Saturday, January 24, 2015

East to the West Journey - Introduction

Kepada semua yang mengikuti Travelogue ET, terlebih dahulu jutaan maaf saya pinta kerana terlalu lama tidak menulis di sini. Kalau saya nyatakan alasan kenapa saya tidak berkesempatan untuk menyambung menulis di sini, alasan akan tetap kekal sebagai alasan. Jadi saya tidak akan nyatakan alasan saya di sini.

Sekali lagi, jutaan maaf saya pohon daripada semua.

Bismillah. Pada waktu dan saat ini, saya sedang berada di bumbung  hostel tempat saya menginap di Istanbul, Turki. 'Blue Mosque' yang dibanggakan oleh seluruh rakyat Turki berada di sebelah kiri manakala lautan Marmara luas terbentang di sebelah kanan saya. Sesekali terdengar bunyi kapal-kapal laut yang merentasi lautan daripada benua Asia ke benua Eropah, begitu juga kapal daripada benua Eropah ke benua Asia. Sibuk dan banyak seolah tiada kesudahannya.

Saya sering teruja bila memikirkan betapa dekatnya jarak yang memisahkan antara benua Asia dan benua Eropah di sini. Jarak yang begitu pendek dan singkat, tapi sering dianggap begitu besar jurang dan perbezaannya. Asia dan Eropah, dua benua dunia yang begitu besar pengaruhnya.

Adakah dengan identiti dan perbezaan benua semuanya akan jelas berbeza? Rakyat Turki di sebelah Asia tidak begitu senang dengan rakyat Turki di sebelah Eropah dan sebaliknya walaupun mereka bertutur dalam bahasa Turki yang sama, malahan mungkin juga mempunyai susun galur keturunan yang sama.

Pada masa yang sama rakyat Turki di benua Asia yang agak jauh daripada benua Eropah mungkin tidak begitu cenderung dengan isu Asia-Eropah tetapi lebih kepada isu yang lebih kritikal contohnya Turki-Kurdis yang amat jelas sehingga kini masih berkudis tebal di negara ini. Kurdis rata-ratanya masih dengan sikap degil dan tegas mahukan tanah mereka bebas daripada pemerintahan Turki. Kerajaan Turki pula tidak mengendahkan tuntutan para pemberontak Kurdis walaupun beberapa insiden yang mengorbankan nyawa telah berlaku. Pada saya isu ini amat sukar dan sulit untuk diselesaikan secara baik bagi kedua-dua belah pihak.

Beberapa minggu yang lepas saya sempat berjumpa dan berbual dengan seorang lelaki Kurdis yang saya temui di Suruc. Dengan tanpa berselindung dia menyatakan amat tidak berpuas hati dengan negaranya sendiri dan jika berpeluang dia ingin menukar warganegara. Begitu tebal perasaan benci kepada negaranya sendiri.

Seperti yang saya jangka, keadaan politik yang membuatnya begitu benci negaranya sendiri. Ini bukanlah sesuatu yang janggal pada saya, malahan di mana-mana negara juga saya akan terjumpa dengan rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negaranya sendiri, sudah pasti negara saya sendiri tidak terkecuali.

Baiklah, cukup tentang Turki buat masa sekarang. Ianya terlampau panjang dan sarat kalau hendak di ceritakan. Mungkin entri khas buat Turki akan datang, insyaAllah!

*

Secara jujur, amat sukar untuk saya memulakan entri baru di blog ini. Pelbagai persoalan yang timbul seperti hendak bermula dari mana? Bagaimana penerimaan orang yang membaca? Adakah dengan berkongsi di sini menjadikan saya riak (nauzubillah)? Adakah cerita saya akan dijadikan panduan dan lebih ramai yang akan ke tempat-tempat yang agak bahaya dan berisiko tinggi?

Mungkin juga tiada sesiapa yang mempunyai keinginan ke tempat-tempat yang saya jelajahi sehingga hari ini. Siapa lagi yang mengimpikan untuk melihat dengan mata kepala sendiri keadaan di Afghanistan? Siapa yang mengimpikan untuk berjumpa dengan puak Taliban? Siapa yang teruja melihat pihak militari berperang dengan kereta kebal? Ya, sekurang-kurangkan saya mengimpikan semua itu!

