Tuesday, October 15, 2013

Pakistan Part 5 - Karimabad, Hunza Valley

24 June 2013

Waktu menulis entri ni, saya rasa betul-betul rindu dengan suasana pagi di Karimabad. Setiap kali bangun pagi biasanya saya cuma melepak di atas katil sambil melihat pemandangan gunung-ganang menerusi tingkap bilik. Gunung-ganang kelihatan sangat gah dilitupi dengan salji putih. Tak jemu rasanya memandang gunung Rakaposhi, Diran, Ultar Sar dan beberapa lagi yang semuanya mencecah 6000+ mdpl...

Karimabad, Hunza Valley

Ok, habis masa untuk berangan ! :P

Jam 9 am saya pergi ke restoren hotel yang terletak di tingkat atas daripada bilik saya. Sampai di restoren saya belum nampak Susan atau pun sesiapa lagi. Seperti biasa saya order sarapan pagi Paratha dan Chai. Waktu di Karimabad Inn Hotel menu sarapan pagi saya setiap hari sama iaitu Paratha dan Chai. Almaklumlah, saya dah boleh dikategorikan sebagai 'chaiholic' kat sana. Hari-hari mesti kena dapatkan Chai. 

Untuk pengetahuan, restoren di Karimabd Inn Hotel adalah antara restoren yang terkenal di kalangan traveller terutamanya yang berasal daripada Korea dan Jepun. Tukang masak di restoren ini sangat mahir dengan masakan Korea, Jepun, barat dan semestinya masakan tempatan. Belum pernah lagi saya tidak berpuas hati dengan masakan mereka, memang sedap. Untuk melihat website hotel boleh click di sini. Website ini dibuat oleh bekas pengunjung hotel yang berasal daripada Jepun.

Sementara menunggu order, Francis datang ke restoren dan duduk semeja dengan saya. Kami banyak berborak sementara menunggu makanan sampai. Antaranya ialah berkenaan Shandur Polo Festival. 

Daripada Wikipedia:

"Shandur invites visitors to experience a traditional polo tournament which since 1936 has been held annually[1] in the first week of July between the local teams of Gilgit-Baltistan andChitral. The tournament is held on Shandur Top, the highest polo ground in the world at 3,700 meters (the pass itself is at 3,800 meters). The festival also includes Folk music, dancing and a camping villageis set up. The polo tournament is featured in the first episode of Himalaya with Michael Palin."

Shandur Polo Festival : Sumber Google
Shandur Polo Festival : Sumber Google
Beberapa hari sebelumnya, saya dan beberapa traveller ada bercakap mengenai Shandur Polo Festival dan mendapat tahu daripada penduduk tempatan bahawa festival ini mungkin akan ditunda ke tarikh 6, 7 dan 8 Julai. Kebiasaannya festival ini diadakan pada 2, 3 dan 4 Julai setiap tahun.

Sedang kami berborak tentang Shandur Polo Festival, Susan datang dan sertai kami.

Akibat daripada insiden 10 tourist yang telah dibunuh oleh Taliban semalamnya, kami sebetulnya agak risau untuk pergi ke festival ini yang sudah tentunya akan mengumpulkan tourist daripada seluruh dunia di tempat dan waktu yang sama. Mana tau Taliban akan menyerang tourist secara besar-besaran pada waktu itu?

Sebenarnya insiden tersebut adalah yang pertama kali terjadi dalam sejarah Pakistan di mana tourist dibunuh di daerah utara yang terkenal dengan reputasinya yang selamat untuk tourist. Memang sangat mengecewakan dan mengejutkan semua orang.

Kami bersarapan dan terus bercakap mengenai isu ini, samada untuk meneruskan rancangan pergi ke Shandur Polo Festival atau membatalkannya sahaja. Secara jujurnya, kami agak risau dengan situasi yang agak tegang pada waktu itu.

Tetapi menurut Susan, kalau melihat trend serangan kumpulan sebegini, mereka tak akan menyerang lagi dalam waktu terdekat selepas membuat serangan. Biasanya kumpulan penyerang ini akan 'senyap' buat beberapa ketika sebelum membuat serangan susulan.

