Saturday, December 14, 2013

Pakistan Part 8 - Welcome to Gilgit :)

27 June 2013

Sedar tak sedar dah 6 hari saya 'terperangkap' di Karimabad. Mulanya ingat nak stay 2 atau 3 hari je tapi terlajak sampai 6 hari. Kalau ikutkan memang nak stay lagi tapi masih ada tempat lain yang saya nak tengok di Pakistan ni. Jadi pagi 27 June dengan berat hati saya terpaksa meninggalkan Karimabad.

Malam sebelumnya saya dan Chris (solo traveller daripada Hong Kong) dah berjanji untuk pergi ke Aliabad bersama. Chris akan meneruskan perjalanan ke SUST untuk masuk ke tanah besar China. Saya pula akan meneruskan perjalanan ke Gilgit. Kami perlu ke Aliabad dan kemudian menaiki kenderaan awam untuk ke destinasi masing-masing. Jarak dari Karimabad ke Aliabad tidaklah terlalu jauh, cuma sekitar 15 minit dengan Suzuki (teksi).

Kami janji untuk berjumpa di restoren hotel Karimabad Inn (hotel tempat saya menginap) pada jam 10.00 am.

Jam 9.30 am saya dah siap mengemas backpack dan terus ke restoren hotel untuk bersarapan pagi dulu sebelum check-out dan seterusnya bertolak ke Aliabad.

Masuk je restoren saya dah nampak Chris sedang bersarapan. Terlihat juga backpacknya yang sederhana besar disandarkan dimeja sebelah. Saya terus meletakkan backpack saya disitu juga dan kemudian order sarapan pagi - sandwich ayam dan seperti biasa, chai.

Kami bersarapan sambil berborak dan tak lama kemudian Susan (solo traveler daripada US) datang dan bersarapan pagi bersama kami. Terharu juga kerana Susan sanggup datang daripada hotel dia untuk bersarapan bersama kami dan mengucapkan selamat jalan kepada kami berdua.

Setelah selesai bersarapan, saya memanggil Hussain iaitu pemilik Karimabad Inn untuk check-out dan membayar bil dorm dan juga semua makan minum saya selama saya menginap di Karimabad Inn.

Di Karimabad Inn sewaktu check-in tidak perlu membayar apa-apa dan jika makan atau minum di restoren hotel tidak perlu membayar terus sebaliknya mereka menyediakan sebuah buku besar seperti buku rekod dan kita perlu menulis di buku tersebut setiap kali makan dan minum di situ.

Jadi untuk check-out Hussain perlu mengira semua jumlah makan, minum dan tempoh saya menginap di situ. Dia mengira dengan kalkulator dan menunjukkan jumlahnya. Kemudian dia menyuruh saya sendiri mengira total sekali lagi dengan kalkulatornya.

Saya mengira sendiri dengan kalkulator dan kemudian menunjukkan jumlah yang dikiranya tadi sama dengan kiraan saya. Terus saya membayar jumlah tersebut dan mengucapkan selamat tinggal kepada Hussain dan beberapa lagi pekerja di Karimabad Inn yang sememangnya sangat peramah dan sentiasa merendah diri. Kalau saya ada peluang untuk ke Karimabad lagi, pasti saya akan kembali menginap di sini.

Saya, Chris dan Susan berjalan keluar daripada restoren Karimabad Inn dan pergi ke jalan besar tak jauh daripada Karimabad Inn dan menunggu teksi di situ. Buat kali terakhir Susan mengucapkan selamat jalan kepada kami dan selepas itu dia pulang semula ke hotel tempat dia menginap.

Tak lama kami menunggu, ada sebuah Suzuki (teksi) yang berhenti berdekatan kami dan bertanya kami hendak ke mana. Kami cakap Aliabad dan dia menyuruh kami naik Suzukinya. Chris tanya berapa tambang untuk ke Aliabad, pakcik itu cakap 30 PKR/0.3 USD. Kami terus setuju untuk naik Suzukinya untuk ke Aliabad.