Saya tidak mahu bertanggungjawab dengan segala andaian yang pembaca buat mengenai perjalanan saya. Oleh kerana itu, saya akan cuba menceritakan segala pahit, getir, risiko, amarah, kesedihan dan pasti kenikmatan perjalanan yang telah saya lalui semenjak 16 Ogos 2014 yang lalu - sehingga saat saya menulis sekarang.

*

India, Pakistan, Afghanistan, UAE, Iran dan Turki. Berikut adalah negara yang telah saya jelajahi sepanjang tempoh 161 hari sehingga hari ini secara solo. Jika dilihat di dalam peta dunia, negara-negara ini tersusun cantik bermula di benua Asia Selatan sehingga mencecah ke benua Eropah Timur. Jika suatu masa dahulu route para traveler yang bermula daripada benua Eropah ke benua Asia digelar sebagai 'hippie trail', saya kurang pasti apakah gelaran untuk route yang saya buat kali ini yang ternyata reverse version of hippie trail. Apa pun, ianya tidak penting bagi saya.

Kerana saya travel bukanlah untuk berkata dengan bangganya yang saya juga telah pergi ke tempat yang orang lain telah pergi. Anehnya, malah saya ada perasaan untuk menghindar daripada pergi ke tempat yang orang lain kerap pergi. Kurang atau hampir tiada maklumat di internet, tiada buku panduan A-Z, tiada peta yang lengkap: sebahagian daripada faktor bagaimana saya memilih tempat baru untuk diteroka. Mungkin kerana itu saya masih lagi belum menjejakkan kaki di Cappadocia walaupun telah hampir 2 bulan berada di bumi Turki ini.

Terus terang saya katakan, semakin jarang tempat itu diterokai semakin meggila dan membuak-buak perasaan ingin tahu saya tentang: bagaimanakah rupa bentuk buminya, apakah makanan rujinya, adat resam penduduk setempatnya, agamanya, bahasanya, pakaian tradisinya, semuanya.

Selain untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan yang tidak akan pernah habis di dalam kepala, keterujaan untuk melintasi border di antara dua negara melalui jalan darat juga menjadi kegilaan tertinggi. Bunyi cop yang kuat di passport merah, kelibat pegawai imigresen atau tentera di antara dua negara menambah keterujaan dalam suasana yang biasanya penuh protokol dan jarang disapa dengan senyuman.

Bagaimana dengan hanya melalui sedikit formaliti di border dan setelah passport dicop dengan dakwat berwarna, keadaan boleh berubah hampir seratus peratus? Seolah masuk ke dunia yang baru melalui pintu ajaib.

Perasaan sebaik sahaja dapat menjejakkan kaki ke negara seterusnya adalah sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Seperti suatu kemenangan. Kebebasan mutlak daripada negara yang sebelumnya. Sehingga kadang saya terlupa betapa berisiko kawasan pemisah atau pembahagi antara dua negara tersebut. Saya terlupa ancaman puak Taliban, saya terlupa ancaman militari, saya terlupa ancaman AMS dan sebagainya. Saya cuma pengembara yang bersenjatakan passport merah, tidak lebih dari itu.

Terkadang keghairahan ini mengatasi segalanya. Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya tetap bersikap rasional dan memikirkan tentang orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Jika tidak, kemungkinan besar saya sudah melintasi Khyber Pass iaitu border Pakistan-Afghanistan yang didominasi oleh puak Taliban; atau mungkin juga telah saya jejakkan kaki di bumi Syria melalui border penduduk lokal di Suruc-Kobane yang didominasi puak militari ISIS.

*

Saya telah mencuba melewati boder Afghanistan - Iran melalui jalan darat di Islam Qala. Tetapi saya gagal. Pegawai imigresen Iran berkeras tidak mahu melepaskan saya untuk masuk ke negara mereka melalui Islam Qala. Saya tidak berputus asa dan terus berusaha menerangkan kepada mereka bahawa pemegang passport Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk ke negara mereka sekurang-kurangnya selama 15 hari. Mereka tidak percaya dan amat sukar meyakinkan mereka pada waktu itu. Saya buntu sendirian, tidak ada sesiapa yang boleh bercakap atau faham bahasa Inggeris yang mungkin boleh membantu. Saya cuba meminta daripada mereka untuk menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Tehran, mereka tidak benarkan. Sedikit pun mereka tidak cuba membantu, malahan riak muka mereka penuh ego. Mungkin terlalu bangga dengan pakaian seragam mereka yang penuh dengan jalur-jalur besi berwarna terletak elok di bahu dan lengan mereka.

