Sunday, January 19, 2014

Pakistan Part 10 - The beauty of Khalti Lake, Ghizer Valley

29 June 2013

Jam 8 am kami berjumpa di lobi Old Madina Guesthouse. Oleh kerana saya akan ke Ghizer Valley selama 4 hari 3 malam, saya check-out dan menyerahkan kunci bilik kepada staf Old Madina Guesthouse tapi tidak membayar lagi jumlah bayaran penginapan selama 3 hari sebelumnya kerana selepas balik daripada Ghizer nanti saya akan menginap lagi di situ. Selepas check-out, saya menyimpan backpack di bilik stor guesthouse dan hanya membawa daypack untuk ke Ghizer Valley.

Ghizer Valley terletak paling barat di daerah Gilgit-Baltistan yang didiami oleh pelbagai etnik dengan bahasa pertuturan yang berbeza. Terdapat tiga bahasa utama di Ghizer Valley iaitu Khowar, Shina dan Burushaski.

Lokasi lembah ini yang terletak di antara dua banjaran gunung Hindukush dan Karakarum, menjadikan tempat ini tersergam indah dengan pemandangan alam semula jadinya yang sangat natural dengan gunung-ganang, sungai, tasik dan sebagainya.

Kami berangkat dengan jeep kepunyaan Raji pada kira-kira jam 8.30 am.

Sepanjang perjalanan cuaca begitu baik. Walaupun jeep tidak mempunyai sistem penghawa dingin tapi saya berasa sangat selesa dengan menghirup udara segar dari luar. Tidak ada banyak kenderaan malahan boleh dihitung dengan jari berapa sahaja kenderaan yang bertembung dengan kami sepanjang perjalanan. Jalanraya yang berturap juga agak kecil dan muat-muat untuk 1 kenderaan pada satu masa.

Antara jalan bertar daripada Gilgit ke Ghizer Valley
Pada awal perjalanan kami melalui beberapa buah kampung kecil. Kadang-kadang terlihat penduduk kampung yang sedang sibuk dengan tugasan harian mereka seperti bercucuk tanam dan pelbagai aktiviti lain di sawah padi. Kampung yang kelihatan sangat tenang dengan landskap yang mengagumkan, hijau sawah padi yang luas terbentang, berlatarbelakangkan gunung-ganang banjaran Hindukush dan Karakoram, air terjun yang tak terhitung banyaknya, membuatkan saya terfikir tentu mereka di sini tidak pernah mengalami tekanan hidup seperti di bandar besar. Betapa beruntungnya mereka.

Perjalanan menjadi lebih menarik bila Raji memainkan lagu-lagu Urdu di dalam jeep. Terasa seperti di dalam filem pun ada dengan muzik dan pemandangan sebegitu.

Semakin jauh perjalanan, landskap mukabumi berubah sedikit demi sedikit. Jalan semakin berliku dan berbatu kerikil. Di sebelah kanan jalan terbentang sungai Gilgit yang sangat deras dan di sebelah kiri hanyalah dinding batu-batuan yang kelihatan sangat keras dan gah. Banjaran gunung Hindukush dan Karakoram tetap menjadi latarbelakang pemandangan sepanjang perjalanan kami ke Ghizer Valley.

Pemandangan biasa daripada Gilgit menuju ke Ghizer Valley
Sesekali kami terlihat jambatan gantung yang dibuat oleh penduduk kampung yang menjadi laluan mereka untuk menyeberangi sungai Gilgit.

Suspension bridge. Credit photo: Raji
Setelah kira-kira 1 jam perjalanan, kami berhenti di tepi jalan apabila ternampak ada sebatang kayu yang menjadi penghadang jalan. Rupanya itu adalah check point sekuriti pertama yang kami lalui. Kami turun daripada jeep dan Raji meminta saya membawa passport bersama.

Kami pergi ke pondok kecil di tepi jalan dan Raji bercakap dengan beberapa lelaki berpakaian seragam polis di situ. Kemudian ada seorang polis memberi sebuah buku rekod besar kepada saya dan meminta saya menulis beberapa butir pengenalan di situ. Dalam masa yang sama dia membelek-belek passport saya dan kelihatan seperti mencuba membaca butiran yang tertulis di dalam passport.