Dalam teksi daripada Karimabad ke Aliabad
Pakcik teksi memberhentikan Suzukinya betul-betul di depan sebuah pondok kecil yang merupakan tempat membayar tambang van untuk ke Gilgit. Terlihat juga ada sebuah van yang sudah hampir penuh dengan penumpang - semuanya penduduk tempatan.

Pondok tempat membayar tiket van dan menulis di buku rekod
Kami berdua turun di situ dan Chris perlu mencari bas untuk ke SUST.

Tanpa berlengah saya terus masuk ke pondok dan bertanya berapa tambang untuk ke Gilgit. Tempat itu agak penuh dengan orang tempatan dan kelihatan masing-masing sedang sibuk memunggah barangan di atas van.

Pekerja di dalam pondok memberitahu tambang ialah sebanyak 200 PKR/2 USD. Selepas membayar terus dia menyuruh saya menulis beberapa butir diri seperti nama, nombor passport dan beberapa butir peribadi lagi di dalam buku rekod penumpang.

Kemudian ada seorang lelaki terus meminta backpack saya dan rupanya dia hendak memunggah ke atas bumbung van. Saya melihat saja dan kemudian lelaki tadi meyuruh saya masuk ke dalam van.

Van daripada Karimabad ke Gilgit
Saya lihat tempat penumpang dalam van sudah agak penuh, lelaki tadi menyuruh saya duduk di hadapan iaitu bersebelahan pemandu. Hanya saya seorang wanita pada waktu itu dan seperti biasa wanita mendapat tempat dan layanan yang lebih baik. Sementara mereka bersesak-sesak di tempat duduk penumpang di belakang saya pula dengan selesa duduk di hadapan :P

Tak lama menunggu dalam van, pemandu terus memulakan perjalanan ke Gilgit.

Perjalanan daripada Karimabad ke Gilgit mengambil masa kira-kira 4 jam. Pemandangan gunung ganang di sepanjang perjalanan yang begitu menakjubkan membuatkan perjalanan tidak terasa panjang. Sesekali van akan melalui pekan kecil dan terlihat penduduk kampung yang sedang sibuk dengan urusan harian masing-masing.

Kanak-kanak perempuan Pakistan dengan uniform sekolah
Lori truck berhias yang terkenal di Pakistan 
On the way to Gilgit
Van penumpang
Sewaktu dalam perjalanan ada juga beberapa kali penduduk tempatan yang sedang berjalan kaki menahan van. Kemudian pemandu van menyuruh penduduk tempatan yang menahan van itu tadi naik. Kira-kira dalam 1 jam selepas itu penduduk tempatan tadi bercakap sesuatu (malangnya saya tidak faham) dengan pemandu van. Pemandu van memberhentikan vannya di tepi jalan dan penduduk tempatan tadi turun tanpa membayar apa-apa pun kepada pemandu van. Maksudnya di sini penduduk tempatan boleh menaiki van secara percuma? Saya juga tidak faham sebenarnya. Macam hitchhike pula kan?

Setelah hampir 4 jam perjalanan, van melalui sebuah jambatan besi yang agak besar merentasi sungai deras kemudian saya ternampak pintu gerbang yang tertulis ' Welcome to Gilgit'. Ini menunjukkan saya sudah sampai di Gilgit, sebuah bandar besar yang menjadi hub kepada traveler dan juga pendaki gunung di sekitar daerah Gilgit-Baltistan.

Jambatan besi menuju ke Gilgit
'Welcome to Gilgit'
Dalam beberapa minit van berhenti di sebuah tempat yang kelihatan seperti stesen bas, terlihat juga banyak Suzuki dan van di situ.

Pemandu van memberitahu saya perlu turun di sini. Oh ok, baru saya keluar daripada van dan mendapatkan backpack saya yang dihulurkan oleh seorang lelaki dari atas bumbung van.

Sebaik sahaja menyandang backpack, ramai pemandu Suzuki yang bertanya saya hendak ke mana. Saya memang sudah ada tempat untuk di tuju iaitu Old Madina Guesthouse yang di rekomenkan oleh Dr. Tariq dan juga Raji.