Setelah beberapa jam saya masih mundar mandir di situ. Memikirkan harus bagaimana sekarang. Sesekali pegawai imigresen di situ memandang saya sambil bercakap-cakap sesama mereka. Langsung tiada senyum dimuka saya waktu itu. Malahan perasaan sakit hati dan geram menyelubungi bila terfikir betapa kejamnya mereka yang langsung tidak cuba membantu pada waktu itu. Saya cuba menenangkan perasaan sendiri dan kemudian terus menggalas backpack saya dan berjalan dengan penuh perasaan keluar daripada bangunan sederhana besar itu.

Saya berjalan kaki semula di tengah panas terik dan berpatah balik menuju ke pos pengawal tentera Afghanistan. Saya cuba mengawal perasaan dan mengatur langkah saya yang berat dengan pantas, kerana saya tahu saya perlu balik semula ke Herat yang jauhnya kira-kira 140km daripada Islam Qala dan pada waktu itu saya tidak pasti bagaimana saya harus pulang ke Herat. Herat ke Islam Qala dipisahkan dengan padang pasir. Tidak ada pengangkutan awam yang biasa menghubungkan dua tempat ini. Dan sekiranya saya mengambil teksi atau hitchike di situ, saya terdedah dengan ancaman penculikan yang biasa terjadi di Afghanistan. Semuanya amat berisiko di sana terutamanya bila travel bersendirian tanpa bernaung di bawah mana-mana agensi seperti UN, UNICEF dan sebagainya.

Bila beberapa tentera Afghanistan cuba bertanya kenapa saya masuk semula ke Afghanistan, saya cuma berkata "That country is not good. They didn't allow me to go in!", sambil menunjukkan arah ke bumi Iran tanda protes. Saya tidak pernah rasa marah sebegitu. Mungkin saya sudah terlampau penat secara mental setelah berada di bumi Afghanistan selama 2 minggu - yang saya rasakan seperti 2 tahun!

Hari kedua saya di Afghanistan saya sudah ditahan oleh pihak militari kerana mereka mengesyaki saya pengintip daripada Pakistan. Tuduhan mereka bertambah berat apabila melihat passport saya yang jelas menyatakan saya telah berkeliaran hampir 50 hari di Pakistan sebelum mendarat di Kabul. Saya akui itu memang salah satu pengalaman yang 'gila'. Iya, negara kegemaran saya buat masa sekarang adalah Pakistan, tapi saya bukan pengintip.

Banyak lagi cerita 'gila' yang telah saya lalui sepanjang tempoh 161 hari ini. Antaranya saya telah hitchiked sejauh 200+ km di kawasan pergunungan di sekitar Spiti Valley, India sendirian. Trekking sendirian di kawasan pergunungan di India dan banyak lagi!

Sebagai wanita yang mengembara sendiri, pasti tidak akan terlepas daripada gangguan seksual. Saya juga ada mengalami pengalaman yang agak menakutkan di beberapa buah negara namun mujur tiada sentuhan fizikal yang berlaku. Semua pengalaman tersebut hanya membuatkan saya lebih kuat dari segi mental.

Mungkin ianya membuatkan saya agak trauma tapi saya tidak benarkan ianya menganggu fikiran saya terlalu lama. Kerana saya pasti ianya hanya salah satu pelajaran untuk saya dan dengan terus berfikiran positif ianya dapat ditukar kepada energi untuk saya lebih cekal dalam perjalanan seterusnya.

*

Terlampau banyak cerita jika ingin saya sampaikan satu persatu di sini. Perjalanan ini bukanlah hanya sebuah percutian tetapi lebih kepada suatu proses pembelajaran yang amat-amat bernilai buat diri saya sendiri. Saya tidak akan menukar pengalaman ini dengan apa pun di dunia ini kerana ianya terlampau berharga dan manis untuk di kenang :)

Bersambung

28 comments:

  1. Serius tak sabar nak baca pengalaman ET. Kalau buat buku mmg saya beli!

    ReplyDelete
  2. akhirnya..perjalanan ini milik kamu sepenuhnya ET...tak perlu ikut apa yang orang lain buat..nikmati sepenuhnya...take care walau di wilayah mana kamu berada..moga Allah akan sentiasa menjaga kamu...tak sabar nak tunggu entry seterusnya atau sekurang2nya latest status keberadaan kamu di FB...