Banyak lagi yang kami bertiga borakkan selain isu Taliban dan Shandur Polo Festival termasuklah tempat-tempat yang 'panas' di daerah barat Pakistan.

Kemudian ada satu keluarga Pakistan (suami, isteri dan anak kecil berumur 2 tahun) masuk ke restoren dan seperti biasa Francis akan menegur mereka. Rupanya mereka daripada Lahore dan sedang bercuti di Karimabad. Pada hari itu mereka akan berangkat ke Azad Kashmir. Dalam hati saya, bilalah agaknya saya akan sampai ke Azad Kashmir hm.

Kira-kira jam 10 am saya dan Susan meminta diri untuk pergi ke Baltit Fort. Francis juga katanya mahu ke arah sana dan kami berjalan bersama ke Baltit Fort.

Oh ya, untuk pengetahuan semua setiap kali saya makan dan minum di hotel Karimabad Inn, saya tidak perlu bayar terus. Sebaliknya hanya perlu menulis di buku catatan apa yang saya makan atau minum. Hussain (pemilik hotel) beritahu saya boleh membayar semuanya sekaligus bila hendak check-out nanti. Selepas menulis di buku catatan yang terletak di meja lobbi yang juga merangkap restoren, saya, Susan dan Francis berjalan keluar daripada restoren hotel.

Cuaca agak panas hari itu. Jarak daripada hotel untuk ke Baltit Fort sekitar 30 - 45 minit berjalan kaki, jalan sedikit menanjak. Sepanjang perjalanan kami melalui beberapa deretan kedai cenderamata dan juga rumah-rumah penduduk tempatan di situ.

Sampai di simpang untuk ke Baltit Fort, Francis meminta diri dulu kerana dia mahu ke restoren tempat dia biasa menghabiskan waktunya. Saya dan Susan meneruskan berjalan kaki ke Baltit Fort.

Berpeluh jugalah dibuatnya untuk ke sampai ke Baltit Fort, kerana tempat ini terletak di tempat yang agak tinggi. Dan ditambah lagi dengan cuaca yang panas terik, rasa seperti terbakar kulit dibuatnya.

Baltit Fort
Sampai di pintu masuk Baltit Fort, terdapat seorang penjaga bangunan siap lengkap dengan pakaian ala-ala askar dan bermisai tebal. Dia menyapa kami berdua dan menerangkan serba sedikit tentang tempat itu. Rupanya untuk masuk ke dalam Baltit Fort ada bayaran masuk yang dikenakan iaitu sebanyak 600 PKR/6 USD.

Pak Guard di Baltit Fort : Sumber Google
Sedikit maklumat mengenai Baltit Fort daripada Wikipedia:

"Baltit Fort or Balti Fort is an ancient fort in the Hunza valley in Gilgit-Baltistan, Pakistan.
In the past, the survival of the feudal regime of Hunza was ensured by the impressive Baltit fort, which overlooks Karimabad. The foundations of the fort date back to 700 years ago, with rebuilds and alterations over the centuries. In the 16th century the local prince married a princess from Baltistan who brought master Balti craftsmen to renovate the building as part of her dowry. The architectural style is a clear indication of buddhist Tibetan influence in Baltistan at the time.
The Mirs of Hunza abandoned the fort in 1945, and moved to a new palace down the hill. The fort started to decay which caused concern that it might possibly fall into ruin. Following a survey by the Royal Geographical Society of London a restoration programme was initiated and supported by the Aga Khan Trust for Culture Historic Cities Support Programme. The programme was completed in 1996 and the fort is now a museum run by the Baltit Heritage Trust."

Saya ada membaca sedikit sejarah tentang bangunan Baltit Fort ini dalam buku Lonely Planet kepunyaan Susan. Saya tidak terlalu teruja untuk melihat apa yang ada didalam Baltit Fort dan keadaan cuaca yang terlalu panas pada waktu itu membuatkan saya rasa ingin duduk di satu tempat dan menikmati pemandangan gunung ganang dari luar pintu masuk saja. Iya, daripada pintu masuk Baltit Fort memang pemandangannya sangat memukau dengan gunung-ganang seperti Rakaposhi, Diran, Golden Peak dan lain-lain.