Sewaktu menunggu, Raji memberi saya segelas air mineral yang diberi oleh polis kepadanya. Menurut Raji, sumber air di kawasan ini adalah antara yang paling baik ada di daerah Gilgit-Baltistan. Raji mahu saya merasa air tersebut dan setelah saya meminum seteguk, ternyata memang air mineral terasa sangat segar dan ada terasa sedikit manis mungkin? Pendek kata air mineral yang sedap. Hmm.

Lepak di pondok sekuriti polis
Raji masih lagi bercakap dengan polis tadi dan kelihatan seperti berunding sesuatu. Tak lama kemudian Raji memberitahu saya seorang daripada mereka akan mengikut kami menaiki jeep sehingga sampai di check point seterusnya.

Ini adalah prosedur baru yang berkuatkuasa di daerah Gilgit-Baltistan berikutan kejadian 10 tourists di bunuh oleh Taliban yang berlaku beberapa hari sebelumnya. Pihak berkuasa Pakistan melaksanakan prosedur baru ini untuk memastikan keselamatan pengunjung luar terjamin sewaktu mengunjungi daerah Gilgit-Baltistan.

Setelah selesai perbincangan dengan polis tadi kami menyambung perjalanan dengan seorang polis lengkap bersenjata mengikut kami menaiki jeep. Polis yang sudah agak berusia itu banyak berborak dengan Raji di sepanjang perjalanan.

Polis pertama yang escort kami ke check point kedua
Oleh kerana saya tidak faham apa yang dibualkan oleh mereka, saya hanya melayan pemandangan indah sepanjang perjalanan yang sememangnya tidak pernah menjemukan untuk dipandang dan dinikmati.

Pemandangan yang cantik sepanjang perjalanan
Setelah hampir setengah jam, kami sampai di check point kedua. Kami bertiga turun daripada jeep dan masuk ke dalam pondok polis di tepi jalan. Seperti tadi juga saya disuruh menulis butiran peribadi di dalam buku rekod besar mereka. Kali ini polis lain pula yang mengikut kami sehingga check point yang ketiga.

Salah satu check point
Kami menyambung semula perjalanan sehingga ke check point ketiga. Sampai di checkpoint ketiga, saya melalui prosedur yang sama iaitu menulis butiran peribadi di dalam buku rekod besar mereka. Rasanya pada waktu ini saya sudah begitu hafal nombor passport saya tanpa perlu melihat passport seperti kebiasaannya.

Di check point ketiga ini yang saya tidak boleh lupa ialah ada sorang polis yang kelihatan berjawatan agak tinggi menyuruh saya mengambil gambar beliau. Saya yang kebetulan membawa kamera digital di dalam kocek sweater terus mengambil gambar beliau seperti yang disuruh. Kemudian dengan muka seriusnya dia bercakap sesuatu kepada Raji yang kemungkinan maksudnya adalah jaga budak ni baik-baik, saya agaklah. Raji dan polis di situ terus berbincang dan saya menunggu di satu sudut lain.

Polis yang minta diambil gambarnya :)
Akhirnya setelah selesai perbincangan antara Raji dan polis, Raji berkata kepada saya yang kali ini polis tidak perlu mengikut kami sehingga ke destinasi seterusnya. Saya tidak pasti apa yang diberitahu oleh Raji kepada polis sehingga kami dikecualikan daripada mengikut prosedur seperti biasa. Tapi baguslah, kan? ;)

Kami meneruskan lagi perjalanan. Sesekali Raji berhenti di tepi jalan untuk mengambil air minuman dengan botol 1.5 liter yang memang tersedia di dalam jeepnya. Ya, itu adalah air minuman kami yang sumbernya daripada air terjun di tepi jalan. Air mineral tersebut rasanya sungguh segar dan sejuk juga !

Sumber air mineral di tepi jalan
Setelah hampir 5 jam perjalanan daripada Gilgit, akhirnya kami sampai di destinasi pertama iaitu pekan Gupis. Gupis adalah sebuah pekan kecil yang menjadi pusat pemerintahan kawasan di sekitar Ghizer Valley. Memasuki kawasan pekan Gupis saya mula nampak beberapa deretan kedai runcit dan orang ramai yang rata-ratanya adalah lelaki yang berpakaian traditional kurta dan siap berkupiah. Saya juga nampak papan tanda tempat kanak-kanak belajar menjadi tahfiz di tepi jalan.