Saya bertanya kepada salah seorang pemandu Suzuki di situ berapa tambang untuk ke Old Madina, pakcik itu memberitahu sebanyak 300 PKR/3 USD. Pada saya agak mahal kerana kalau dibandingkan dengan tambang saya daripada Karimabad ke Gilgit yang sejauh 4 jam hanyalah 200 PRK. Manakala jarak dari stesen bas ini ke Old Madina saya rasa tidaklah terlalu jauh.

Saya menawar sedikit (saya tidak pandai bab tawar-menawar) dan akhirnya dapatlah 250 PKR/2.5 USD. Kira okla sebab kalau ikutkan tidaklah terlalu mahal sebenarnya 2.5 USD iaitu bersamaan RM 7.50. Tapi biasalah saya kalau boleh memang nak dapat semurah yang mungkin.

Setelah bersetuju dengan harga yang saya tawarkan pakcik tadi terus mengangkat backpack saya dan memasukkannya di dalam bonet kereta. Waktu itu jam sudah menunjukkan sekitar 2.30 pm.

Sepanjang perjalanan ke Old Madina saya melihat banyak perbezaan bandar ini jika hendak dibandingkan dengan Karimabad. Bandar Gilgit lebih besar dan sibuk. Saya juga melalui lapangan terbang Gilgit yang sederhana besar saiznya. Saya juga dapat melihat banyak askar yang lengkap dengan senjata berkawal di tengah jalan. Baru beberapa minit di bandar Gilgit saya sudah terasa teruja untuk melihat lebih banyak lagi apa yang ada di sini.

Selepas kira-kira 15 minit perjalanan, akhirnya Suzuki berhenti di depan Old Madina Guesthouse. Pakcik teksi tolong mengangkat backpack saya dan terus masuk ke lobi guesthouse. Hm sebenarnya saya boleh je nak angkat sendiri tapi sungguh pantas pakcik tu menyandang backpack saya yang diambil daripada bonet kereta.

Setelah sampai di lobi Old Madina saya bertanya kepada seorang staf yang ada di situ yang saya memerlukan sebuah bilik dan bertanya berapa harga untuk 1 malam.

Dia mengajak saya untuk melihat beberapa bilik terlebih dulu. Saya memilih untuk menginap di bilik private kerana tandas di dalam. Saya fikir itu lebih mudah untuk saya berbanding di bilik lain yang tandasnya di luar.

Harga cuma 300 PKR/3 USD untuk 1 malam. Murah kan?

Private room di Old Medina - 300 PKR/night
Setelah itu kami pergi ke lobi semula dan saya diminta untuk menulis beberapa butir peribadi di dalam buku rekod dan setelah itu diberikan kunci bilik, A-7.

Lega rasanya dapat berehat di bilik. Saya baru teringat untuk memaklumkan kepada Dr. Tariq yang saya sudah sampai di Gilgit. Dr. Tariq menyuruh saya hubungi Raji kerana dia memang ada di Gilgit.

*Maaf kalau ada yang bingung siapa Dr. Tariq dan Raji, sila baca entri sebelumnya. Terima kasih*

Saya SMS Raji dan memberitahu yang saya sudah sampai di Old Madina dan dia membalas akan sampai dalam beberapa minit di lobi Old Madina.

Selepas 10 minit dia SMS lagi dan katanya sudah ada di lobi Old Madina. Tak sempat nak tidur haha.

Dengan cepat saya bersiap dan keluar berjumpa dengan Raji di lobi Old Madina. Kami berborak sekejap kemudian dia mengajak saya keluar. Saya tidak pasti hendak ke mana waktu itu.

Keluar daripda Old Madina saya ternampak sebuah jeep bewarna biru muda dan rupanya itu adalah jeep milik Raji. Pada saya jeep itu sangat 'cool'. Memang tak jumpa jeep sebegitu kalau di Kuala Lumpur. Jeep ini khas untuk pemanduan di jalan yang agak 'rough' dan juga kawasan-kawasan pergunungan.