Pandangan daripada Baltit Fort
Susan masuk ke dalam Baltit Fort manakala saya hanya duduk di satu kedai makan kecil betul-betul di depan pintu masuk dan order Chai. Saya hanya menikmati Chai dan gunung-ganang di depan mata sendirian. Suasana sunyi sepi dan tenang. Jujur, saya harap boleh berhentikan waktu itu.

*speechless*
Setelah hampir 1 jam, Susan keluar daripada Baltit Fort dan dia join saya minum Chai di situ.

Tak lama kemudian ada sekumpulan traveller daripada Amerika Syarikat juga datang untuk minum Chai, kami berborak dengan mereka.

Seperti yang saya jangka, topik kami tentulah mengenai insiden 10 tourist yang terbunuh di base camp Nanga Prabat, Gilgit-Baltistan. Masing-masing mengeluarkan pendapat tentang apa yang baru terjadi itu. Tapi mereka juga menasihatkan untuk tidak pergi ke Shandur Polo Festival kerana terlalu berisiko buat masa sekarang.

Setelah agak lama berborak, kami meminta diri. Kami berjalan balik ke hotel dan pada waktu itu sudah tengahari, terlalu panas untuk kami berjalan di luar. Kami membuat keputusan untuk berehat dulu di hotel masing-masing dan keluar semula pada petang sedikit apabila cuaca sudah agak sejuk. Kami berjanji untuk berjumpa di Cafe De Hunza sekitar jam 4 pm.

Sampai di hotel, saya mengumpulkan semua baju kotor termasuk baju sejuk, fleece jaket yang saya gunakan sewaktu di China untuk dihantar ke dobi yang terletak di sebelah hotel. Tak ada bangunan atau kedai pun, cuma tempat terbuka dan terdapat 1 mesin basuh dan tempat sidaian baju.

Apabila saya ke tempat itu, tak ada sesiapa di sana. Saya balik semula ke hotel dan bertanya kepada Hussain. Hussain yang memang sangat bersopan santun itu menyuruh saya meninggalkan bungkusan pakaian kotor di situ sahaja, dia akan menolong menghantar ke dobi nanti. Menurut Hussain pekerja dobi sedang keluar dan akan pulang sebentar lagi. Saya hanya 'Ok, thank you so much'.

Balik ke bilik saya hanya berehat. Sesekali terasa panas bila elektrik terputus. Selepas beberapa minit, elektrik akan ada dengan sendirinya. Tapi mujur bilik saya yang terletak di tingkat bawah agak redup dan sejuk. Boleh juga saya berehat dan melelapkan mata buat beberapa ketika.

Sekitar jam 2.30 pm saya bersiap untuk ke Cafe De Hunza. Saya sengaja pergi awal kerana merancang untuk surfing internet sementara menunggu Susan yang akan datang pada jam 4 pm.

Sampai di Cafe De Hunza kira-kira jam 3 pm, eh saya lihat Susan sudah ada di situ. Dia juga datang awal untuk surfing katanya. Hehe. Seperti biasa saya order Coke dan Brownies With Honey.

Dengan netbook masing-masing kami surfing, periksa email, Facebook dan lain-lain.

Tiba-tiba Susan memberitahu saya Shandur Polo Festival telah ditangguhkan ke tarikh yang masih belum dipastikan lagi. Saya sedikit terkejut dengan berita itu dan Susan menunjukkan berita online yang dibacanya.

Saya pasti ramai traveller yang kecewa dengan berita ini kerana kebanyakan daripada mereka memang menunggu festival ini. Biasanya mereka akan berkhemah dan berkampung di Shandur selama 3 hari semata-mata untuk melihat sendiri festival yang ada setahun sekali ini. Tak ada rezeki nampaknya untuk melihat sendiri Shandur Polo Festival tahun ini. Mungkin ini boleh dijadikan sebab kukuh untuk saya ke Pakistan lagi tahun hadapan?