Pekan Gupis
Iqra, tempat kanak-kanak belajar menghafal Al-Quran
Kami berhenti di satu hotel untuk makan tengahari. Hotel di sini amat sederhana dan hanya menyediakan beberapa buah bilik sahaja. Restoren hotel yang terletak di tingkat bawah tanah hotel kelihatan agak gelap dan hanya kami berdua sahaja pelanggan pada waktu itu. Kami tidak nampak walau seorang pun pekerja hotel pada waktu itu. Raji masuk ke dalam dapur dan order di sana, saya menunggu di meja restoren.

Sambil menunggu order makanan sampai kami banyak berborak. Tak lama kemudian ada seorang pakcik yang berumur dalam lingkungan sekitar 50-an datang ke meja kami. Kelihatan seperti Raji dan pakcik tersebut sudah kenal agak lama. Pakcik itu duduk dan berborak dengan kami, dan dari situ saya tahu dia sudah lama terlibat dalam industri pelancongan di Pakistan.

Setelah selesai makan kami meminta diri daripada pakcik tadi dan menuju ke Khalti Lake. Daripada pekan Gupis ke Khalti Lake tidaklah terlalu jauh cuma beberapa minit sahaja ke sana dengan jeep.

Sampai di kawasan tasik kami memberhentikan jeep di situ. Seperti biasa hanya kami yang ada di situ pada waktu itu. Tasik kelihatan amat tenang dan bewarna kehijau-hijauan. Tasik yang berlatar belakangkan banjaran Hindukush sangat cantik dan sebenarnya sangat popular dengan aktiviti memancing ikan trout di kalangan penduduk kampung setempat pada waktu petang/senja.

Setelah beberapa ketika lepak di tepi tasik, Raji mengajak saya untuk trekking tak jauh dari tasik. Saya yang memang gemar trekking tanpa berfikir panjang terus bersetuju untuk mengikutinya. Kami berjalan kaki ke kawasan kampung dan mula trekking.

Trekking di situ boleh tahan mencanak juga tingginya. Raji yang merupakan mountain guide mungkin tidak menghadapi apa-apa masalah tapi mencungap jugalah saya. Mujur tidak terlalu lama trekking, setelah hampir 30 minit kami sampai di atas. Kemudian kami berjalan lagi kira-kira 10-15 minit dan kami sampai di viewpoint yang amat mengagumkan. Dan sesampainya kami di sana, ada pelangi yang sangat cantik menyambut ketibaan kami di atas. SubhnaAllah sungguh indah ciptaan-Nya.

Pelangi yang menyambut kedatangan kami di viewpoint. Credit photo: Raji
Daripada viewpoint kami dapat melihat Khalti Lake dari atas yang jauh jauh lebih cantik pemandangannya. Tak lama kami di situ, ada beberapa budak lelaki yang merupakan penduduk setempat di situ menyapa Raji. Mereka berbual sekejap dan tidak lama kemudian ada beberapa budak lelaki lain yang memberi sebuah beg plastik besar berisi buah ceri dan aprikot segar.

Menurut Raji mereka baru memetik buah ceri dan aprikot tersebut untuk diberikan kepada kami. Terharu juga dibuatnya. Kami makan banyak buah ceri dan aprikot bersama-sama dengan pemandangan yang menakjubkan, priceless.

Pemandangan Khalti Lake dari atas. Credit photo: Raji
Penduduk tempatan berdekatan Khalti Lake. Credit photo: Raji
Ceri segar! Credit photo: Raji
Kami bersama penduduk tempatan
Setelah sudah agak lama di atas, kami pun trekking ke bawah semula. Untuk turun ke bawah kami mengikut jalan lain yang ternyata lebih curam dan agak berbahaya. Saya yang memang penghidap 'high-phobia' yang agak teruk terpaksa turun secara perlahan. Raji sentiasa mencari tempat untuk saya berpijak dan saya hanya mengikut trek yang dilaluinya. Raji berkata kepada saya, ini hanyalah sedikit daripada avdenture yang ada di Pakistan :P

Pemandangan dari viewpoint. Credit photo: Raji
Banjaran Hindukush. Credit photo: Raji
Sampai di bawah kami terus ke tasik semula. Hari sudah agak petang dan hampir senja. Sampai di kawasan tasik saya nampak beberapa penduduk kampung yang sedang asyik memancing. Raji yang memang membawa alat pancingnya bersama untuk trip ke Ghizer Valley ini tidak melepaskan peluang mencuba nasib untuk memancing ikan trout.