    ReplyDelete
  3. Kagum! Apa2 pun semoga semuanya selamat ET. Moga Allah sentiasa lindungi kamu hingga selamat pulang ke Malaya

    ReplyDelete
  4. Salam ET, kagum dgn kecekalan,keberanian kamu , teruskan sya doakan kamu selamat, seterunya selamat kembali ke msia.i waiting entry seterusnya.

    ReplyDelete
  5. Menanti catatan pengambaraan ET yang seterusnya.. yang saya pasti datang daripada hati dan rakaman gambaran sebenar keadaan di sana. Take care :)

    ReplyDelete
  6. kagum dengan semangat kamu, ET. pasti terlalu banyak pengalaman yang telah kamu lalui di sepanjang tempoh tersebut. semoga perjalanan kamu seterusnya berada di bawah lindungan Yang Maha Esa..

    ReplyDelete
  7. fuh... you've my utmost respect la sis! terbaek.. bangga dpt kawan mcm ko. hehe..

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum.. kagum sheila baca. more details please.. sheila doakan awak selamat walau dimana jua awak berada. risau juga dengar awak bergerak solo. semoga Allah melindungi awak ET...

    ReplyDelete
  9. Ni br sinopsis n rangkuman awal...tgh tggu cite detail yg ada gmbr skali...

    ReplyDelete
  10. Alhamdullilah u're back here. looking fwd ur next entries. sy doakan awak selamt sepjg perjalanan

    ReplyDelete
  11. Jgn lagi gi sorang sorang,bimbang jika apa apa berlaku terpaksalah salahkan diri sendiri juga.oleh itu carilah muhrim!begitulah kata org alim yg biasa kita dgr!

    ReplyDelete
  12. wow...baca intro pun dah interesting..salute...naper tidak menulis buku...saya nak beli

    ReplyDelete
  13. Halo Admin / Blogger :)

    Saya sangat suka dengan postingan foto-fotonya :)
    Perkenalkan, saya Dewi dari tim kumpulbagi. saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi foto-foto,video,menggunakan disk online yang lain dengan tujuan berbagi informasi ? :)
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Anda bisa dengan bebas mengupload foto-foto,video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    Terima kasih.

    Salam.

    ReplyDelete
  14. Very Interesting post. I really appreciate this post.

    pediatric dentist in gujarat

    ReplyDelete
  15. ET, lama saya tggu entri dr anda. membaca catatan anda membuatkan saya seperti berada bersama2 anda. teruskan usaha anda untuk mengembara dan menulisnya. saya pasti ramai yang menunggu entri anda di blog ini.

    ReplyDelete
  16. ..tahniah..atas keberanian anda mengembara secara solo. Teruskan mencatat setiap detik keterujaan anda pada setiap tempat yg anda lawati. Biarkan kami terus berimaginasi dengan setiap tulisan anda dibantu oleh foto2 yg anda sertakan bersama nanti. Syabas!!!!

    ReplyDelete
  17. Finally. After so long waiting for your new post. Can't wait to read your story...

    ReplyDelete
  18. seronok baca travelog awak....bole x nanti awak share macam mana awak uruskan kewangan semasa travel....sebab saya student dan bercita cita tggi untuk travel...

    ReplyDelete
  19. Best... nanti kalu buku dah keluar. Bgtau yer. Satu soklan. Yang berlegar dipikiran ini. Apakah yang mendorang cik ET. Membuat pengenbaraan ini..

    ReplyDelete
  20. Siti, saya masih menunggu reply email drpd awk.

    ReplyDelete
  21. Ke... siti x sudi untuk membalas email saya itu?

    ReplyDelete
  22. Assalam...sy baru baca dua entry dlm blog ni. and ia buatkan saya tak sabar utk baca yg seterusnya. Kagum dengan keberanian awk!

    ReplyDelete
  23. assalam et...hope sangat you sambung cite u dkt pakistan tu..x sabar...

    ReplyDelete