Setelah hari semakin redup, kami keluar daripada cafe dan berjalan kaki ke Altit Fort. Oh ya, sebelum keluar daripada cafe kami sempat singgah di kedai buku dan barangan antik pemilik cafe yang berada di tingkat bawah. Pemilik cafe sangat peramah dan banyak berborak dengan kami. Pada saya barangan di kedai buku dan antik miliknya sangat unik. Banyak barangan menarik dan buku-buku yang jarang boleh dijumpai di kedai-kedai biasa. Majoriti bukunya adalah tentang Pakistan.

Tak berapa lama kemudian, Francis masuk ke dalam kedai dan kami berborak lagi. Kemudian kami berjalan bersama-sama untuk ke Altit Fort pula. Daipada Cafe De Hunza untuk ke Altit Fort jaraknya adalah sekitar 4 km (kalau saya tak salah). Altit Fort terletak agak jauh sedikit daripada pekan Karimabad.

Francis menghantar kami sehingga ke simpang menuju ke Altit Fort dan sempat menunjukkan jalan ke Altit Fort dari situ. Kelihatan seperti dekat, tapi bila kami berjalan kaki ada juga selama 45 minit - 1 jam baru sampai di Altit Fort.

Kami meminta diri daripada Francis dan meneruskan perjalanan ke Altit Fort. Sepanjang perjalanan kami melalui beberapa buah kampung dan sesekali terjumpa penduduk kampung yang tidak jemu menyapa kami dengan 'sallamualaykum' sambil tersenyum mesra :)

Rumah penduduk kampung berdekatan Altit Fort
Budak perempuan Hunza berdekatan Altit Fort
Binaan rumah yang unik
Sedikit maklumat mengenai Altit Fort daripada Wikipedia:

"Altit Fort is an ancient fort above Karimabad in the Hunza valley in Gilgit Baltistan,Pakistan. It was originally home to the hereditary rulers of the Hunza state who carried the title Mir, although they moved to the somewhat younger Baltit fort nearby three centuries later. Altit Fort and in particular the Shikari tower is around 900 years old,[1] which makes it the oldest monument in the Gilgit–Baltistan."

Altit Fort : Sumber Google
Altit Fort terletak di tengah-tengah kampung bersebelahan rumah penduduk kampung di situ. Rumah di kampung itu kelihatan sudah terbina sejak ratusan tahun lagi, memang unik. Di tengah-tengah kampung, terdapat 1 kolam renang awam dan ramai juga anak-anak kampung yang sedang seronok bermandi manda di situ.

Pada mulanya kami agak keliru untuk mencari pintu masuk Altit Fort, kerana jalan di kampung itu yang agak mengelirukan dan hanya seperti lorong-lorong kecil untuk pergi dari satu rumah ke satu rumah yang lain. Ada beberapa kali kami sampai di jalan mati.

Walaupun ada berjumpa dengan beberapa makcik yang duduk di luar rumah mereka, tapi kami tidak boleh berkomunikasi dengan mereka kerana mereka tidak boleh berbahasa Inggeris. Hanya senyum yang boleh mereka berikan kepada kami.

Akhirnya kami terjumpa 1 papan tanda yang menunjukkan 'Altit Fort entrance ticket' dan kami mengikut arah yang ditunjukkan oleh papan tanda tersebut. Selang beberapa meter, kami terjumpa sebuah rumah papan kecil dan ada seorang pakcik di situ. Kami bertanya bolehkah kami membeli tiket masuk ke Altit Fort di situ. Tapi menurut pakcik tersebut waktu lawatan Altit Fort telah habis. Kami sampai di sana jam 5.30 pm tetapi Altit Fort hanya dibuka sehingga jam 5 pm sahaja.

Kami sedikit kecewa tapi tak mengapalah. Pakcik itu tadi mengajak kami masuk ke dalam dan rupanya dalam rumah itu terdapat banyak gambar Altit Fort dan pakcik itu cuba menerangkan setiap satu gambar kepada kami. Saya kagum dengan semangat pakcik itu kerana walaupun dia tidaklah terlalu fasih berbahasa Inggeris tetapi sedaya upaya untuk memberi sebanyak mungkin maklumat tentang Altit Fort kepada kami.