Saya juga belajar memancing buat kali pertama seumur hidup saya. Haha. Pengalaman baru buat saya tapi nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak ada seekor ikan pun yang termakan pancing kami. Sigh.

Hari semakin gelap dan kami memutuskan untuk mencari tempat menginap malam ini di hotel berdekatan. Oleh kerana Raji sudah biasa ke sini jadi tak ada masalah untuk mendapatkan bilik secara walk-in.

Oh ya, sampai di hotel saya perasan yang selipar (jepun) saya mungkin tercicir di tasik. Selipar itu tidaklah mahal tapi ada sentimental value yang tinggi kerana ia sudah mengikut saya travel ke mana-mana selama ini. Kami pergi semula ke tasik dan Raji cuba mencari tapi tidak jumpa. Hmm. Esok kami akan mencarinya semula.

Kami kembali semula ke hotel dan berehat kerana esoknya kami akan ke Yasin Valley pula. Stay tune !

16 comments:

  1. Menariknya perjalanan ini. Pemandangan pun cantik. Nampak bersih dan segar. Ceri pun geram tengok. Teringin nak pergi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Naramas,

      Memang sangat cantik pemandangan dekat sana, rasa seperti tak percaya pun ada sehinggalah tengok dengan mata kepala sendiri. Hehe memang ceri di sana antara yang terbaik kot, sedap sangat! :)

      Delete
  2. Ya Allah, cantiknya view kat sana,
    et, awak ada fb page tak.. ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Tihara,

      Yup sangat cantik. Lepas ni saya sambung entri tempat-tempat yang pada saya lagi cantik daripada Khalti Lake, tunggu ya :)

      FB page blog ni ke? Tak ada. Ni FB personal saya, Siti Noridah Et.

      Delete
  3. Subhanallah
    cantik sungguh ciptaan Tuhan

    Suka baca blog awak.

    ReplyDelete
  4. wow.i 'm impressed u can travel alone..

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum. subhanallah. cantiknya tempat ni. saya follow blog awak, salam perkenalan. suka baca trabel blog. boleh cedok ilmu kalau nak melancong (",)

    ReplyDelete
  6. Subhanallah..speechless tengok gambar...kalau tgk dengan mata mesti lg dahsyat.. sila upload lagi gambar view yang cantik..

    ReplyDelete
  7. menunggu post terbaru..

    http://mewifekids.blogspot.com/2014/01/travel-photo-phnom-penh-cambodia.html

    ReplyDelete
  8. Gambar cantik, plus your writing sangat detail,macam novel. Thanks for sharing.

    ReplyDelete
  9. Agaknya klu lelaki msti ssh skit nak lepas pondok polis tu...msti kna soal mcm2...hihi

    ReplyDelete
  10. Agaknya klu lelaki msti ssh skit nak lepas pondok polis tu...msti kna soal mcm2...hihi

    ReplyDelete
  11. Subhanallah cantiknya rasa nak pegi ke sana,
    Raji pomn blh thn handsome hihi

    ReplyDelete
  12. Bole sya tau r background . berani travel sorang2 . bapa angarran bajet . teringin nak ikut

    ReplyDelete
  13. Salam, sejujurnya saya x tau yg Pakistan mempunyai tempat yg sangat cantik dan menarik. Subhanalah sungguh indah ciptaan Allah. Thank you for sharing with us. Saya baru terjumpa blog ini. Keep writing and salam perkenalan dari saya.

    ReplyDelete
  14. Salam Puan,

    semoga selamat perjalanan musafir di bumi iran. sekiranya ada masalah boleh menghubungi pihak kedutaan untuk mendapatkan nasihat. Semoga Allah SWT melindungi puan dari segala bahaya.

    Salam Hormat,


    Hasny Zai

    ReplyDelete