Kami banyak berborak sepanjang perjalanan yang melalui kampung-kampung dan sungai Gilgit yang pada saya amat cantik. Kemudian Raji berhenti di sebuah kedai kecil di tepi jalan untuk membeli air minuman dan meneruskan perjalanan lagi sehinggalah berhenti di satu tempat yang agak terpencil.

Sungai deras di Gilgit
Sungai di Gilgit
Kemudian kami berjalan kaki dan menyeberangi sebuah jambatan. Di bawah jambatan terdapat sebuah sungai yang sangat-sangat cantik, airnya jernih dan deras. Saya sangat kagum melihat keindahan semula jadi yang ada di mana-mana sahaja di Gilgit ini, SubhanAllah.

Terdapat banyak jambatan sebegini di Gilgit
Sungai berdekatan Karga Buddha
Damai~
Tak jauh daripada jambatan, Raji menunjukkan terdapat sebuah ukiran besar patung Buddha di atas batu. Ukiran tersebut juga dikenali sebagai Karga Buddha. Menurut Raji, ini adalah kesan peninggalan para penganut Buddha yang melalui Gilgit beribu tahun dahulu sebelum terbentuknya lagi negara Pakistan pada waktu itu. Ini juga adalah kesan peniggalan sejarah penganut Buddha yang melalui Silk Route beribu tahun dahulu.

Karga Buddha
Tenang~
Kami duduk dan banyak berborak di situ sambil minum air yang dibeli Raji tadi. Daripada 1 topik ke topik yang lain yang kebanyakannnya berkisar tentang industri pelancongan di Pakistan sehinggalah topik mengenai Taliban. Saya bersetuju dengan Raji yang mengatakan media luar banyak memberi maklumat tidak betul kepada dunia tentang bahaya dan ancaman yang ada di Pakistan. Tapi itu semua tidak betul sama sekali, malahan saya berasa sangat selamat travel di Pakistan walaupun saya travel sendirian.

Industri pelancongan di Pakistan amat terjejas semenjak terjadinya kejadian 11/9. Sehingga sekarang mereka yang terlibat dengan industri pelancongan bertungkus lumus untuk menaikkan semula imej bersih Pakistan supaya lebih ramai tourist datang terutamanya di daerah utara Pakistan. Industri pelancongan adalah salah satu sumber ekonomi utama di daerah utara Pakistan atau lebih spesifiknya di daerah Gilgit-Baltistan.

Setelah hampir 1 jam, kami beredar dari situ dan menaiki jeep semula. Menurut Raji kami akan singgah di rumah kakaknya yang tidak terlalu jauh dari situ.

Sampai di rumah kakaknya, saya di sambut oleh ramai kanak-kanak berusia 1 sehingga 12 tahun. Mereka adalah anak-anak saudara Raji yang memang comel.

Rumah kakak Raji
Seperti biasa apabila pergi ke rumah orang di Pakistan, tidak sah kalau tidak dijamukan dengan chai dan juga makanan ringan. Kakak Raji tidak terlalu fasih berbahas Inggeris tapi sangat mengalu-alukan kedatangan saya di rumahnya.

Saya yang memang sentiasa membawa gula-gula di dalam daypack (saya beli banyak gula-gula sewaktu di Kashgar untuk kanak-kanak di Pakistan) saya beri kepada mereka. Seronok melihat telatah mereka, termasuklah anak saudara Raji yang paling kecil iaitu Muhammad Anas yang kalau tak salah saya baru berusia 1 tahun.

Kemudian kami pergi ke halaman rumah dan bermain di luar. Ada juga anak-anak jiran yang datang ke rumah kakak Raji dan cuba berborak dengan saya. Mungkin mereka teruja melihat orang luar seperti saya dan waktu itulah mereka cuba berlatih bahasa Inggeris yang mereka pelajari di sekolah ;)

Muhammad Anas
Suman 
Di halaman rumah kakak Raji terdapat banyak pokok buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada juga binatang ternakan seperti kambing dan ayam. Kami makan buah aprikot segar di halaman rumah dan juga buah almond.