Bukan itu sahaja, malah dia juga mengajak kami untuk ke rumahnya dan berjumpa dengan ahli keluarganya untuk minum Chai. Kami betul-betul tidak mahu menghampakan pakcik itu tapi waktu itu sudah agak lewat dan kami harus berjalan jauh lagi untuk balik ke Zero Point, Karimabad.

Setelah meminta maaf kepada pakcik tersebut kerana tidak dapat memenuhi undangannya kami pun meminta diri untuk pulang semula ke Karimabad. Rugi rasanya tidak mengambil gambar sebagai kenangan dengan pakcik ni hm.

Kami pun berjalan kaki pulang semula ke Zero Point Karimabad. Suasana petang di kawasan kampung di situ pada saya sangat indah dan mempersonakan. Kalaulah saya ada kampung di situ alangkah bahagianya hm.

Hampir 1 jam berjalan akhirnya kami sampai semula di simpang tempat kami berpisah dengan Francis tadi. Susan ingin pergi ke restoren tempat biasa Francis menghabiskan masanya manakala saya pula terasa hendak balik terus ke hotel.

Sebelum itu, kami sempat merancang untuk pergi ke Eagle Nest pula pada keesokan harinya. Saya dan Susan hanya berjanji untuk berjumpa lagi esok petang.

Sampai di hotel, saya terus mencari Hussain untuk bertanyakan mengenai pakaian yang ingin saya hantar ke dobi tadi. Dia cakap telah menghantar pakaian saya ke dobi. Sewaktu berjumpa dengan Hussain, ada beberapa pekerja hotel di situ yang mengajak saya makan buah mulberi yang baru sahaja mereka petik dari pokok. Saya makan sekejap dengan mereka sambil berborak.

Kemudian saya meminta diri dulu untuk ke tempat dobi dan mengambil pakaian saya. Pakcik yang menguruskan dobi itu tidak terlalu fasih berbahasa Inggeris. Dia menyuruh saya menulis/tick di resit berapa helai pakaian atau seluar yang saya hantar di situ. Kalau ada yang tak jujur pasti dah kurangkan kuantiti baju yang dihantar kan? Tapi mereka di sana memang mengamalkan sikap saling mempercayai, itu yang selalu buat saya kagum dengan sikap peniaga di sana.

Saya juga diminta untuk mengira sendiri berapa jumlah semuanya yang harus saya bayar. Setelah saya kira semuanya berjumlah 6 USD/600 PKR. Pada saya agak mahal kalau dibandingkan dengan harga dobi di tempat kita, jadi sebaiknya kalau untuk berjimat baik basuh baju sendiri hehe.

Selepas selesai dengan urusan dobi, saya ke kedai runcit tak jauh daripada hotel. Saya beli sabun dan sebotol air Coke. Kemudian saya ternampak paket Chai dan terus mengambil 10 paket. Saya fikir hendak membuat Chai bila balik ke Malaysia nanti heheh. Pekerja kedai tanya saya berasal daripada mana dan memang suka Chai ke? Saya cakap ya, sebab tu beli banyak-banyak untuk buat nanti bila balik Malaysia hehe. Cuma berborak berapa minit sahaja pun, tapi pakcik kedai ni sangat baik dan memberi saya sekotak buah ceri segar. Dia suruh saya bawa balik ke hotel dan habiskan semuanya. Baik kan? :)

Sampai di bilik saya terus mandi dan kemudian solat jama' Maghrib dan Isya'. Waktu itu cuma saya seorang di bilik. Saya hanya berehat sambil bermain telefon (Facebook) tiba-tiba ada seorang perempuan yang masuk ke dalam bilik dan terus duduk di sebelah saya. Saya sedikit terkejut tapi bila dia cakap dia adalah kawan kepada Mi Sook (roomate saya), baru saya lega.

