Mereka kelihatan begitu teruja melihat kamera dan saya telah ajarkan mereka bagaimana cara untuk menggunakannya. Saya biarkan mereka mengambil gambar sebanyak mana yang mereka mahu. Kadang-kadang mereka berebut dan terpaksa saya leraikan dengan mengalih perhatian mereka dengan menggunakan telefon-skrin-retak-Samsung saya pula. Tetapi mereka sungguh ceria melakukan pelbagai aksi untuk di gambar. Malahan mereka siap menyanyi beramai-ramai untuk saya! Walaupun saya tidak faham bahasanya tetapi saya tetap terhibur dengan gelagat mereka. 

Banyak perkara yang membuatkan saya terfikir setelah meluangkan masa beberapa hari dengan mereka. Bagaimana dalam keadaan mereka sekarang iaitu menjadi seorang pelarian tetapi masih boleh bergembira dan senyum ikhlas dari hati seolah-olah tidak ada apa yang buruk pernah berlaku. Padahal mereka telah melalui pengalaman buruk, rumah mereka dihancurkan, bandar mereka dimusnahkan, saudara mara mereka telah terkorban dan banyak lagi perkara buruk telah menimpa mereka sepanjang peperangan. Bagaimana mereka boleh kekal gembira dan positif begitu? Kita pula di sini bila diuji sedikit, mulalah merungut itu ini. Padahal ujian kita dengan mereka itu jauh sekali bezanya. Memang tidak boleh disamakan keadaan kita dan mereka di sana, tetapi bagaimana caranya mereka menghadapi musibah itu yang harus kita ambil pelajaran. 

Kini, sudah hampir dua tahun saya meninggalkan mereka. Saya hanya dapat mendoakan semoga mereka semua sihat, gembira dan baik-baik sahaja di sana. Semoga ketemu lagi..
































10 comments:

  1. Alhamdulilah hampir 1 Tahun, akhirnya saudari mblog juga, bloger tetap bloger

    ReplyDelete
  2. Dah berkulat et blog nya.. hehehhe.. apa pon perkongsian yg best.. dapat feel tu..

    DNURULLAILAHANI

    ReplyDelete
  3. yey ada entry baru, kami setia menunggu entry seterusnya pula

    ReplyDelete
  4. Kisah yg sngt mengujakan....sy sngt² trtarik dngn smua entri² saudari...sperti ada suatu aura yg xdpt ditafsirkan dngn kata²...

    ReplyDelete
  5. salam singgah dan follow. awk dijemput join GA sy! :D

    http://www.akuseorangtraveler.com/2016/07/travelog-faghuzi-giveaway-by-aku.html

    ReplyDelete
  6. Ada sesuatu yang terkesan bila baca entri nih..tq atas perkongsian

    ReplyDelete
  7. Adik ET, teruja sungguh saya bila melihat ada posting terbaru dari awak. Walaupun hanya imbauan tetapi saya boleh bayangkan kerinduan awak pada suasana seperti itu. Saya doakan segala cita-cita awak tercapai dan kami sentiasa mengiringi perjalanan awak dengan doa.

    ReplyDelete
  8. Thank you so much for your sharing and also thanks to promote the travel and tourism in the world.
    Tourism in Pakistan

    ReplyDelete