Mengupas buah almond
:)
Muhammad Anas with his mom
Tanpa disedari hari sudah hampir gelap. Raji memberitahu kakaknya mengajak saya untuk makan malam dirumahnya sahaja. Pada mulanya saya agak segan tapi kerana tidak mahu menolak niat baik kakaknya jadi saya bersetuju untuk makan malam di situ.

Saya lihat kakak Raji memetik sayuran di halaman rumahnya untuk dimasak, dan anak-anak perempuannya yang mungkin berumur 6 atau 7 tahun sibuk menolong ibunya memetik sayuran juga.

Saya banyak bermain dengan Muhammad Anas sementara ibunya sibuk menyediakan makan malam. Setelah hari betul-betul gelap kami masuk semula ke rumah dan menonton television. Oh ya saya ingat lagi, kami menonton rancangan kartun Doraemon yang di alih suara ke bahasa Urdu. Sangat unik rasanya :D

Saya bertanya kepada Raji samada kakaknya memerlukan bantuan di dapur tapi Raji berkata saya tidak perlu membantu kakaknya. Sedikit kekok sebenarnya tapi mungkin sudah cara mereka begitu, tetamu memang tidak dibenarkan sama sekali untuk ke dapur dan menolong tuan rumah.

Tak lama kemudian, anak saudara Raji memanggil kami untuk makan malam. Terlihat banyak sekali makanan yang sudah terhidang. Anak-anak saudara Raji tidak makan malam bersama kami. Hanya saya, Raji dan kakak Raji yang makan dahulu. Saya rasa beruntung malam itu kerana dapat merasa makanan lokal di Gilgit. Saya memang suka mencuba makanan baru terutamanya makanan lokal di tempat yang saya pergi. Makan malam banyak berunsur vegetarian dan dimakan bersama nasi dan juga chapati. Walaupun semua makanan tersebut baru pada saya, tapi semuanya sedap!

Very nice dinner :)
Setelah selesai makan, dengan pantas anak-anak saudara Raji mengemas tempat makan. Memang saya tidak sempat untuk membantu apa-apa. Anak-anak perempuan di Pakistan mungkin telah dididik sejak kecil lagi untuk membuat kerja-kerja rumah. Walaupun usia mereka masih terlalu muda tapi sudah cekap membuat kerja-kerja rumah.

Setelah berborak sekejap Raji mengajak saya untuk balik semula ke Old Madina.

Sedikit sedih untuk meninggalkan anak-anak saudara Raji yang comel dan kakaknya yang baik hati. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada semua, saya dan Raji pulang semula ke Old Madina.

Sampai di Old Madina seperti biasa saya mandi dan berehat. Esoknya saya akan berjalan-jalan di sekitar bandar Gilgit lagi dan melihat apa yang ada di sini.

Bersambung....

9 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kak, cepat2 publish sambungan cerita tu.Seriously can't hardly waittttt!!!hahahah..
    Next time boleh publish buku travelog..confirm dapat sambutan!!!chaiyok2!=)

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum,
    saya dah lama baca blog ni
    saya suka cara penulisan et
    awak bertuah dapat ke tempat
    yang sangat menarik ni di Pakistan,
    harap dapat sambung story asap :)

    ReplyDelete
  4. Akhirnya upadate jugak. Lama saya tunggu. Hehe. Ingat lagi mula2 baca blog ni ET ke Phuket, beberapa hari lepas saya pergi ke sebelum entah. Haha.

    Memang menakjubkan. Tempatnya cantik, orangnya cantik. Haha. Tapi, saya memang suka tengok pemandangan gunung ganang macam tu. Rasa tenang dan kerdil. Cepat update dan kalau saya nak ke Pakistan, saya akan refer blog ET! :)

    -Khai
    http://kairulizwan.wordpress.com

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum. subhanallah. cantik sungguh kawasan di sana.. sedapnya dapat merasa makanan tempatan.. seronok baca kisah awak di sana (",)

    ReplyDelete