Namanya Samina dan berumur dalam lingkungan awal 20-an. Dia sangat peramah dan banyak bertanya tentang saya. Kemudian dia mengajak saya makan malam sekali dengan mereka (Samina, Mi Sook, adik Samina perempuan, adik Samina lelaki berumur 6 tahun) kerana menurut Samina ini adalah malam terakhir Mi Sook sebelum berangkat ke destinasi seterusnya setelah hampir 2 bulan berada di Karimabad. Memang Mi Sook agak rapat dengan Samina dan telah beberapa kali juga menginap dan bermalam di rumah keluarga Samina.

Saya cakap Ok dan akan jumpa dengan mereka nanti di restoren hotel dalam masa setengah jam.

Di restoren hotel saya berjumpa lagi dengan Mi Sook dan Samina dan adik-adiknya. Mereka kelihatan memang sangat rapat dan mesti sedih kerana terpaksa berpisah esok. Saya dan Mi Sook juga banyak berborak tentang travelling. Mi Sook sebenarnya sedang dalam Round-The-World-Trip dan telah 7 bulan travelling. Saya sangat kagum dengan keberaniannya untuk berhenti kerja dan mengejar cita-citanya untuk melihat dunia. Dia juga seperti saya, sangat selesa travel di Pakistan dan itu yang membuatkan dia 'tersekat' di Karimabad sehingga 2 bulan lamanya !

Kami bertukar alamat email dan masih berhubung sehingga sekarang :)

Sewaktu makan malam, Samina ada bertanya kalau saya menyukai lagu Urdu. Tanpa diminta dia memainkan beberapa lagu Urdu daripada telefonnya di dalam restoren.

Lepas selesai makan malam, saya diajak Samina untuk ke biliknya (Mi Sook menyewa bilik 1 malam di hotel untuk Samina dan adik-adiknya pada malam itu) untuk memberi beberapa lagu via 'bluetooth'. Saya lepak di biliknya yang gelap kerana tak ada elektrik pada waktu itu. Mi Sook pula keluar ke internet cafe kerana hendak memeriksa email, penting katanya.

Setelah itu saya meminta diri dan balik ke bilik untuk berehat dan tidur. Cerita selanjutnya akan bersambung di entri seterusnya.. stay tune !

P/s: Terima kasih kerana sudi membaca :)

10 comments:

  1. pemurahnya orang-orang dekat Pakistan, gunung-gunung pun cantik-cantik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi nanadhoi,

      Betul, mereka sangat pemurah and maybe the most kind people yang saya pernah jumpa selama saya travel. Pemandangan dekat sana juga memang cantik :)

      Delete
  2. pertama kali jejak ke sini. cantiknyer pemandangan kat Karimabad nie.. : )

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi miesha,

      Terima kasih sebab sudi baca blog saya. Yup, memang cantik pemandangan dekat Karimabad :)

      Delete
  3. 1. baiknya org kat sana! so tulis dalam buku tu, maknanya kita tulis sendiri la? based on trust la ye?
    2. tempat tu cantik sgt! dengan bangunan dari batubata mcm tu.. tapi atas gunung kan? tetap x sejuk eh?
    3. comelnyaaaaa bdak pakistan tuuuuu :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi zatielina,

      1. Hehe yup, tulis sendiri and based on trust :)
      2. Lemah Hunza ni dikelilingi gunung-ganang yang ketinggiannya mencecah 6000+ mdpl. Pakistan ada 4 musim, waktu saya pergi ni musim panas (summer), siang agak panas tapi malam cuaca lebih sejuk sikit.
      3. Yep, comel kan? :D

      Delete
  4. Aslkm. sis..next trip dont miss swat.kalam.maho dand (khyber pakhtunkhwa) provinc and muree near islamabad capital of islamic Republic of pakistan. I hope once u visit swat area u will never forget that area. more beautiful then gilgit baltistan area

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm Imran bhai,

      Thanks for your info. Maybe I will add Swat when I coming back to Pakistan.

      Delete
  5. Salam ET,
    akak teruja baca perjalanan anda d pakistan. x percaya tp itu kenyataannyakan. mereka yg baik2. 1st time rasa nak ziarah pakistan plak. memang best :)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum.

    Terima kasih sudah berbagi, sudah lama pingin menyapa daerah utara pakistan ini. Blog yang sanat menginspirasi.

    Keep writing.

    ReplyDelete